Total Pageviews

Sunday, November 7, 2010

Bisnes Internet


Salam,
Kini saya kembali lagi setelah sekian lama menyepi. Kesibukan pada kerja, rutin kehidupan harian serta beberapa aktiviti lain yang muncul di dalam jadual, membuatkan blog ini  terpaksa dikemudiankan. Tetapi pada hari ini, saya memutuskan untuk kembali. Ia umpama sebuah rumah yang telah ditinggalkan gelap oleh tuannya, dan kini rumah itu terang sebentar dengan lampu apabila tuannya kembali.
Alhamdulillah, dalam minggu ini saya telah menemui bukti yang dicari-cari selama ini. Keputusan untuk menjelajah lebih terperinci bagi mendalami selok-belok menjadikan internet sebagai medium perniagaan telah menunjukkan tanda-tanda positif. Dengannya saya telah menyimpulkan bahawa ia tidak mustahil untuk pergi lebih jauh. Jalan telah terhidang, kelibat cahaya dihujung terowong yang gelap telah kelihatan. Hanya tinggal diri untuk melangkah terus ataupun tidak.
Permulaan saya dalam bidang ini umpama tunas pokok yang begitu kecil. Langsung tidak layak dibandingkan dengan mereka yang telah menjadi sifu ataupun otai (orang lama) di dalam bidang ini.
Walaupun begitu, semua ini bermula dengan cetusan hati sewaktu menghabiskan masa di perpustakaan Sultan Ismail, menemani anak yang menghadiri tuisyen, saya menggunakan waktu untuk melihat buku-buku yang bertimbun.  Ketika itu masih tercari-cari buku apakah yang seharusnya saya baca.
Bermula dengan buku kanak-kanak berkaitan penjelajahan angkasa lepas, kemudian buku mengenai masakan, lukisan dan pelancongan, buku yang akhirnya menarik perhatian ialah buku-buku di dalam kategori bisnes internet. Buku mengenai ‘Raja Lelong’ adalah buku pertama yang saya bawa pulang ke rumah.
Rasa pelik menyelubungi diri, apabila melihat banyak lagi buku-buku ditulis dalam pelbagai tajuk dari sudut yang berbeza, kesemuanya daripada pengalaman penulis bagaimana memenfaatkan internet sebagai medium untuk mencari pendapatan. Ada yang melakukan secara sampingan, ada yang secara sepenuh masa.
Buku yang dipinjam dari perpustakaan saya baca sepintas lalu untuk diseimbangkan dengan kesibukan diri. Kejam celik akhirnya 10 bulan telah berlalu tanpa apa-apa. Apa yang saya cari tidak ditemui. Puluhan buku yang telah dibaca umpama tin susu yang kosong telah ditinggalkan. Semuanya adalah silap diri sendiri kerana terlalu banyak membaca sehingga tidak tahu yang mana satu perlu di dahulukan.
Minggu sudah saya telah melakukan ‘window shopping’ di internet. Saya meletakkan diri hanya sebagai pembeli. Ia untuk saya memahami bagaimana seorang pembeli diurus oleh seorang penjual. Dengan itu saya dapat melihat bagaimana seorang penjual di internet melakukan jualan dan melayani pelanggan. Ya, itu sesuatu yang menarik. Mereka betul-betul profesional walaupun dipisahkan oleh faktor geografi berbeza, tidak mengenali satu sama lain, tapi urusniaga dilakukan dengan telus.  
Belum lagi saya menjadikan diri sebagai seorang penjual, baru sebagai pembeli, tetapi peluang telah terhidang. Hanya dalam seminggu saya telah menerima sedikit habuan. Berapa? Semua pasti ketawa kerana ianya tidak banyak. Hanya RM30.
Bagi saya, itu tidak mengapa. Ada rangkap perkataan yang saya pegang iaitu “jual apa saja, asal jadi duit”. Saya maksudkan ialah tidak perlu berkira margin keuntungan sedikit ataupun banyak. Selagi ia boleh menjadi duit, jualkan saja. Perlu sedar langkah seorang bayi ialah dengan jatuh dan bangun. Setelah bertahun barulah boleh berlari dan melompat dengan sempurna.
Cukuplah bagi saya RM30 itu sebagai bukti. Tidak berhasrat untuk menjadi kaya-raya, tetapi ia mencukupi sebagai bukti kepada diri sendiri, bahawa apa yang dicari selama ini bukan satu cakap-cakap kosong. Pena dan dakwat penulis-penulis yang telah mengalaminya sendiri bukanlah sekadar untuk menerbitkan buku dan meraih royalti. Kini saya mengakuinya dari dalam diri.
Selalunya perkara yang baik bukanlah untuk dirahsiakan. Apatah lagi jika ia boleh memberikan menfaat kepada orang lain. Insyallah, jika umur dipanjangkan oleh Allah, saya bercadang untuk mengajarkannya kepada umum. Bermula dari kawan-kawan seperjuangan, atau sesiapa juga yang berminat sehinggalah kepada pihak umum yang sebenarnya. Tetapi bukan sekarang. Andaikan ianya berlaku pada Januari depan, insyallah jika saya masih bernafas.
Bagaimanapun, sebagai insan yang tertakluk kepada takdir Yang Esa, yang telah mengatur hidup mati hambaNya,  saya akur pada ketentuanNya.

