Total Pageviews

Monday, October 4, 2010

Pupuskah Bahasa Melayu Ku?

Pada satu ketika dulu, aku memang betul-betul tak sebulu dengan satu tulisan yang dipaparkan di dalam Berita Harian pada tahun 2004. Waktu yang aku berasa tak puas hati itupun pada tahun 2004 jugak. Lantas dengan perasaan yang sangat tidak bersetuju, tiba-tiba aku telah pun berada di hadapan komputer, lalu jari-jemari aku pun mula menari-nari menterjemahkan apa yang melintas di dalam kepala otak, disusun menjadi huruf-huruf dan ayat-ayat yang akhirnya boleh dimengertikan oleh manusia yang boleh membaca dalam bahasa Melayu.

Tidak lama kemudian, apa yang aku tulis tersebut, telah dipaparkan di dalam Berita Harian pada tahun 2004. Tidak lama kemudian, apa yang aku tulis tersebut juga telah disimpan di dalam arkib Dewan Bahasa dan Pustaka, dan boleh dicapai di dalam laman web tersebut.

Aku bukanlah seorang pejuang bahasa, bukan juga seorang yang bagus, tapi aku berasa amat terpanggil untuk menyampaikan isi hati aku, dan aku bukan seorang diri berfikiran demikian, malah aku mewakili mereka yang sealiran denganku. Aku bukan seorang.
Aku juga bukan penentang, aku tidak bermaksud untuk membuang idea yang telah dicanangkan ke seluruh negara itu. Tetapi yang membuatkan aku berasa terpanggil untuk membela ialah apabila ada individu menafikan keupayaan bahasa Melayu, katanya bahasa ini begitu lemah untuk mengangkat bangsanya setingkat setaraf di persada dunia, dan yang dilihatnya ialah bahasa asing, bahasa asing yang mampu untuk mengangkat bangsaku iaitu bangsa Melayu, untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia.

Aku tidak marah kalau engkau mahu bahasa asing. Tapi bilamana engkau berkata bahasa Melayu itu lemah, bilamana engkau mengatakan dengan bahasa Melayu yang lemah ini bangsanya juga tidak pergi ke mana, engkau sudah terlebih, umpama memijak perut aku ketika aku sedang tidur lena.

Untuk engkau, marilah berfikir sejenak. Aku tidak mengatakan engkau seratus-peratus salah, dan aku tidak mengatakan aku seratus satu peratus betul. Ada betulnya engkau, dan ada betulnya aku.

