Total Pageviews

Friday, December 16, 2011

Bumi Planet Yang Semakin Tenat – Dimana Aku?

Bumi Planet Yang Semakin Tenat – Dimana Aku?



Aku pernah mendengar di dalam radio bicara Pak Ustaz mengatakan satu hadis Nabi saw yang menggambarkan bahawa manusia yang bertemu dengan hari kiamat adalah manusia yang paling buruk nasibnya. Wallahualam. Sila rujuk pak ustaz untuk lebih lanjut.

Tetapi ini menggambarkan betapa buruknya nasib manusia-manusia yang bertemu dengan hari kiamat. Ini kerana sebagai seorang Muslim kita harus meyakini bahawa setiap Muslim akan mati terlebih dahulu sebelum kiamatnya alam ini. Iaitu apabila datang sejenis angin yang bertiup lalu akan mematikan setiap insan yang berjiwa Muslim.

Apakah maknanya kiamat?

Entah, aku pun tidak tahu. Tetapi barangkali Kiamat bermaksud musnahnya seluruh alam semesta ini secara fizikal begitu juga semua sistem yang ada, begitu juga semua daya tenaga yang selama ini menjadikan alam ini begitu seimbang.

Seperti mana manusia, tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan akan menemui ajal masing-masing setelah sampai masanya, begitu juga dengan semua perkakasan di rumah kita seperti pinggan, mangkuk, cawan, televisyen, handphone dan sebagainya. Semua perkakasan ini ada ajal masing-masing.

Dalam bicara pak ustaz yang pernah aku dengar baru-baru ini, Nabi saw tidak memarahi seorang Sahabat yang telah terpecahkan sebiji pinggan, malah Nabi saw berkata bahawa telah tiba ajal untuk pinggan tersebut. Begitu baik akhlak Nabi saw.

Ajal ini akan berlaku termasuk juga kepada bintang-bintang yang besar, iaitu bintang yang kita lihat di langit pada malam hari yang mungkin pada hari ini kita menyangka bahawa ia telah wujud jutaan tahun sebelum ini dan akan kekal wujud jutaan tahun lagi sehinga ala mini kiamat, ia tidak begitu.

Namun, walaupun bintang berlipat kali ganda lebih besar daripada bumi, tetapi apabila ia telah sampai kepada ajalnya, bintang ini akan hilang keseimbangan lalu menghasilkan satu letupan besar yang digelar supernova sehingga mencipta satu lohong gelap di ruang angkasa raya yang luas yang kita panggil black hole yang akan menyedut setiap objek yang melaluinya termasuk juga sistem suria kita atau apa-apa saja.

Kita boleh barangkali membayangkan betapa dasyatnya proses kematian sebutir bintang yang bersaiz lebih besar daripada matahari.

Tentang kiamat, ia bukan setakat ajal sebutir bintang, tetapi sebaliknya adalah ajal kepada seluruh alam semesta ini. Yang tinggal pada ketika itu ialah the Almighty of Allah.

Dasyatnya kiamat

Ia boleh dibayangkan di dalam beberapa potong ayat, iaitu apabila gunung-ganang berterbangan seperti anak-anai berterbangan. Ia hanya sepotong ayat yang menggambarkan betapa dasyatnya peristiwa kiamat, apabila bumi hancur, seluruh sistem suria hancur, bima sakti hancur, malah apa saja yang terkandung di dalam alam semesta ini hancur. Apabila ini berlaku, aku tidak tahu di mana kedudukan manusia. Sudah pasti ia lumat.

Melihat kepada video-video tsunami di Jepun, betapa pantasnya gelombang tsunami membadai dan melanggar daratan Jepun meranapkan semua yang ditemuinya, aku mengandaikan ombak itu sudah pasti lebih laju daripada kelajuan aku berlari. Ketika ombak itu datang melanggar ladang-ladang dalam sekelip mata saja, aku tidak pasti sekiranya aku memandu kereta, berapa laju aku perlu menekan minyak untuk melarikan diri daripada ombak tersebut.

