Total Pageviews

Saturday, August 20, 2011

Ada Apa Dengan Madinah Mekah?

Malam tadi sewaktu tidur aku terganggu oleh isteri yang nakal yang berbaring di sebelah aku, aku pun bangkit. Masa itu jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Kemudian aku pun buka Astro Oasis untuk melihat siaran langsung solat Terawih di Masjidil Haram. Sama seperti malam-malam sebelum ini.

Apa yang aku nampak ialah lautan manusia memenuhi kawasan Masjidil Haram. Umpamanya tidak ada satu ruang pun yang kosong melainkan semuanya dipenuhi manusia. Lalu aku pun terfikir jika sekiranya tsunami melanda dan melanggar semua manusia yang berada di Masjidil Haram tersebut? Hehehe...fikiran yang bercanggah.

Kemudian imam pun memulakan solat. Sesungguhnya tidak ada yang lebih merdu melainkan bacaan Quran oleh imam-imam di Masjidil Haram. Adakalanya bacaan mereka tersekat-sekat menahan syahdu. Itu adalah insan terpilih. Serta mereka yang berada di sana pada ketika ini juga merupakan insan terpilih. Kemudian tiba-tiba aku terasa seakan-akan terbit keinginan yang mendalam untuk ke sana. Itupun kalau dapat. Layak kah aku? Aku bertanya pada diri macam orang bodoh.

Tidak ada kenangan terindah iaitu menjejakkan kaki di bumi Madinah dan Mekah seperti yang pernah aku lakukan pada tahun 1998. Kalau lah ada rezeki lagi untuk aku ke sana ?

Tidak ada saat yang paling meruntun jiwa apabila aku macam orang bodoh hadir ke bumi Madinah, tanpa pemandu, tanpa teman-teman menjadi penunjuk jalan dan sebagainya. Semuanya main redah sendiri. Maklumlah konon-kononnya jiwa berdikari. Sehinggalah pada Subuh yang pertama aku bersolat di Masjid Nabawi, kemudian sempat pula aku bersapa dengan seorang jemaah dari Indonesia yang berada di sebelah aku, lalu aku pun bertanya, di mana terletaknya makam Nabi saw?

Setelah solat subuh selesai, aku pun mundar-mandir di dalam kawasan Masjid Nabawi. Jakun aku. Kemudian aku pun melangkah ke tempat di mana makam Nabi saw terletak. Lalu aku pun menjadi hairan dengan begitu ramai manusia yang bersesak-sesak di kawasan tersebut. Aku pun berkata dalam hati, rileks la beb.

Kemudian sebaik berada di hadapan makam Nabi saw, aku pun terkial-kial mengeluarkan buku panduan, di dalam buku itu aku selak halaman yang bertulis doa memberi salam kepada Nabi saw. Sebelum itu sempat juga aku berasa hairan dengan semua orang yang kelihatan seperti meratap. Ada yang menangis bersungguh-sungguh, ada yang tenang, ada yang membaca doa. Hehe..aku pun sekali lagi berkata dalam hati, rileks la beb. Kemudian dengan lafaz Bismillah, aku membaca doa tersebut dengan tenang dengan perasaan yang amat neutral.

Sekali lagi aku menjadi hairan, jiwa tadi yang tenang serta tidak berasa apa-apa, tiba-tiba menjadi sebak sebaik membaca salam kepada Nabi saw tersebut, seolah-olah salam itu berjawab, seolah-olah benar-benar menziarahi Nabi saw yang masih hidup, seolah-olah baginda Nabi saw sedang berada di hadapan aku dan melihat aku. Lalu aku pun tidak dapat menahan sebak. Perasaan sebak tadi yang hanya sebak-sebak basah kini telah bertukar menjadi sedu-sedan. Terasa betapa amat kerdil dan kotor diri ini berhadapan dengan sebaik-baik manusia di sisi Allah, berhadapan dengan sehebat-hebat manusia yang terpilih daripada semua umat manusia yang telah Allah ciptakan, aku menangis sepuas-puasnya di hadapan makam tersebut. Doa tersebut yang sebenarnya amatlah pendek, aku baca dalam keadaan tersekat-sekat kerana jiwa yang menjadi syahdu.

