Total Pageviews

Thursday, July 7, 2011

Lima Hari Di Hospital

Pertama sekali aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk hidup. Lima hari yang sudah, aku merengkok dalam hospital kerana sakit. Bila keluar dari hospital, aku seolah berasa seperti diberi nyawa kali kedua untuk hidup. Ingatkan dah sampai masa, fuh….lega. Sekurang-kurangnya masih ada masa untuk perbetulkan mana yang kurang dalam hidup ini.

Keduanya, maaflah kepada rakan-rakan yang berusaha untuk menghubungi aku dan ingin menziarahi aku. Aku pulak tengah sakit, nak angkat kelopak mata pun tak larat, apatah lagi nak pegang handphone. Perkara terbaik yang aku mampu buat ialah baring sepanjang hari. Dan setiap 4 jam sekali aku akan gagahkan diri untuk ke tandas sebab ceret-beret dan muntah-muntah. Sesiapa yang pernah alami situasi macam ni tentu tahu macamana lemahnya badan. Tiga hari aku menjadi petandang setia kepada tandas hospital siang dan malam. Asik-asik muka aku. Nasib baik tak kena bayar apa-apa. Apa pun, terima kasih sekali lagi kepada rakan-rakan yang tercari-cari aku ke mana. Kalau mati insyallah aku bagitau.

Ada Hantu Dalam Tandas?

Percaya ke kat hospital ada banyak gentayangan? Aku percaya tapi setakat ni aku belum pernah jumpa lagi. Waktu aku dah keluar hospital, sewaktu sedang bercerita dengan kakak aku, tiba-tiba terkeluar cerita yang aku asik ke tandas je tak kira waktu. Di hospital yang sama, kakak aku pernah pada satu malam tolong jagakan anak sedara yang kena operation. Tengah malam tiba-tiba dia nak buang air besar. Kakak aku pun teman sampai ke pintu utama tandas. Waktu anak sedara tu masih kat dalam, tiba-tiba keluar pesakit lain dari tandas yang hujung sekali pergi ke sinki cuci tangan. Kakak aku nampak dengan jelas. Pesakit tu pakai baju pesakit. Lepas tu dia masuk balik ke dalam tandas. Bila anak sedara aku ni dah selesai keluar dari tandas, kakak aku yang berdiri kat pintu utama tandas pun tertanya-tanya mana pesakit tadi yang dia nampak tak keluar-keluar?

Hehe..kakak aku pun pergi tinjau bilik tandas yang dia nampak pesakit tu masuk tadi, rupa-rupanya takde sape pun kat situ? Hah..apalagi demam lepas tu.

Sakit Dah Tak Peduli Hantu

Aku pulak kalau kenang-kenang balik, memang blok aku ni terus dengan pemandangan kubur. Tapi yang aku tau, oleh kerana terlampau sakit sangat menanggung derita, aku dah tak kira ada hantu ke takde hantu. Aku masuk tandas baca doa tandas, aku masuk dan selesaikan hajat. Yang penting settle. Kalau ada hantu muncul waktu tu sekalipun, aku dah tak pedulipun.

Terima Kasih Isteri

Satu petang tiba-tiba aku rasa belakang badan mula sakit-sakit. Tengahari tadi elok je? Lepas tu aku pun baring dan berehat. Tapi rupa-rupanya makin kronik, badan aku makin lama makin sakit dan bisa-bisa. Isteri aku menjalankan peranan utamanya untuk urut badan aku dari kaki sampai ke kepala. Anak-anak pun mengambil peranan sebagai pemijak badan dari tapak kaki sampai ke bahu sambil main-main atas badan. Menjelang malam, dah hampir 3 ke 4 kali isteri aku urut badan sambil lumur minyak satu badan, tapi masih tak kebah seperti selalu. Akhirnya lepas 6 hari demam, bisa-bisa badan, batuk kokol, pening, lemah badan tak bermaya dan running nose, aku pun kena tahan kat wad.