Yang pastinya ini bukan kiamat dan bumi hanya bergegar untuk beberapa saat akibat bergeselnya dua plat tektonik, bukan keseluruhan bumi yang bergegar dan bersedia untuk berlaku letupan.
Tetapi pada hari ini, kita menyelitkan kata-kata hari Kiamat di dalam iklan shampoo dan membandingkannya dengan kelumumur?

Mempermainkan Nama Allah

Aku bukan ustaz, bukan juga orang alim. Tetapi aku tidak gemar untuk melihat bagaimana pelakon menyebut nama Allah sebagai lawak jenaka di dalam telemovie Nak Balik Raya yang disiar ulang oleh Astro pada malam sebelum Hari Raya Aidil Adha lakonan Johan Azizan dulu kala (dah lama cerita ni). Bukan aku hendak menghina pelawak-pelawak ini. Tetapi sebaliknya aku rasa terhina.

Babak ketika mereka berdua berhenti di gerai makan pada waktu malam lalu muncul hantu putih di belakang mereka berdua sewaktu hendak melarikan diri dari gerai tersebut. Lalu Johan menyanyikan lagu Allahu..Allahu…Allahu, sambil itu Azizan membunyikan sound track hip-hop dengan mulut beliau.

Terkejut, amat menjengkelkan, tidak sensitif dan mempermainkan nama Allah, malah meletakkan nama Allah yang agung setaraf dengan lawak kalian. Aku tidak ketawa pun melihat adegan tersebut.
Dan aku masih berpegang kepada fahaman bahawa setiap orang yang beriman harus berusaha untuk menjadikan hati mereka bergetar ketakutan apabila mendengar ataupun menyebut nama Allah, bukan menyebut nama Allah sambil membunyikan sound track hip-hop untuk membuat lawak.

Malah adegan ini berulang kali dilakukan, bukan sekali dua. Tidak marah, malah aku bersangka baik, insyallah ini kesilapan yang akan ditebus oleh mereka berdua kelak.

Majnun Cinta Laila

Kisah Majnun cinta Laila adalah bukti apabila kita menyayangi sesuatu, kita biasanya akan bersikap protective atau pun ingin melindungi benda yang kita sayangi tersebut.
Begitu juga apabila peribadi Nabi Muhammad saw diserang oleh orang-orang kafir, kita akan terguris dan mengambil sikap untuk mempertahankan apa yang kita yakini. Walaupun kita ini barangkali seorang mat rempit tetapi masih lagi sebagai seorang muslim yang percaya kepada Allah dan rasul.

Aku juga bukan ekstremis yang dengan mudah bawa bom lalu campakkan kepada pelakon-pelawak yang mempermainkan nama Allah dan Nabi Muhammad saw.

Kisah Majnun ialah begini, apabila Majnun melalui bandar yang didiami oleh Laila, perasaan cinta dan rindunya kepada Laila membuak-buak, membuatkan Majnun menyayangi semua benda yang berada di bandar tersebut termasuk tembok-tembok batu dan bangunannya. Malah tembok batu itu juga dipeluk dan dikucup oleh Majnun.

Sehingga akhirnya kepada darah dan nyawa bersedia diserahkan oleh Majnun untuk Laila. Begitulah Cinta. Para Sahabat, Tabien, dan mereka yang menuruti mereka selepas itu telah membuktikan cinta mereka kepada Allah dengan memberikan nyawa mereka untuk berkorban kepada agama Allah. Mereka adalah sebaik-baik insan yang amat takut sebaik mendengar nama Allah disebut, sentiasa menghabiskan masa satu pertiga malam untuk bangun bertahajud dan menangis di malam hari memohon taubat kepada Allah.

Sebaliknya kita hari ini menyebut nama Allah untuk membuatkan orang lain terhibur? Untuk menjadikan babak filem hantu lebih hidup? Hahaha..aku ketawa untuk diri aku sendiri, jauh benar aku tersasar daripada apa yang agama kehendaki. Sambil itu aku bersedih untuk diri aku sendiri.

Kiamat Sudah Dekat 2012?

