Total Pageviews

Saturday, April 11, 2015

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 10 April 2015.

Malaysia sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapat sumber pendapatan negara tetapi sebenarnya negara bermasalah dalam menguruskan perbelanjaan.

Kegagalan pengurusan perbelanjaan oleh kerajaan Barisan Nasional memangsakan rakyat hari ini dirompak oleh cukai barangan dan perkhidmatan (GST) zalim yang dikenakan secara paksa ke atas diri mereka untuk menambah hasil negara.

Seawal penubuhan Malaysia, pelbagai cukai dikenakan kepada golongan berkemampuan untuk menjadi sumber kepada negara sama ada menerusi cukai langsung korporat dan individu dan cukai tak langsung menerusi duti eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan bagi sebahagian barangan dan perkhidmatan.

Malaysia juga memperolehi hasil lumayan dan mewah menerusi hasil bumi khususnya minyak sehingga menjangkau antara RM70-RM80 bilion setahun.

Sekiranya kerajaan Barisan Nasional mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah, tidak boros dan mengelakkan ketirisan maka pendapatan daripada sumber cukai sedia ada dan hasil bumi sudah cukup untuk menguruskan sebuah negara dengan penduduk seramai 28 juta.

Namun, ternyata kerajaan untuk tempoh yang panjang telah gagal menguruskan perbelanjaan negara menurut panduan Islam dalam berekonomi. Ia dapat dilihat menerusi fakta-fakta berikut:

a. Belanjawan Tahunan

Kerajaan Barisan Nasional membentangkan belanjawan defisit selama 18 tahun berturut-turut sejak 1998. Belanjawan defisit bermaksud perbelanjaan yang dirancang melebihi pendapatan yang dijangka akan diperolehi.

Kerajaan hanya menjangka akan membentangkan belanjawan berimbang iaitu pendapatan seimbang dengan perbelanjaan pada 2020. Ertinya negara bakal menyaksikan belanjawan defisit untuk lagi 4 tahun mendatang.

Secara ringkas boleh dilihat perbezaan rancangan perbelanjaan kerajaan berbanding hasil yang dijangka sebagaimana tahun-tahun berikut:

Perbelanjaan (P)  Hasil (H)

2008 (P) 176 bilion (H) 148 bilion
2009 (P) 207 bilion (H) 161 bilion
2010 (P) 191 bilion (H)148 bilion
2011 (P) 212 bilion (H) 165 bilion
2012 (P) 232 bilion (H) 186 bilion
2013 (P) 251 bilion (H) 208 bilion
2014 (P) 264 bilion (H) 224 bilion
2015 (P) 273 bilion (H) 235 bilion

b. Hutang Negara

Belanjawan defisit menyumbang untuk negara meningkatkan hutang negara daripada setahun ke setahun.

Pada 2006 hutang negara hanyalah 247 bilion. Tetapi pada 2013 hutang negara telah meningkat kepada 546 bilion dengan peningkatan 299 bilion. Laporan terakhir 2015 hutang negara telah menjangkau 847 bilion.

Perhatikan jadual Hutang Negara sebagaimana berikut mengikut tahun:

1997 RM90 bilion
1998 RM103 bilion
1999 RM112 bilion
2000 RM125 bilion
2001 RM145 bilion
2002 RM164 bilion
2003 RM188 bilion
2004 RM216 bilion
2005 RM232 bilion
2006 RM247 bilion
2007 RM274 bilion
2008 RM317 bilion
2009 RM376 bilion
2010 RM405 bilion
2011 RM465 bilion
2012 RM501 bilion
2013 RM546 bilion
(Sumber International Monetary Fund)
2014 RM677 bilion
2015 RM847 bilion
(Sumber The Economist)

Bayangkan, hutang kerajaan pada 1997 hanyalah RM90 bilion tetapi selepas 17 tahun pada tahun 2014 telah menjadi RM677 bilion.

Pada 2003 ketika Tun Abdullah Badawi mengambil alih negara hutang negara ialah RM188 bilion.

Selepas 6 tahun pada 2009 ketika beliau melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Najib ia meningkat sekali ganda sebanyak RM188 bilion kepada RM376 bilion.