Masa aku masuk wad, semua orang dalam wad pandang aku. Semua mesti tertanya-tanya apa sakit aku? Badan dan muka aku merah-merah, bibir kering. Sekali imbas macam demam campak tapi bukan. Depan aku pesakit diabetes, pesakit buah pinggang dan pesakit kanser tahap empat. Kiri aku pesakit semput. Kanan aku pesakit jantung dan pesakit buah pinggang. Semuanya tua belaka kecuali aku. Masing-masing ditemani isteri. Ya Allah, dasatnya penyakit-penyakit dorang ni? Orang sihat mungkin tak rasa apa-apa, tapi sekejap bersama dorang ni, aku dapat rasa betapa sengsaranya menanggung derita bila ada penyakit.

Ada satu malam waktu aku tengah tidur, tiba-tiba aku terjaga kerana terbau busuk yang amat sangat. Isteri aku tidur disebelah macam tak bergerak-gerak, lena sangat ke? Aku tengok pesakit belah kiri aku terjaga dari tidur, dia ambil tuala dan tutup hidung. Aku pun buat benda yang sama, tak tahan sangat.

Nak tau kenapa? Pesakit depan aku entah muntah atau terbuang air besar atas katil, bau semerbak satu wad. Kalau aku tak tutup hidung insyallah aku akan terbahak muntah. Sambil tu aku lihat isteri dia berulang alik ke tandas di sebalik langsir membersihkan suaminya. Mungkin dia cebokkan suami dia tak?

Pagi tu bila aku bangun tidur, aku tengok wajah isteri dia. Terbit pula perasaan takjub pada ciptaan Allah yang dipanggil “wanita” ini. Banyak perkara yang orang perempuan sanggup buat tapi lelaki tak sanggup buat. Contohnya cebok kan suami, buang najis dan muntah suami. Aku pulak tak sanggup diperlakukan macam tu. Janganlah sampai satu hari nanti isteri aku terpaksa cebok kan aku pulak, biarlah aku cebok sendiri, guna mesin pun tak apa..hahaha

Terima kasih isteri dan juga para isteri yang lain. Aku takjub dengan ciptaan Allah bagi kaum yang sejenis ini.

Cebok Guna Kaki?

Masa aku rebahkan badan ke atas katil wad buat kali pertama, tak lama lepas tu nurse datang bawak jarum. Macam biasa bila badan kurang air, nurse akan cari urat kat tangan dan masukkan air. Aku pun malas nak ingat apa nama air tu, yang pasti bukan sebotol, tapi akan dimasukkan air berbotol-botol ke dalam badan aku sampai demam aku hilang.

Aku pun hulurkan tangan, tapi sempat jugak aku fikir tangan mana yang terbaik untuk aku bagi, jadi tangan yang sebelah lagi aku boleh gunakan untuk buat benda lain. Entah aku terhulurkan tangan kiri. Sudahnya bila aku masuk tandas untuk selesaikan hajat, eh..macamana pulak aku nak cebok ni? Takkan tangan aku ni yang bersambung dengan wayar ke botol air aku nak guna? Takkan pulak tiap-tiap 4 jam sekali aku nak suruh nurse cabut wayar ni? Aku pun malas nak jumpa nurse banyak-banyak kali dan bukan pilihan aku.

Akhirnya aku putuskan untuk cebok guna kaki. Sebab baru-baru ni aku pergi kursus untuk Thinking Out Of Box. Jadi inilah hasilnya, cebok guna kaki apabila tangan kiri dah tak boleh digunakan.

Heheh…tak ada maknanya aku nak cebok guna kaki. Nak suruh aku buat siri akrobatik macamana? Akhirnya pepatah Melayu kata, tak ada rotan akar pun berguna. Aku pun gunakan tangan kanan untuk membantu tangan kiri yang sedang bercuti daripada bertugas. Macam pelik pulak gunakan tangan kanan, tak sesedap macam menggunakan tangan kiri….

Hospital Tak Selesa?

Entah ya, aku tak gunakan medical card yang aku ada untuk masuk ke hospital pakar. Aku pun tak gunakan insurans kompeni aku untuk ke hospital pakar. Aku hanya gunakan GL isteri aku untuk ke hospital kerajaan.

Bila isteri aku tanya kenapa? Aku dengan selamba jawab, nanti kalau asik manjakan badan, nak semua benda selesa, susah pulak kat Mekah nanti.

