Total Pageviews

Sunday, November 6, 2011

Perginya Seorang Muammar Gaddafi

Ketika dunia pada waktu ini sudah mula beransur-ansur melupakan peristiwa terbunuhnya Muammar Gaddafi, aku masih lagi menyimpan peristiwa dan mengingati bagaimana wajah-wajah terakhir bekas pemimpin Libya itu sebelum beliau tiba pada nafasnya yang terakhir.




Apa yang pasti di sebelah satu dunia yang lain, ada ramai manusia yang terlalu rakus untuk melihat pemimpin itu mati sedang di satu pihak yang lain, ada yang menyokong beliau. Ia hanyalah satu rentetan kisah serupa bagaimana ramai kepala-kepala penting di dunia Arab menemui ajal mereka satu persatu.

Adakah itu satu komplot? Hati aku mengatakan ya, ia merupakan satu komplot bagaimana pada zaman moden ini kuasa barat masih meneruskan kelakuan nenek moyang mereka sebagai bangsa yang suka menjajah dan merompak harta kekayaan negara lain lalu membahagi-bahagikan harta curian tersebut yang bernilai berbilion USD.

PBB pula tidak lebih merupakan satu alat yang digunakan untuk menjajah serta merompak melalui cara yang paling bermunasabah dan dengan alasan yang diizinkan beserta mandat penduduk dunia kononnya. Aku muak.

Selain mengaut keuntungan dan meneruskan kesinambungan kuasa mereka di dunia ini untuk beberapa dekad, mereka juga mendapat kelebihan dengan menggantikan pemimpin boneka yang akan menari apabila ditarikan oleh tangan-tangan mereka yang wujud di belakang pentas.

Dunia Yang Tidak Pernah Adil


Yang pastinya dunia ini bukan lah satu tempat yang adil untuk setiap manusia yang lahir. Apabila seorang manusia berharap keadilan untuk dirinya, ia mungkin tidak akan mendapatnya di sini.

Keadilan di dunia ini hanyalah simbolik semata-mata. Ia bermula dari dahulu lagi sehingga kini. Ada manusia yang mendapat lebih daripada apa yang mereka perlukan, serta ada manusia yang tidak mendapat apa-apa seperti apa yang sepatutnya mereka dapatkan.

Hanya di akhirat adalah tempat yang adil untuk semua manusia. Kerana sebagai seorang Muslim sudah pasti kita perlu yakin dengan janji Allah bahawa tidak aka nada satu kebaikan pun yang tidak akan dikira di atas timbangan walaupun ia bersaiz sebesar zarah, melainkan ia juga akan dikira oleh Allah untuk membalasnya.

Kematian Tragis

Termasuk diri sendiri, ramai orang akan mahukan kematian yang baik. Tidak kira apa agama meraka. Aku pasti. Melainkan ada segelintir orang yang tidak pernah kisah bagaimana mereka harus mati. Mungkin mereka ini adalah mereka yang telah lalok dengan ganja atau dadah. Atau juga penjenayah berat yang melakukan jenayah tanpa menghiraukan kalau-kalau akhirnya mereka mati ditembak tergolek di tepi mesin ATM.

Ada orang yang mahu mati sebagai patriot, sebagai pejuang, sebagai artis, sebagai anak seni, sebagai ahli agama, sebagai pendakwah, sebagai pembela agama dan sebagainya. Kalau melihat bagaimana pahlawan samurai zaman dahulu kala mahu mati, ya mereka mahu mati dalam bentuk yang paling bermaruah untuk dikenang.

Ia termasuk dengan pejuang-pejuang di zaman penjajah dahulu yang akhirnya kematian mereka sebagai pejuang negara dipindahkan ke dalam bentuk sebuah tugu seperti tugu negara untuk mengingati mereka.

Melihat kepada bagaimana Saddam Hussien menemui ajal, melihat kepada bagaimana Muammar Gaddafi menemui ajal, pasti ada banyak telahan daripada kita semua kepada dua individu tersebut. Pasti ada orang yang mengatakan itu adalah balasan kerana kekejaman meraka.

Bersangka Baik

Hati adalah tempat dimana bermula semua telahan demi telahan ke atas orang lain. Otak adalah tempat untuk menilai telahan tersebut kemudian memberikan satu jawapan logik samada untuk menerima telahan tersebut atau menolak. Kemudian hati akan menjadi tempat terakhir untuk membuat keputusan.

Secara mudahnya hati adalah raja, sementara otak adalah penasihat raja. Apabila penasihat mengatakan tidak, ia tidak bermakna raja akan mengatakan tidak.

Melihat kepada bagaimana Muammar Gaddafi mati serta sejarah hidup beliau yang dipaparkan oleh media penuh dengan kemewahan serta pemerintahan kuku besi, mungkin lebih layak beliau mati dalam keadaan berikut dan pastinya ada balasan Allah untuk beliau. Itu adalah hati kita yang tidak bersangka baik.

Namun itu yang zahir pada mata. Dan mata adalah sesuatu yang sentiasa tersilap dengan ilusi. Lalu menghantar isyarat yang silap juga kepada otak dan hati.

Bersangka baik merupakan yang terbaik kepada saudara seagama. Ini adalah kerana seburuk-buruk seorang yang beriman, ia adalah lebih berharga di sisi Allah berbanding sebaik-baik seorang yang tidak beriman kepada Allah.

Seseorang yang beriman kepada Allah walaupun dengan iman yang sehalus zarah, setiap kebaikan yang dilakukan walaupun seringan-ringan kebaikan, ia tetap akan dikira oleh Allah. Sebaliknya kebaikan yang sebesar gunung sekalipun tidak akan dipandang oleh Allah sekiranya ia dilakukan oleh mereka yang tidak beriman.

Mencari Kebaikan

Sukar untuk menjejak kebaikan Muammar Gaddafi, kebanyakan media nampaknya tidak menyebelahi beliau. Tetapi akhirnya aku tidak terkejut apabila membaca berita yang beliau banyak menyalurkan derma untuk pertubuhan-pertubuhan Islam di luar Libya untuk membangunkan masjid dan sebagainya. Soal ikhlas ataupun tidak ikhlas itu adalah sesuatu yang tersembunyi dan tidak dapat ditentukan oleh manusia, tetapi hanya Allah yang tahu.

Akhirnya aku temui kebaikan daripada 99 keburukan yang dipaparkan oleh pihak media terhadap beliau. Mudah-mudahan Allah memberikan apa yang selayaknya beliau perlu dapat. Malah lebih daripada itu.



Mohd Rafi Hadis
Johor Bahru
10 Zulhijjah