Lalu ke mana jalan terbaik untuk menyampaikan hajat kita semua?  
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
BENARKAH BAHASA INGGERIS PENENTU KEJAYAAN BANGSA?
Sekali  lagi pejuang Bahasa Melayu disangkal. Kali ini Dr. A. Taufik Ghazali mengecam Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia yang telah memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu ketika membidas kenyataan Datuk Sri Rafidah Aziz yang kononnya beliau dan alirannya adalah “cauvinis” bahasa Melayu terkepung dalam kekaburan, termenung di dalam kekeliruan cetusan sendiri.
Dr. A. Taufik menulis tajuk “Kuasai Bahasa Inggeris Untuk Bebas Dari Dijajah”, bagaimanapun timbul persoalan pula benarkah dengan menguasai bahasa Inggeris orang Melayu akan bebas dari dijajah?
Apakah bukti yang menyokong kenyataan beliau ini sedangkan pejuang tanah air yang berjuang memerdekakan negara dari penjajah adalah orang yang buta huruf dan jahil bahasa Inggeris?
Adakah dengan mahirnya kita berbahasa Inggeris, maka masyarakat Melayu seluruhnya terjamin daripada pelbagai bentuk penjajahan? Di manakah jaminan beliau bagi nasib semua bangsa Melayu ini?
Dr. A. Taufik mengatakan Datuk Hassan adalah fanatik bahasa, terikat pada dogma “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa”, sedangkan Datuk Hassan memperjuangkan sesuatu yang hak, sesuatu yang dimiliki bersama oleh orang Melayu dan beliau sendiri. Adakah perjuangan Datuk Hassan itu tidak laku setelah bahasa ibundanya jatuh di kelas ketiga di negaranya sendiri?
Dr. A. Taufik berpendapat dengan bahasa Inggeris ekonomi orang Melayu akan maju tetapi hakikatnya ramai Melayu boleh berbahasa Inggeris seperti saya juga, tetapi mengapa masih ramai lagi yang menjadi hamba kepada orang lain?
Dan mengapa pula dari sudut yang lain, ramai peniaga Melayu yang jahil berbahasa Inggeris tetapi telah pun menjadi kontraktor, peniaga dan usahawan yang disegani dan berjaya?
Dr. A. Taufik mengatakan kerana lemahnya pelajar Melayu menguasai bahasa Inggeris menyebabkan ramai yang menganggur sedangkan hakikatnya pelajar Melayu yang mahir berbahasa Inggeris, yang pulang dari luar negara seperti Amerika, United Kingdom, Kanada dan Australia juga menjadi penganggur.
Dr. A. Taufik menginginkan Malaysia mencontohi India walaupun tidak mengikutinya 100 peratus iaitu dengan pendidikan berteraskan bahasa Inggeris telah berjaya melahirkan ramai tenaga mahir IT sehingga Bangalore berjaya mengatasi MSC.
Beliau terlupa, adakah dengan bahasa Melayu kita akan gagal melahirkan ramai tenaga mahir IT seperti India?
Ini kerana bukankah sejarah telah membuktikan keupayaan bahasa Melayu telah berjaya melahirkan graduan berkualiti dari semua universiti tempatan meliputi pelbagai bidang ekonomi, sejarah, sains, kedoktoran, keagamaan dan bermacam-macam lagi.  Adakah berdirinya Malaysia yang maju hari ini hasil dari bahasa Inggeris seratus-peratus?
Dr. A. Taufik menyanggah Datuk Hassan apabila beliau mengambil contoh negara Jepun dan Perancis yang sentiasa mengutamakan bahasa ibunda.  Dr. A. Taufik mengatakan perbandingan ini tidak sesuai untuk Malaysia dan perbandingan yang dibuat oleh Datuk Hassan ibarat membandingkan buah epal dengan oren.
Beliau terlupa, China yang telah lama terkongkong dan kini bangun dari tidur bukan digerakkan oleh bahasa Inggeris.  Jika Melayu dijajah beratus tahun, rakyat Cina pula telah dikongkong beratus tahun oleh pemerintahan sendiri.
Tetapi mengapa tanpa bahasa Inggeris mereka boleh bergerak maju?  Secara terbaliknya, adakah orang Melayu akan maju dengan bahasa Inggeris?  Adakah bahasa Inggeris satu elemen yang mana dengan ketiadaannya akan memundurkan negara dan bangsanya?
Hari ini, tidak semua orang Cina yang berjaya di dalam perniagaan mahir berbahasa Inggeris.  Tidak semua pelajar Cina yang mendapat pekerjaan mahir berbahasa Inggeris juga.  Tetapi oleh sebab kuatnya jaringan mereka, tiada masalah pengangguran.  Mereka boleh bekerja di mana saja hatta sebagai pengedar VCD.  Dulu, sebelum merdeka, berapa ramaikah orang Cina yang mahir berbahasa Inggeris?
Rata-rata mereka yang berhijrah ke mari tidak tahu berbahasa Inggeris sedangkan pada masa itu negara masih lagi bersuasanakan bahasa Inggeris.  Walaupun begitu, mereka tetap berjaya.  Jadi, adakah benar sekiranya dengan bahasa Inggeris orang Melayu akan maju?
Kepada Dr. taufik dan rakan sealiran dengannya, rujuklah kepada pakar dan pejuang bahasa seperti Dr. KT Joseph, Dr. Teo Kok Seong, Dr. Deraman Aziz, Dr.  Nik Safiah Karim dan Dr. Awang Sariyan kerana jika pandangan mereka ini diabaikan, untuk apakah kita mewujudkan DBP dan golongan sebegini?  Adakah kerana kita berasa lebih arif, lebih celik, tidak keliru atau memegang tampuk kekuasaan maka keputusan masa depan bangsa boleh dibuat secara mendadak?
Titik persamaan di antara beliau dan pejuang bahasa iaitu inginkan bangsa Melayu dan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya.  Pertelingkahan hanya menyemarakkan api dan ego semata-mata. Mengapa tidak kita berdamai dan berusaha?  Bukankah dari bahasa kita bermula dan dengan bahasa juga kita berakhir?  Jadilah bangsa berjaya tanpa menafikan hak bahasa.
MOHD RAFI HADIS,
Johor Bahru,
Johor Darul Takzim
 (Sumber : Berita Harian   (28/08/2004) )