Heheh..jawapan yang boleh diterima kot. Entah lah ya, orang kata dan memang rezekinya masuk hospital kerajaan, terima ajelah apa saja kekurangan. Lagipun bayar RM1 nak lebih-lebih pulak. Kalau congak betul-betul dengan terperinci berapa kos yang aku kena bayar pada doktor, nurse, pencuci, penyapu lantai, penguji darah, pengambil xray, penguji air kencing, kos makan minum, sewa katil, sewa bilik wad dan ubat-ubatan, semuanya tentu dah melonjak ratusan ringgit. Jadi apa yang ada ni terima sajalah. Itu belum dikira dengan pesakit yang kena bedah. Dan aku rasa baik sungguh kerajaan selama ini menanggung kos perubatan untuk setiap rakyat.

Keluar Hospital Macam Keluar Dari Gunung Berapi?

Lima hari kat hospital, aku langsung tak mandi. Nak suruh aku makan, tekak tak lalu. Rasa payau je. Isteri aku suruh makan, dia belikan macam-macam, semuanya aku tak sentuh. Kecuali setelah masuk hari ketiga, aku mula terasa nak makan buah. Jadi boleh lah dibayangkan, benda penting iaitu makan pun aku tak mampu nak buat, inikan pulak perkara kurang penting iaitu mandi, lebih-lebih lagi aku tak mampu.
Lainlah kalau kena mandi wajib.

Bila doktor sahkan aku boleh keluar, aku pun gembira bukan kepalang. Ada masa-masanya yang aku rasa teramat bosan duduk atas katil, lalu aku pun duduk atas kerusi sebelah katil, lepas tu naik balik atas katil, duduk-duduk sambil baca suratkhabar kali kedua dan ketiga. Bosannya hidup. Hidup yang selalu bergegas dan terkejar-kejar kini teramat perlahan. Macam duduk kat rumah orang tua pulak gayanya.
Sambil tu aku pun selalu sabarkan hati. Sakit bila datang, kita perlu bersabar. Bila sihat perlu bersyukur. Kalau dizahirkan setiap sakit akan hapuskan dosa-dosa, tentu setiap orang akan redha di datangi sakit. Lagi banyak sakit lagi bagus kerana nampak dosa-dosa silam Allah hapuskan.

Masa dalam kereta, aku keruk muka aku yang bersisik dengan daki. Keruk sana daki, keruk sini daki. Bila sikat rambut, yang gugur dari rambut ialah kelumumur. Tu yang aku rasa macam baru keluar dari gunung berapi yang berdebu sebab badan aku dari atas sampai ke bawah penuh dengan debu, daki dan kelumumur.

Teringin Nak Makan Apa?

Masa aku kecik-kecik dulu, kalau demam panas, aku akan alami satu perasaan mengidam untuk makan sesuatu, ada masanya aku nak sangat makan jambu asam, ada masanya aku teringin nak makan mee goreng, ada masanya aku teringin nak makan pisang goreng kantin sekolah, hahaha lawak betul.

Tapi semenjak menjadi orang dewasa ni, bila sakit, aku dah tak rasa lagi perasaan mengidam nak makan itu atau ini. Apa yang aku tau, doktor keluarkan aku dari hospital sebab demam aku dah susut, tapi sakit bahagian lain masih ada, badan pun masih lemah, kepala pun masih melayang-layang dan sengal. Sekejap aku tengok iklan McDonald atau KFC kat tv, macam sedap je nampaknya, tapi sayang sungguh bila nikmat makan dah dicabut sebentar oleh Allah, apa yang sedap pada orang lain tapi dah tak rasa apa-apapun pada tekak.

Akhirnya badan aku pun susut setelah seminggu bertarung sakit, tambah lagi seminggu di hospital.

Kenapa Allah Bagi Sakit?

Aku pernah dengar orang kata sakit kat dunia ini satu nikmat. Sedang menderita sakit tapi kita masih terasa nikmat sakit. Betul ke?
Aku pulak lebih suka melihat sakit ini seperti signboard. Tau tak apa maksud signboard?

Umpamanya hidup kita di dunia ini sedang melalui highway Plus dari JB ke Melaka, dekat je tak payah jauh-jauh. Dalam perjalanan kita akan berjumpa dengan signboard yang bagitau kita di mana kita berada dan berapa jauh lagi destinasi yang kita nak tuju akan tiba.