Dunia akan berakhir 2012? Tetapi kelumumur tidak akan berakhir sampai bila-bila? Hehe..itu adalah iklan shampoo rambut di tv.

Kalau dunia akan berakhir pada 2012 sekalipun, manusia masih lagi sibuk dengan seribu satu macam urusan-urusan dunia, termasuklah aku. Benar sekali bahawa kita gagal untuk merasakan kematian itu akan datang pada bila-bila masa. Perginya pelakon Faizal Yusof buat selamanya amat mengejutkan. Beliau pergi sehari lebih awal berbanding dengan lakonan drama beliau “Kedaung”.
Ada masa-masanya kita akan merasakan kehidupan yang kita lalui amat sempit. Pelbagai masalah datang bertimpa-timpa dari depan dan belakang, dari kiri dan kanan.

Ada orang yang mengambil jalan pintas untuk keluar dari otak yang berserabut untuk mencari ketenangan dengan mula menghisap rokok, menyedut sisya, berkaraoke, berclubbing dan sebagainya. Tetapi aku masih berpegang kepada fahaman bahawa ketenangan ini datang daripada Allah. Dan ketenangan yang hakiki hanyalah apabila kita beramal dengan amalan agama seperti bersolat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, bergaul dengan orang-orang soleh dan sebagainya.

Walaupun aku sendiri belum tentu untuk mengamalkannya, tetapi inilah fahaman yang aku pegang.
Tempat yang paling tenang ialah di Masjid atau di Surau. Itu adalah ruang di mana para Malaikat rahmat datang untuk menurunkan rahmat dari langit ke dunia ini. Tenang adalah anugerah daripada Allah, ia bukan ciptaan. Tenang daripada menonton wayang, berkaraoke, berclubbing dan sebagainya adalah tenang yang penuh kepalsuan, tenang sementara tetapi serabut berpanjangan.

Aku akan sentiasa mengenang satu suasana, di mana ketika aku melangkahkan kaki masuk ke dalam masjid, tiba-tiba aku berasakan diri aku seperti dilimpahi dengan ketenangan yang banyak. Otak yang berserabut tadinya sewaktu di luar masjid seolah-olah telah hilang. Dan itu ialah peristiwa yang berlaku sewaktu aku hendak berzohor di Masjid Larkin.

Ini kerana Malaikat rahmat tidak berada di pusat karaoke. Banyak kisah tentang orang kafir memeluk Islam apabila pertama kali mereka masuk ke dalam masjid dan dapat merasai bagaimana otak yang serabut mereka tiba-tiba menjadi tenang apabila menerima kejernihan rahmat daripada Allah.
Oleh itu kepada para pencari ketenangan, fikir-fikirkan lah.

Mudah-mudahan aku bukan orang yang termasuk untuk menemui apa itu hari kiamat. Begitu juga dengan bencana lain seperti tsunami umpamanya, walapun aku sudah berkali-kali bermimpi tsunami melanda pantai Pontian dan Pantai Teluk Danga. Anggap saja mimpi aku itu seperti orang mengigau sebab terlebih makan sebelum tidur, tidak basuh kaki atau tidak tidur seperti sunnah Nabi saw.

Menjadi Atheis Dan Tidak Percaya Tuhan Adalah Lebih Baik?

Bukan seorang dua, malah sebenarnya ramai umat manusia pada hari ini memilih untuk boleh mempercayai mana-mana agama. Ini kerana sebenarnya mereka tidak tahu Tuhan berada di pihak yang mana kerana ada banyak agama di dunia pada saat ini.

Faktor lain ialah mereka sengaja membiarkan diri mereka bebas daripada belenggu pencarian agama kerana pencarian agama adalah sesuatu yang memakan masa dan memeningkan kepala. Selain itu agama juga menyebabkan mereka terpaksa memikul tanggung jawab untuk beramal dengannya.

Jadi adakah benar menjadi Atheis tanpa mempercayai Tuhan itu adalah lebih baik?


Allah know best.
Mohd Rafi
Johor Bahru
16-Dec-2011