Selepas 5 tahun Najib mengambil alih negara, hutang pada 2014 meningkat hampir sekali ganda sebanyak 301 bilion kepada RM677 bilion.

c. Ketirisan Perbelanjaan

Kajian yang dibuat oleh Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme terhadap laporan tahunan Ketua Audit Negara menunjukkan berlaku ketirisan dan salah urus perbelanjaan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion. Sedangkan GST hanya dijangka menyumbang sebanyak RM23 bilion pada tahun 2015. Jika ketirisan ditangani maka GST tidak diperlukan.

Pada tahun 2008 perbelanjaan untuk mengurus negara hanyalah RM128 bilion tetapi untuk 2015 kerajaan merancang perbelanjaan mengurus sebanyak RM223 bilion.

Tidakkah ia merupakan peningkatan yang melampau untuk tempoh yang pendek iaitu 7 tahun dengan peningkatan hampir RM100 bilion?

Hasil daripada kegagalan menguruskan perbelanjaan inilah maka kerajaan mula berfikir untuk meluaskan lagi sumber kewangan negara sedangkan sebenarnya kerajaan tidak berhadapan dengan masalah sumber tetapi pada masalah berbelanja.

Penyelesaian mudah kerajaan ialah memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) kerana GST adalah cara paling mudah untuk mengutip sumber daripada rakyat.

GST dikenakan pada semua barangan dan perkhidmatan melainkan yang dikecualikan. Ertinya kerajaan mendapat ruang yang sangat besar dan luas untuk mendapat hasil menerusi cukai.

GST kena kepada semua rakyat tanpa mengira kaya atau miskin yang berbelanja dan mendapat perkhidmatan. Ertinya GST mempunyai cakupan cukai sangat luas.

Jika sebelumnya hanya sekitar 1.7 juta terpaksa membayar cukai maka dengan GST berjuta-juta rakyat terpaksa membayar cukai setiap hari termasuk orang miskin.

Apabila cukai dikenakan kepada si kaya dan si miskin maka di sinilah ketidakadilan sosial dan kezaliman berlaku. Kerana itulah cukai GST adalah zalim dan haram menurut kaedah percukaian Islam kerana cukai sepatutnya hanya kena kepada orang yang berkemampuan sahaja.

Data 2012 menunjukkan 31.7% isi rumah Malaysia berpendapatan kurang daripada rm2500 dan 23.8% lagi berpendapatan antara RM2,500 - RM4,000. Ertinya lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 iaitu di bawah paras kemiskinan

Copy n paste dr group LHDN utk sama2 Kita fikirkn bagai mana utk menghadapi situasi yg genting ini

Wednesday, April 8, 2015

#santai pagi
#bagaimana memandang dosa

Dosa. Sesuatu yang pastinya buruk dan yang tidak disukai serta dibenci Allah apabila kita lakukannya. Dosa. Sesuatu yang dicintai syaitan dan Iblis dan mahu nafsu kita turut sama mencintainya. Dosa. Bila kita dah biasa lakukannya, maka, kita akan hilang ‘rasa’ berdosa dalam diri. Dosa. Akan menompokkan kehitaman dan kegelapan dalam hati kita. Akibatnya, kebenaran tak dapat kita lihat. Yang ada, hanyalah kebatilan.

Bagaimana kita memandang dosa?
Adakah sebagai sesuatu yang berat ibarat gunung yang akan menghempap kita?
Atau kita menganggap ianya kecil dan kita hanya menepisnya umpama lalat yang hinggap pada hidung?

“Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.”

Itu beza antara orang beriman dengan orang yang tidak beriman. Jadi, kita ni, kategori mana? Ya, kita semua memang pendosa sebab tak ada manusia yang tak punya dosa. Namun, orang yang beriman, dia akan cepat ‘peka’ bila dia melakukan dosa. Dia akan segera bertaubat. Dia tidak melengah-lengahkan langkah taubatnya kerana bimbang, rasa itu akan hilang. Dan dia usaha sehabis daya untuk tidak mengulang perlakuannya yang dianggap salah itu.

Tetapi, orang yang tidak beriman, dia kurang ‘peka’ terhadap dosa lantaran dirinya sudah terbiasa hidup dalam noda. Bila dosa jadi biasa, kita takkan rasa apa-apa. Kita akan terus selesa. Kadang-kadang, muncul rasa mahu bertaubat. Namun, dilengah-lengahkannya hingga hilang terus rasa itu sedang diri masih rancak bermaksiat pada-Nya. Ahli maksiat seronok dengan dunia, manakala orang beriman seronok mengejar akhirat.

Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang. Dia Maha Penerima Taubat. Tetapi, kita yang selalu mengkhianati-Nya. Kita seakan-akan mempermainkan-Nya. Kita selalu ulang dan ulang perbuatan dosa kita, meski kita sudah bertaubat berkali-kali. Jika kita masih begitu, itu petanda bahawa iman kita masih lagi lemah. Rapuh.

Adakah taubat kita sudah bersungguh hati? Adakah taubat kita disusuli dengan tindakan meninggalkan dosa? Atau kita sudah bertaubat tapi hati masih sayang dan cinta akan perbuatan dosa kerana dirasakan nikmat? Minum arak itu nikmat, mendedahkan aurat itu membuat kita rasa bebas, ber’couple’ ke hulur ke hilir tanpa ikatan itu seronok, bermain judi itu menghilangkan stress dan pelbagai alasan lagi yang kita beri dek kerana cinta dan sayang pada dosa. Apakah kita pasti, itu yang akan Allah terima? Ingatlah, maksiat dan ketaatan pada Allah takkan boleh bersatu.

Sama-sama kita muhasabah diri kita. Dosa adalah ujian. Mahu pulang ke pangkuan-Nya atau terus leka dan dilalaikan. Allah selalu memberi kita harapan. Tinggal kita saja, mahu rebut peluang atau mensia-siakannya begitu saja. Keampunan-Nya sentiasa melebihi kemurkaan-Nya. :’)

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).”

“Sesiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari arah barat, pasti taubatnya diterima oleh Allah.”

Sunday, April 5, 2015

10 Sebab Meraih Mahabbah kasih Allah Azza wajalla kepada hamba-Nya.
#Meraih Mahabbah Cinta Allah

Alhamdulillah al-Faqir Abu Anas Madani telah selesai syarah Sepuluh Sebab Untuk Mendapat Mahabbah Atau Kasih Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui kitab ini serta beberapa tambahan dan huraian.

Lihat link huraian Bahasa Arab di:

الأسباب الموجبة لمحبة الله

http://www.saaid.net/rasael/81.htm


الأسباب العشرة الموجبة لمحبة الله

http://www.kalemat.org/sections.php?so=va&aid=234


Sepuluh sebab atau cara  ini disebut oleh Sheikh Ibnu Al-Qayyim rahimahullah dalam Kitab “Madarij As-Salikin” - ( مدارج السالكين ).




10 Cara Untuk Mendapat Mahabbah Atau Kasih Allah;

1-      Baca Al-Quran dengan tadabbur dan memahami maknanya.


2-      Bertaqarrub kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.

3-      Sentiasa berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan.

4-      Melebihkan cinta kepada Allah di atas kecintaan kepada perkara lain.

5-      Mutalaah dengan hati akan nama-nama dan sifat-sifat Allah.

6-      Menyaksikan dengan mata hati (musyahadah) akan kebaikan dan limpah kurnia Allah zahir dan batin.

7-      Tundukkan hati secara meyeluruh di hadapan keagungan Allah.

8-      Sentiasa berkhalwat dengan ibadat kepada Allah pada waktu sunyi di akhir malam.

9-      Bersahabat dan duduk dalam majlis ilmu bersama orang yang soleh.

10- Jauhkan diri dari semua perkara yang boleh menjauhkan hati dari Allah Azza wa jalla.



Jalan Menuju Cinta Allah (JMCA)

 -Banyakan Berzikir Kepada Allah Dalam Semua Keadaan.

-Banyak Bertaqarrub Dengan Amalan Sunnat
-Mendekati Orang Yang Soleh dan Berkasih Sayang Kerana Allah

-Tadabur & Memahami Al Quran

-Melebihkan Kecintaan Kepada Allah & Rasul S.A.W Dari Hawa Nafsu

-Menyaksikan Limpahan Ni'mat Allah Zahir & Batin

-Bermunajat Waktu Sunyi Di Akhir Malam

-Melebihkan Kecintaan Kepada Allah & Rasul S A W Dari Hawa Nafsu

-Meneliti Serta Menghayati Nama Nama & Sifat Sifat Allah

 -Jauhi Sebab Yang Menjauhkan Hati Dari Allah



Semoga mendapat manfaat dari kuliah ini.
Akhukum,
Abu Anas Madani,
Pondok Sungai Durian.


#Dr Abu Anas MadaniAbdullah Sobri