Total Pageviews

Saturday, January 7, 2012

Baca Hadis2 Nabi Untuk Anak2 Bukan Astro Semata

Kita semua sedia maklum dan biasa mendengar daripada bicara Pak Ustaz mengatakan hati itu akan mati apabila tidak mendengar hadis-hadis Nabi saw dalam masa 3 hari.




Dalam kuliah Ustaz Zahazan beliau menyarankan agar kita semua dapat membaca hadis-hadis Nabi saw sebelum mata terpejam tidur, iaitu kita boleh membacanya untuk diri kita sendiri, selain itu ia juga sebagai pengganti bacaan terbaik untuk anak-anak berbanding dengan bacaan kisah-kisah dongeng seperti nenek kebayan dengan lima biji epal, puteri katak dengan putera raja, puteri berambut panjang dan orang kerdil dan pelbagai lagi kisah-kisah dongeng yang dijaja oleh Yahudi dan Nasrani.

Kata Pak Ustaz, semua itu tidak berfaedah langsung malah merosakkan jiwa anak-anak kita. Diulang sekali lagi, “tidak berfaedah langsung!!!”.

Untuk mengambil pengajaran ini, lalu aku (yang tidak seberapa ini pun) pada suatu malam memberi isyarat kepada anak aku agar menutup Astro lantas segera duduk di hadapan aku yang telah bersedia untuk memulakan pembacaan kitab hadis. Sekarang kita tukar Channel akhirat pulak.

Setelah semua ahli telah pun bersedia, aku pun seperti Tok Guru membuka kitab tersebut dan mula membaca potongan hadis yang pertama. Segalanya berjalan lancar sehinggalah tiba kepada satu ayat berikut, tiba-tiba anak aku bertanya macam-macam soalan.

“Tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah, Dialah yang satu, tiada sekutu bagiNya, Dialah Raja, dan segala pujian bagiNya dan Dialah Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu” (HR Abu Daud)

Mulanya aku bertanya kepada anak aku yang sulung, Tuhan ada berapa? Lalu anak aku pun menjawab Tuhan ada 33.

Ha, jawapan yang mengejutkan? "Ye ke Tuhan ada 33? Mana dengar semua ni?", aku pun bertanya kepada anak aku dengan mata separuh terbeliak ala-ala telur separuh masak.

Anak aku menjawab, “tadikan ayah baca hadis lepas solat baca Subhanallah 33 kali, baca Alhamdulillah 33 kali, kemudian baca Allahuakbar 33 kali? Jadi Allah ada 33 lah”. Hahah..sambil tersenyum dan kening terangkat pelik, aku berfikir samada anak aku sedang buat lawak atau memang jujur?

Kemudian aku pun menerangkan bahawa Allah itu satu, tidak ada yang setanding dengannya. Dia adalah yang Maha Hebat. “Maha” maksudnya tersangat tersangat tersangat hebat atau lebih daripada segalanya, ia tidak terbayang oleh akal. Lalu tiba-tiba anak aku mengangkat tangan isyarat menyuruh aku berhenti. Lalu dia menyoal aku, “ayah kenapa Allah hebat?”.

Lalu aku pun berfikir sesaat kemudian menjawab, “dah Allah memang hebat, nak di apakan? Ayah bukan boleh buat apa-apa pun. Allah memang dah hebat, paham?”

“Tapi syaitan boleh lawan Allah kan ayah?”, bertanya lagi anak aku.

“Tidak”, aku menjawab.

“Syaitan pun Allah yang ciptakan. Jadi Allah jauh lebih hebat daripada syaitan. Malaikat pun Allah yang ciptakan. Manusia, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, semua ini Allah yang jadikan. Allah saja yang paling hebat”, aku menerangkan bersungguh-sungguh.

“Habis tu otromen kuat?”, bertanya lagi anak aku meminta jawapan.

“Otromen tu tak pernah wujud, itu semua manusia yang buat cerita”, aku membalas.

“Tapi kalau tak pernah wujud, macamana orang boleh buat otromen, semua ni datang dari mana?” bertanya lagi anak aku.

“Eh-eh banyak soal pulak kau ni”, aku berkata dalam hati. Kemudian aku menyambung, “Otromen ni manusia yang buat cerita. Ayah pun boleh buat cerita Otromen Dua. Tapi sebenarnya Otromen tak pernah wujud. Kalau Otromen ada sekalipun, dia masih tak kuat dan hebat seperti Allah”.

Anak aku pun mengangguk-angguk tanda paham. Aku pun mengulang kembali bacaan di atas tadi.

“Tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah, Dialah yang satu, tiada sekutu bagiNya, Dialah Raja, dan segala pujian bagiNya dan Dialah Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu”

Tiba-tiba anak aku mengangkat tangan isyarat menyuruh aku berhenti. Eh apa lagi ni suruh aku berhenti je, kalau macam ni bila aku nak habis baca?

“Ayah, tadi ayah baca Dialah Raja, kenapa Tuhan jadi raja?”, anak aku bertanya lagi. Lalu aku pun macam rasa nak tercekik tulang kemudian menjawab, “habis kalau Allah tak jadi raja, nak suruh Dia jadi apa?”, lepas tu aku rasa macam jawapan aku ni melawak sangat, aku pun ketawa sendiri sampai keluar air mata, tapi harap-harap jawapan yang aku bagi tadi itu akan memahamkan anak aku, hahahah.

Lalu aku pun seakan tersedar, banyak perkara yang mungkin bersarang di dalam benak anak-anak aku sebagai persoalan yang belum terjawab tentang ketuhanan dan tentang agama. Benarlah apa yang disarankan oleh Ustaz Zahazan membacakan hadis-hadis kepada anak-anak sebelum tidur adalah lebih berfaedah berbanding kisah-kisah dongeng ala Yahudi dan Nasrani.

Di dalam satu situasi lain, aku dan anak-anak sedang berada di dalam kereta. Tiba-tiba anak aku bertanya, "ayah, kenapa manusia ada rambut?", lalu aku pun tanpa berfikir panjang dan secara tidak ilmiah menjawab ala-kadar, "sebab manusia tanpa rambut tak cantik, Ilham nak botak ke?", aku cuba menjawab secara perbandingan supaya dia paham.

Tetapi yang paling jelas ialah bagaimana Allah telah bukan sekadar mencipta sahaja manusia ini, tetapi Allah juga telah MENYEMPURNAKAN apa yang telah Dia ciptakan. Ia adalah sama seperti seorang manusia yang membina sebuah rumah, tetapi akhir sekali dia akan mengecat rumahnya hanya untuk menyempurnakan pembinaan rumah tersebut.

Dan ini ialah jawapan yang sebenarnya hendak aku katakan kepada anak aku, tetapi aku tidak pandai untuk menyusun ayat-ayat ini. Lantas isteri aku pun menjawab panjang lebar secara ilmiah kepada anak aku mengapa manusia ini ada rambut. Jawapan yang bukan milik budak darjah dua untuk anak aku, tetapi mungkin untuk budak tingkatan enam.

Belasah sajelah labuuu....

Pada hari yang lain, sewaktu aku dan anak2 sedang memandu untuk isyak di surau, tiba-tiba anak aku bertanya, "ayah kenapa bila matahari pusing habis sampai dah tak nampak lagi, semua jadi gelap?"...


Uhuhu..dah masuk soalan Geografi pulak ni, nanti ayah belikan globe bumi dan matahari.



Mohd Rafi
Johor Bahru
7 Jan 2010