Total Pageviews

Sunday, November 20, 2011

Dendam Garuda Tidak Sabar Untuk Menggigit Harimau - Kalah kah Malaysia?

Ketika masa hanya tinggal beberapa jam untuk berlangsungnya perlawanan akhir bolasepak Sukan Sea ke 26 di antara Harimau Muda dengan Garuda Muda, tsunami kecederaan telah mula membadai seorang demi seorang pemain tonggak pasukan negara. Sementara itu Garuda pula sangat bernasib baik apabila kesebelasan utama mereka akan dapat diturunkan.


Izzaq Faris telah sudah pasti akan tercicir apabila hanya mampu berjalan menggunakan dua tongkat. Ketiadaannya amat dirasakan kerana lariannya yang mampu menekan dan menggugat barisan pertahanan pasukan lawan. Kini dengan ketiadaannya, tiada lagi pemain tinggi lampai yang berkaki panjang untuk menjadi pencabar.

Yang tinggal ialah Fakri Sakrani, juga seorang penyerang. Senasib dengan Izzaq yang ketandusan gol di sepanjang temasya Sukan Sea kali ini, dia harus dua kali ganda mengerah tenaga dan ketajaman untuk menyumbat gol. Bukan seperti di dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini yang memberikan kejutan kepada penyokong negara apabila gagal menyumbat gol sedangkan pintu gol telah pun ternganga. Apapun, diharapkan jaringan Fakri ketika menentang Myanmar pada separuh akhir yang lalu, menjadi titik tolak untuk ketajaman sentuhannya.

Thamil Arasu juga dilihat sebagai alternatif untuk menggantikan Izzaq Faris, tetapi dia tidak banyak menggalas tugas ini apabila hanya duduk di bangku simpanan. Adakah ini akan memberikan ruang untuk beliau untuk membuktikan sekali lagi bahawa beliau mampu melakukan tugas ini?

Kehilangan Badrol sebagai kapten yang mencorakkan permainan pasukan Malaysia setelah dikatakan mengutip dua kad kuning dan tidak dapat diturunkan ketika final nanti, dengan gelecekan dan jolokan yang tajam, sudah tentu peminat-peminat di tanahair tertanya-tanya siapakah bakal menggalas tugas beliau. Siapa pula yang akan menggantikan sepakan dan rembatan deras beliau ke pintu gol lawan seperti ketika beliau menjaringkan gol sewaktu menentang Thailand dan Kemboja? Kehilangan seorang play-maker sudah tentu amat dirasai dan melemahkan bahagian tengah pasukan Malaysia. Dan Gurusamy adalah pemainnya yang dilihat mampu mengisi posisi berikut.

Syahrul Azwari serta Kecik (nama timangan) adalah dua lagi pemain tonggak yang tersenarai di dalam senarai pemain yang perlu di bawa untuk mendapatkan rawatan segera apabila pulang ke tanahair. Dua pemain ini tidak dapat diturunkan oleh Ong Kim Swee. Beliau bakal mengigau pada malam terakhir sebelum berentap dengan pasukan Garuda. Sebagai jurulatih Malaysia yang hebat, adakah beliau dapat mengelakkan Harimau daripada luka parah dicakar dan digigit Garuda?

Yang pasti bukan tanggungjawab coach sahaja, sebaliknya menjadi tanggungjawab pemain yang bakal menggalas tugas ini. Yong merupakan pemain yang bakal mengisi posisi ini tetapi beliau juga mengalami kecederaan ketika Malaysia menentang Indonesia pada peringkat kumpulan.

Yang bersyukur ialah pemain pertahanan masih kekal. Muslim, Asrarudin, Mahali dan Fadlisas adalah tonggak utama yang masih mengekalkan kekebalan pertahanan Harimau seperti ketika berentap dengan Garuda dan Myanmar sebelum ini. Mereka berjaya mengekang dan mengatasi penyerang-penyerang pasukan lawan, perangkap off-side serta kecekapan merampas bola pada kaki lawan merupakan kunci utama.

Selain itu bantuan daripada pertahanan atas di bahagian kiri dan kanan amat diperlukan bagi mengekang pergerakan pasukan Garuda supaya mati pada bahagian middle-third, supaya bola tidak masuk ke kawasan gol Malaysia. Selain itu jangan terlalu bermurah hati untuk menghadiahkan sepakan percuma di depan gol sendiri kerana pemain-pemain Garuda mampu untuk menghasilkan jaringan daripada sepakan percuma di luar kotak penalti seperti yang dilakukan oleh Okto dan Bonai.

Adakah Malaysia akan bermain dengan membiarkan seorang saja penyerang berada di atas iaitu Fakri? Ya, ada kemungkinan besar ia akan berlaku seperti yang kita lihat di dalam Sukan Sea dua tahun lepas ketika dibimbing oleh Datuk Rajagobal dengan meletakkan Aidil Zaquan di bahagian kiri berseorangan di atas. Tetapi penyerang itu harus mampu untuk mengawal bola dan berlari pantas ke atas, merobek-robek pertahanan lawan sebelum menanti rakan-rakan yang lain naik.

Selain itu hantaran daripada rakan-rakan dari bawah ke atas adalah penting dengan hantaran yang tepat, tidak tersasar keluar atau kepada pihak lawan. Jika tidak, ia hanya meletihkan penyerang. Ini adalah di antara teknik yang selalu digunakan oleh Harimau ketika berdepan dengan pasukan yang kuat iaitu untuk mengekalkan jumlah pemain yang mencukupi di bahagian tengah dan pertahanan.
Untuk pasukan Garuda, sudah tentu mereka sudah tidak sabar untuk menanti detik 8 malam 21-November bagi menggigit dan meratah pasukan Harimau yang telah menyebabkan mereka mendapat kekalahan pertama di dalam kejohanan kali ini setelah mereka membenam pasukan-pasukan lain dengan jumlah jaringan besar, tetapi tumpas kepada pasukan Harimau.

Sudah pasti dendam Garuda beserta dengan penyokong fanatik mereka tidak akan terbendung lagi. Dan apa yang dijangka ialah serangan bertali arus pasti akan masuk ke pintu gol Malaysia tanpa ada rasa kasihan. Alangkah seronoknya jika Harimau mampu bertahan dan menyerang lalu menang untuk melenyapkan kelantangan trompet penyokong Garuda di stadium Gelora Bung Karno nanti.

Apapun, tahniah buat team bolasepak Harimau Muda kerana berjaya melangkah ke akhir. Selamat berjuang sebagai juara bertahan untuk mempertahankan emas dua tahun lalu. Kita mengharapkan kemenangan. Tetapi kalau kalah, ia adalah adat pertandingan. Tambahan pula kita telah kehilangan ramai tonggak utama, dan umpamanya kita menurunkan skuad kedua untuk berlawan dengan mereka, serta mereka dibantu oleh ratusan ribu penyokong fanatik di dalam dan di luar stadium.

Kalahkah pasukan Harimau Muda Malaysia?

Yang pastinya 3 hari setelah itu tanggal 23-November, kita akan menentang Syria di stadium Bukit Jalil bagi meneruskan jadual pertandingan peringkat kumpulan bagi kelayakan ke Olimpik London 2012 nanti. Tugas berat untuk Ong Kim Swee dan pasukan Harimau Muda.


Mohd Rafi
Johor Bahru
20/11/2011