Macam tu jugaklah bila sakit datang, sekurang-kurangnya aku lihat ia sebagai signboard. Satu siri peringatan daripada Pencipta kehidupan ini, sekurang-kurangnya kita nampak signboard dan tak terlupa ke arah mana kita nak pergi dan simpang mana kita perlu keluar.

Adakalanya hidup terlalu sibuk hingga terlupa jalan pintas mana yang kita ambil. Ibarat macam lagu nasyid…jalan yang luas itu membawa kehancuran, jalan yang sempit itu membawa kebahagiaan.

Lagipun kita selalu diingatkan tentang rebut lima perkara, sebelum datang lima perkara.

Sangat benarnya hadis ini, bila dah sakit terlantar tak bermaya, nak baca quran pun tak larat, nak berzikir pun tersasul-sasul, nak pergi berjemaah kat masjid? Emm…berjemaah atas katil lah yang paling sesuai, nak sembahyang pun merangkak. Nak berdoa lama-lama pun tak larat, apatah lagi nak buat perkara kebaikan lain yang perlukan kudrat?

Mengigau Ketika Sakit

Aku kalau sakit, bila badan panas, biasanya kalau aku tidur malam aku akan mengigau atau bermimpi yang bukan-bukan. Ada satu malam aku bermimpi nak kena cari seberapa banyak bakul, kalau banyak bakul maka sakit aku akan sembuh. Jadi aku pun terpaksa bersusah payah cari bakul dalam mimpi tu, sampai aku tersedar. Bila aku sambung balik tidur, aku dapat mimpi yang sama dan sama sampailah ke pagi walaupun aku telah tersedar berapa banyak kali sekalipun.

Tapi ada satu mimpi yang aku rasa bagus sikit dan kurang menyeksa diri aku. Aku mimpi ada satu rombongan pelajar dari luar Negara datang ke kebun bunga milik aku. Entah bila aku ada kebun bunga aku pun tak tau, itu mungkin hanya dalam mimpi aku saja. Lepas tu aku berkenalan dengan cikgu rombongan tersebut, ambik alamat, aku bagi dia kad bisnes aku, pastu aku bercadang nak buat promosi kebun bunga milik aku ni ke luar Negara secara besar-besaran supaya makin ramai yang datang.

Lepas tu aku pun bawak cikgu tu jalan-jalan sambil tunjukkan pokok-pokok bunga yang aku ada. Akhirnya aku tersedar, aku tengah terkapar atas katil sedang sakit…hahah..hampeh je.

Jaga Kesihatan, Hindar Diabetes Dan Sakit Buah Pinggang

Masa berada di dalam hospital, aku bertemankan orang yang sakit diabetes dan buah pinggang. Kalau sakit diabetes ni macam yang biasa kita dengar, bila kaki terluka, lama kelamaan luka tu merebak dan boleh tembus ke tulang. Lepas tu kena hantar bilik operation untuk cuci. Akhir sekali kena potong. Semua proses yang akan dilalui ini ialah proses yang menyeksakan. Bukan sekadar pesakit tersebut, malah orang keliling juga turut menanggung seksa nya. Harapan aku ialah aku akan kekal minum air masak dan kurang minum minuman bergula tinggi.

Sama juga dengan sakit buah pinggang, nak kena tebuk tangan buat tapak untuk dialisis, ambik masa dua minggu duduk dalam wad. Bosan duduk dalam wad sendiri yang tanggung. Lepas tu nak kena tebuk tempat lain pulak ambik darah. Lepas tu nak kena dialisis tiap-tiap minggu. Ada yang sekali seminggu, ada yang dua kali seminggu, ada yang tiga kali seminggu. Harapan aku ialah aku akan berusaha untuk menjaga buah pinggang aku sebaik mungkin.

Selamat Tinggal Istirehat

Kini dah hampir dua minggu aku tinggalkan kerja kat opis, mesti berlambak punya. Jadi sekarang aku dah kena bersedia untuk hadapi balik kehidupan asal yang sibuk, bergegas dan tergesa-gesa. Hidup yang sentiasa laju dan berasa satu minggu beredar umpama sehari.



Mohd Rafi
Johor Bahru
7 Julai 2011