Total Pageviews

Saturday, October 8, 2011

Harimau Malaya Mengiau Di Dalam Kocek Kanggaru

Apa sudah jadi kepada skuad utama Malaysia bernama Harimau Malaya? Nampaknya begitu longlai seperti tidak pernah bermain bolasepak sewaktu dipertemukan dengan pasukan Australia baru-baru ini, mungkin kita ini lebih sesuai bermain congkak?

Memang diakui pasukan bolasepak negara telah sedikit meningkat apabila kita menjuarai piala AFC dan Sukan Sea yang lalu. Untuk kita mengatakan itu adalah nasib saja mungkin agak keterlaluan kerana biasanya nasib tidak mengiringi sebuah pasukan dari mula hingga ke akhir.
Malah bukan setakat itu saja, adakah nasib yang sama juga mengiringi kita untuk kedua-dua kejohanan piala AFC dan Sukan Sea? Tentu ia tidak.




Tetapi itu adalah kejuaraan serantau. Lebih tepat lagi mungkin sesuai untuk digelar juara kampung kerana kita hanya bertemu dengan pasukan yang hampir sama kekuatannya dengan pasukan kita seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar, Singapura dan lain-lain lagi.

Kemudian kita memasang angan-angan lebih tinggi untuk pergi lebih jauh. Itu tidak salah kerana memang impian kita tinggi. Tetapi impian tinggi perlu kepada usaha lebih tinggi berbanding sekarang. Banyak perubahan perlu dilakukan.

Aspek jurulatih amat penting. Jurulatih berpengalaman memberikan hasil buah tangan yang tidak sama dengan jurulatih baru. Apabila jurulatih kita setakat menjuarai pertandingan peringkat kampung di dalam Asean, kita tidak akan kemana.

Dari jurulatih yang baik ini akan bercambah pemain-pemain yang hebat. Dari pemain yang hebat akan melahirkan pasukan hebat. Jelas sekali permainan pasukan kita ketika bertemu dengan pasukan-pasukan hebat seperti Jepun dan Australia menunjukkan kita terlalu jauh ditinggalkan.

Bola yang sebiji itu kelihatan amat cenderung untuk berlegar di kaki pemain-pemain lawan. Sebaik pemain Malaysia mendapat bola, kita dapati mereka gagal menjaga bola, gagal menghantar bola, suka menyimpan bola terlalu lama, menggunakan bola tinggi dan jauh, sepakan tersasar, kerap terkepung oleh pemain lawan. Sedangkan perkara ini tidak berlaku kepada pasukan Australia.

Persoalan ini lebih arif dijawab oleh jurulatih. Nampaknya apabila permainan bolasepak cara moden ini ditonjolkan kepada pasukan Malaysia yang masih menggunakan kaedah bermain cara lama, kita dapati ia amat jauh ketinggalan. Jauh ketinggalan itu dapat dilihat dari pelbagai aspek, bermula dari tengah padang sehinggalah kepada melihat angka gol yang disumbat ke dalam gol Malaysia.

Adakah dibelasah 5-0 merupakan satu angka yang tidak besar? Adakah membawa bola daripada kawasan sendiri kemudian menjaringkan gol di dalam kawasan lawan merupakan satu tugas mudah? Sudah pasti ia bukan mudah. Ia hanya mudah apabila pasukan lawan terlalu goyah atau kerdil atau amat kurang pengalaman.

Dan kita telah melihat bagaimana ini telah dilakukan oleh Australia ke atas pasukan Malaysia, dalam tempoh 3 minit pertama, pada serangan yang pertama kali mereka lakukan, terus dapat menyumbat gol. Ia menunjukkan samada pasukan Australia amat hebat, atau samada pasukan Malaysia amat terkebelakang di dalam sukan bolasepak.

Bagaimana cara kita menyerang, cara kita bertahan, cara pemain-pemain kita mengawal permainan, skil pemain untuk membuat sepakan, strategi mereka untuk melepasi halangan lawan, rata-ratanya jauh ketinggalan. Strategi lapuk amat mudah diteka oleh pasukan yang bagus, tiada kejutan untuk mereka. Tiada set-piece yang kita gunakan untuk memerangkap mereka sekurang-kurangnya menyebabkan mereka mendapat “bloody-nose” walaupun tidak separah mana.

Bagaimana kalau kita mengambil jurulatih dari luar seperti jurulatih Jepun, Korea ataupun Australia untuk menjadi ketua jurulatih pasukan bolasepak Malaysia? Matlamatnya ialah agar permainan gaya moden yang baru dapat diterapkan. Semua jurulatih tempatan dapat belajar.

Jika Rajagobal dan Ong Kim Swee mampu untuk meningkatkan mutu ini sehingga mampu untuk bersaing dengan pasukan bertaraf dunia, itu tidak mengapa untuk mereka dikekalkan. Tetapi bagaimana kalau kemampuan mereka hanya setakat itu saja?

Jelas lagi nyata kebanyakan pasukan tetangga seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia menggunakan jurulatih asing yang tersohor lagi hebat. Buah tangan mereka amat baik. Natijahnya Singapura, Thailand dan Indonesia melangkah lebih jauh di dalam saingan antarabangsa kelayakan ke Piala Dunia sedangkan Malaysia telah gulung tikar lebih awal. Permainan mereka juga meningkat mendadak. Apa sudah jadi?

Terpulang kepada FAM yang lebih arif dan pengalaman. Apapun ini semua adalah rempah kehidupan bukan satu matlamat hidup.



Mohd Rafi
Johor Bahru
8 Okt 2011