Wasalam.

Sunday, October 10, 2010

Sewaktu Kau Bengang

Aku suka dengar cerita-cerita tentang seronoknya memancing walaupun aku tak pernah seumur hidup hingga kini memegang joran pancing.

Kata pemancing, memancing tu seronok! Bila dia (si pemancing) dah mula bercerita, dan aku pulak sibuk bertanya itu dan ini kerana ingin tahu, aku rasa berbual sambil berdiri di tepi jalan memang tidak sesuai, alangkah bagusnya kalau kau (si pemancing) menjemput aku datang ke rumah, lalu kau hidangkan aku cappuccino tarik dengan mee hong kong terhidang, sambil-sambil aku menghirup air dan makan, aku boleh dengar cerita kau pergi memancing yang seolah-olah tak ada koma, apatah lagi noktah.

Apa yang seronoknya memancing ni? Cuba aku ceritakan sikit.

He..he..aku yang nak kena cerita rupanya?  Aku pun kurang pasti. Tapi kalau aku diberi pilihan untuk mengulas sebagai pandangan daripada orang luar, iaitu orang yang tidak pernah tercucuk mata kail kat jari, aku rasa yang menyeronokkan memancing ialah bila duduk kat tepi sungai yang tenang, ataupun ketika membaling joran ke tengah laut dari atas bot yang sedang terapung dan mati enjinnya, lalu angin pun bertiup membelai-belai badan, suasananya begitu nyaman sekali dan sambil menunggu ikan tersangkut, boleh berangan-angan, lepas tu tiba-tiba joran tersentap, lepas tu berhempas-pulas pulak nak bawak ikan tu naik ke atas, lepas tu akhir sekali, ikan tersebut dimasak, dimakan, dikhadam, dan kemudian di hantar ke ‘bank’ sebagai destinasi terakhir.

Lepas tu si pemancing pun bercerita kat semua orang tentang pengalamannya memancing. Ceritanya tak habis-habis, dari satu lubuk ke satu lubuk. Wah seronoknya. Nanti aku bawak kau ke lubuk buaya, cuba pulak kau cerita pengalaman memancing kat situ.

Pernah tak korang kena panggil dengan bos atau ketua korang di tempat kerja, lepas tu pada hari tu korang kena marah cukup-cukup, tak cukup dengan marah, korang disekolahkan lagi sebab memang masa zaman sekolah dulu korang ni kurang disekolahkan oleh cikgu akibat selalu ponteng dan berangan kat dalam kelas, pernah tak?

Lalu korang berasa sangat bengang pada hari tu, dan kalau boleh korang nak campak surat berhenti kerja masa tu jugak, biar bos korang tau langit itu tinggi atau rendah, biar dia berasa teramat menyesal kerana memarahi korang yang telah bertungkus lumus menjalankan kerja dengan penuh keikhlasan sambil sekali sekali korang mengular, pernah tak?

Lalu korang pun terus merudum, semangat kerja pun luntur, korang pun berjalan penuh longlai sambil berjalan tertunduk ke bawah macam anak dara malu-malu, lalu korang pun pergi ke tempat melepak, duduk di situ, hisap rokok, minum air seteguk, tapi kepala masih lagi bengang dan seolah-olah bos korang masih lagi bercakap tak henti-henti memarahi korang. Pernah tak?

He..he..aku pernah alami situasi macam ni, tapi aku jenis tak simpan dalam hati. Aku jenis professional, wahaha.