Itu adalah pengalaman dan saat terindah berada di bumi Madinah. Saat lain yang kurang terindah ialah apabila aku sibuk menyusur setiap jalan dan simpang yang berselerakan di sekitar Masjid Nabawi kerana mencari kedai makan yang ada menjual nasi lemak dan lauk-pauk Malaysia, juga kerana mencari pengurup wang dan akhir sekali mencari KFC. Akhirnya aku jumpa KFC hehe....sebabnya ialah aku tidak larat untuk menelan nasi minyak atau nasi beryani yang menjadi kebanyakan makanan di sana.

Tetapi rasa KFC di sana jangan kita umpamakan rasanya sama seperti di sini. Berbeza ok. Ikut citarasa setempat berdasarkan geografi.

Dua minggu berada di Madinah, kemudian aku berangkat untuk menjejak bumi Mekah. Semua yang berlaku pada aku pada ketika itu bukan sesuatu yang aku aturkan. Aku hanya ada dua minggu untuk membuat persiapan itu dan ini seperti melakukan medical check, urus visa, dan kemudian menyediakan kelengkapan yang perlu. Sewaktu berada di dalam kapal terbang ke bumi Arab Saudi, barulah sempat aku membuka buku panduan. Tetapi oleh kerana buku tersebut amat tebal bagi aku, lalu aku pun tidak membaca apa-apa, tetapi aku bercadang untuk membukanya apabila aku tiba pada saat untuk membacanya. Di dalam kapal terbang aku habiskan masa untuk tidur, atau sekali-sekala terjaga bila darah berderau kerana kapal terbang berlanggar dengan awan atau udara lompang (air pocket ?).

Banyak pengalaman ajaib aku tempuhi ketika di Mekah. Banyak juga bantuan Allah apabila dalam banyak perkara Allah telah permudahkan urusan-urusan aku. Sesampainya aku di sana, seperti biasa aku menjejaki KFC, akhirnya aku berjumpa dimana kedai KFC, ia tidak jauh dan betul-betul berada di hadapan Masjidil Haram..heheh..seperti misi yang telah accomplish.

Banyak juga pemerhatian (observation) yang aku kutip ketika berada di sana. Adakalanya aku bertawaf seorang diri, adakalanya aku bertawaf dengan emak aku. Ada kalanya aku bersolat di atas bumbung Masjidil Haram, adakalanya di basement Masjidil Haram, adakalanya aku bersolat di dalam hotel Hilton yang menyediakan dewan solat jika Masjidil Haram terlalu penuh. Hotel tersebut berada tidak jauh dari tempat penginapan serta begitu hampir dengan Masjidil Haram, dan ia masih berimamkan imam di Masjidil Haram. Adakalanya aku bersolat di celah-celah tangga. Tetapi oleh kerana susuk tubuh badan aku yang boleh dikecikkan dua kali ganda menjadi sekurus cicak, Allah permudahkan segalanya.

Heheh.. ini semua berlaku disebabkan aku selalu datang lewat untuk bersolat sehingga kawasan solat di Masjidil Haram telah penuh, lalu itu yang mencampakkan aku ke atas bumbung, ke bawah basement, ke celah-celah tangga dan sebagainya. Tetapi yang paling menyeronokkan ialah bersolat di atas bumbung. Ia amat lapang, dapat udara segar kecuali jika Zohor dan Asar kita terpaksa bertahan di gigit bahang Matahari. Selain itu aku boleh nampak Kaabah secara terus, berbanding bersolat di dalam Masjidil Haram di bahagian belakang, atau di basement atau di Hotel Hilton, Kaabah terlindung di balik-balik dinding. Selain itu jika di atas bumbung, aku boleh berlari ke sana dan ke mari tanpa tersekat-sekat.

Setiap pintu masuk ke Masjidil Haram ada seorang penjaga ditugaskan untuk memastikan tidak ada barang berbahaya di bawa masuk. Untuk melakukan umrah pula, aku biasanya menaiki bas dua tingkat yang akan membawa aku ke luar sempadan tanah haram untuk memulakan niat umrah. Kemudian masuk balik ke Mekah, melakukan tawaf, saie dan bertahlul. Semuanya nampak begitu mudah, tapi ia tak semudah itu kerana banyak tenaga diperlukan untuk mengelilingi kaabah sebanyak tujuk kali serta saie tujuh kali, ia umpama berjalan kaki tanpa berhenti dalam tempoh satu jam. Tujuh kali bertawaf selama 30 minit, serta bersaie selama 30 minit. Ini tempoh yang aku rasa paling ideal.