Apa korang buat bila korang bengang? Contoh di atas tadi hanya satu senario bengang lagi membengangkan dan sebenarnya ada banyak lagi kes-kes bengang yang kita hadapi setiap hari. Aku kalau bengang, aku ingat nak pergi memancing macam yang aku cerita kat atas tadi, seronoooook je kan duduk tepi laut ke, duduk tepi pantai ke, sambil berbual-bual santai dengan member sebelah, tapi disebabkan aku tak pernah pegang joran seumur hidup, aku akan hanya berpeluk tubuh dan pegang kamera sambil tengok korang memancing. Tapi masa ikan tu korang dah masak, aku akan ambil bahagian sama ha..ha.

Ada juga jenis orang yang apabila bengang dengan seseorang, terus simpan dalam hati dan menjadi dendam. Setahun berlalu, dua tahun berlalu, berpuluh tahun berlalu pun masih tak hilang kes bengang tersebut di dalam hati, malah sentiasa diingati, seolah-olah tiada kemaafan lagi sudah untuk si pesalah. Ini kes bahaya.

Aku kalau bengang kat tempat kerja, aku akan cari seberapa ramai orang untuk aku berbual-bual kisah apa-apa, samada melibatkan kerja ataupun tak. Kemudian nanti bila berbual mestilah ada lawak jenaka bukan? Bila dah buat lawak, mestilah aku ketawa, kalau tak banyak pun sikit mesti ada (macam ketawa tak ikhlas). Bila dah ketawa, aku akan rasa lega dan kebengangan aku akan mula susut. Kemudian satu jam berikutnya, aku dah tak lagi bengang.

Kalau aku bengang kat rumah pulak, aku akan tidur. Aku akan tidur sepuas hati aku. Kalau boleh 3 hari 3 malam aku nak tidur tanpa henti, hee..hee. Ni aku buat lawak korang jangan percaya.

Aku bila dah bangun dari tidur, apa yang aku bengangkan tadi akan hilang.  Aku pun pelik sebab tak boleh nak simpan lama kes-kes bengang kat dalam hati ataupun dalam kepala otak. Susah aku nak suruh ingatan aku supaya secara automatik memutarkan balik, dan memutarkan balik, dan memutarkan balik secara berterusan supaya kebengangan aku datang kembali. Aku tak bengang, tapi aku bingung.

Yang peliknya ialah ada juga orang yang dah tidur selama 10 tahun macam aku, tapi masih bengang lagi. Ni apa kes beb? Lu bengang gua ke, gua bengang lu?

Dalam surat khabar ada banyak contoh kes-kes apabila seseorang bengang apa dia akan buat. Ada orang yang apabila bengang dia akan makan sepuas-puasnya. Ada yang akan ambik kunci kereta dan pergi jalan-jalan. Ada yang akan bawak kereta laju-laju supaya terlanggar pembahagi jalan dengan sengaja, he..he..ni nak bunuh diri namanya. Ada yang bengang kemudian ambil wuduk. Ada yang bengang kemudian baca al-Quran, baguih ni, tahap orang bertakwa.

Ada orang yang bengang lepas tu mengamuk satu kampung, ada yang ambik pisau rodok perut orang lain. Ada yang gantung diri sendiri. Ada jugak yang tembak orang lain, ada jugak yang bengang kemudian main facebook, ada jugak yang bengang kemudian tulis blog. Ada yang bila bengang ambik kamera, pastu ambik gambar orang sana-sini. Ada yang bila bengang, masuk bilik air kemudian mandi sepuas-puasnya sampai menggigil kepala lutut.

Aku tak kisah apa yang korang nak buat bila bengang selagi tak melibatkan aku. Mari ikut aku ke satu tempat yang aku rasakan sangat bagus untuk meredakan kebengangan korang. Aku bukan nak ajak pergi memancing, tapi adalah..jom.

Korang pernah tengok lembu makan rumput? Jom ikut aku pergi tengok lembu makan rumput. Bukan apa, lembu bila makan rumput, korang tak berasa hairan ke?

Lembu hidup penuh dengan ketenangan, rileks je hidup lembu, tak ada kekusutan langsung. Ia meragut rumput, kemudian mengunyah perlahan-lahan seolah-olah begitu menikmati keenakan setiap helai rumput yang diragut, kemudian ia telan, dan lepas tu meragut lagi.

Bila hari senja, lembu masuk kandang, atau ikut suka hati tuan si lembu ni, kalau beliau nak biarkan saja lembunya berpanas dan berembun. Yang penting lembunya sentiasa meragut. Bila lembu penat, ia akan baring-baring atas rumput, sambil menguak-nguak, sambil tu ia boleh berborak-borak dengan rakan lembu yang lain, sebab tu kita dengar lembu berbunyi “moooook”, eh gitu ke bunyi lembu? Maksudnya lembu ni cakap kat kawan dia macam gini lebih kurang, “Mat, kau dah kenyang belum? Aku dan kenyang dah, aku masuk tidur dulu ok”. Lalu lembu yang lain pula akan menyahut “moooooooooooook”, panjang sikit mook nye tu, bermaksud “Pergilah kau tidur, aku nak makan lagi  kui…kui…kui…”.

Cuba korang menghayati hidup lembu, best kan? Tapi kenapa hidup kita sebagai manusia tak macam tu?

Pagi-pagi bila nak pergi kerja, tiba-tiba kereta buat hal, tayar pancit. Hari lain pulak, bateri kondem, kena pulak tolak. Hari lain pulak, kereta cium belakang bas, kena hantar bengkel. Hari lain pulak, tandas dalam rumah tersumbat, tak boleh nak buang air. Hari lain pulak, IC hilang tercicir entah ke mana, dah nak kena buat baru. Hari lain pulak, motor kena curi, mengadap polis pulak. Hari lain pulak, kena kejar along, rumah kena simbah cat. Hari lain pulak, kena marah dengan suami, kena tidur luar rumah. Dan macam-macam lagi. Tu yang buat aku kusut dan bengang tu.

Menurut pandangan aku lah kan, memang setiap manusia tidak boleh lari daripada masalah selagi dia bernyawa di atas alam dunia ini. Bayi yang baru lahir dan baru bergelar sebagai manusia, dia juga terpaksa menangis kerana tidak mendapat susu. Ini pun satu kes bengang jugak, kenapa nak kena menangis baru dapat susu? Kat dalam perut ibu aku dulu, tak payah susah-susah, tak payah nak menangis pun. Tak payah nak bengang-bengang pun. Semua dapat.

Tapi bila dah berada kat alam dunia, dah tak sama lagi sifir matematiknya. Kalau nak sesuatu, mesti berusaha, kalau dah berusaha, tak semestinya pulak dapat. Ataupun tak payah berusaha, tiba-tiba dapat apa yang dihajati, pun ada jugak.

Ada hari yang perlu kita tempuh dengan tabah, kerana pada hari itu banyak dugaan yang mendatang, daripada pagi sehinggalah ke malam. Dan kita rasa hari itu adalah hari yang aku paling bengang sekali. Sehingga kita rasa nak marah kat semua orang. Atau sehingga kita rasa sangat sedih. Lalu kita mencari gua Kelam di Perlis untuk berkurung diri, sambil menulis-nulis di dinding gua, lalu orang yang melawat gua Kelam kemudiannya menyangka itu ialah tulisan zaman purbakala.

Tapi berapa banyak hari pulak yang kita telah tempuhi dengan penuh gembira dan warna-warni? Aku rasa lagi banyak hari yang gembira berbanding hari yang penuh duka, kan?

Benarlah, dunia ini memang sifatnya begitu, kita sebagai manusia harus mengharunginya. Ada hari yang gemilang, ada hari yang suram perlu kita tempuhi. Jangan membandingkan hidup kita dengan lembu, kerana lembu tidak perlu untuk dihisab di hari akhirat, dan lembu juga tidak akan dimasukkan ke dalam syurga ataupun neraka. Sebab itu lah hidup seekor lembu tak sama dengan hidup seorang ORANG. Lembu boleh berak merata-rata, sedangkan ORANG hanya boleh kentut merata-rata. Lembu tidak perlu mandi wajib, sedangkan ORANG wajib untuk mandi wajib..haha.

Kalau korang dapat susah, lalu korang berasa bengang, haa..sekarang korang dah tau apa nak buatkan, cepat pergi cari lembu untuk korang menghayati hidup lembu. Aku tak suruh korang sebat lembu untuk lepaskan geram. Kalau nak buat boleh jugak, lepas tu kalau korang terselit kat celah tanduk lembu tu jangan cari aku.

Bersambung.
Wasalam.