Kemudian, apabila aku hendak melangkah pulang ke Malaysia, sewaktu melakukan tawaf selamat tinggal, iaitu tawaf perpisahan dengan bumi yang penuh berkah ini, aku sempat berdoa di hujung solat agar ada rezeki untuk aku datang lagi ke sini.

Aku masih ingat, sewaktu aku memimpin tangan emak di luar Masjidil Haram, aku berkata, "insyaAllah nanti kita datang lagi ya emak", lantas emak aku pun berkata "insyallah, tapi nanti kalau kau datang lagi ke sini, engkau akan datang dengan orang lain, bukan dengan emak lagi". Lalu aku pun macam faham-faham bahawa emak aku merujuk kepada orang lain iaitu mungkin isteri aku kot? Bodohnya aku sebab susah nak faham.

Selang dua tahun sebaik pulang dari sana, emak aku pun pergi menyambut panggilan Ilahi buat selamanya dan tidak akan kembali lagi.

Peristiwa berada di bumi Madinah dan Mekah bersama emak adalah pengalaman terindah ketika menemani emak menunaikan haji. Masih terbayang-bayang macamana aku memeluk emak erat-erat sewaktu melontar di Mina, ketika berhimpit-himpit dengan orang untuk membuat lontaran, juga sewaktu berebut-rebut menaiki bas di Arafah. Aku masih ingat sewaktu emak hilang seharian suntuk di Madinah sehingga aku bersangka yang bukan-bukan menimpa emak, juga sewaktu emak hilang di tengah jutaan manusia di Masjidil Haram yang membuatkan aku mencari emak macam orang gila, juga sewaktu emak hilang ketika bas berhenti di hentian rehat, tetapi ada juga saat-saat sentimentel sewaktu aku dan emak makan sandwich di atas bumbung bangunan 20 tingkat sambil melihat Masjidil Haram dari jauh, juga sewaktu aku memimpin emak sepanjang bertawaf dan bersaie dan adakalanya aku berjenaka dengan emak sehingga dia ketawa, juga sewaktu aku mengambilkan air zam-zam untuk emak setelah penat bertawaf dan memberikan emak minum, juga saat aku mengurut dan memicit badan emak ketika emak terdampar di tepi Masjidil Haram kerana tidak larat berjalan setelah bertawaf, juga di saat tawaf kami yang terakhir ketika aku membawa emak ke dalam lingkungan Hijir Ismail, berada di bawah pancuran bumbung Kaabah, juga di saat membawa emak berjalan-jalan di shopping complex di depan Masjidil Haram, juga sewaktu aku resah melihat emak demam 3 hari dan tidak dapat bangun selepas pulang dari umrah, dan pelbagai lagi kenangan bersama emak.

Semua ini hanya membuatkan aku tiba-tiba jadi rindu pada emak. Ini hanyalah bakti kecil dari seorang anak dibandingkan dengan bakti emak membesarkan aku dan mengajar aku mengaji dari kecil, sehingga dapat aku membaca doa di dalam bahasa Arab ketika di makam Nabi saw.

Kalaulah makbul apa yang emak cakapkan bahawa aku akan datang lagi ke bumi yang penuh berkah itu, tidak kira lah dengan siapa sekalipun, kini aku teringin sangat. Aku hendak lalui kembali tempat-tempat yang pernah aku lalui dahulu dengan emak.

Alhamdulillah, aku telah pun berdaftar dengan Tabung Haji, begitu juga dengan isteri aku. Kata pegawai Tabung Haji tersebut, giliran encik akan sampai lagi 17 tahun dari sekarang. Sambil buat-buat tidak terkejut, aku pun menganggukkan kepala.

InsyaAllah ia telah menjadi 15 tahun dari sekarang, kecuali jika Allah mengubah untuk mempercepatkan aku ke sana. Amin Amin Ya Robbal Alamin. Dah tak sabar ni, eh ada lagi tak KFC yang aku jumpa dulu kat sana agaknya?


Mohd Rafi
Johor Bahru
20 Aug 2011 (4.55AM) - Time untuk bersahur.