Total Pageviews

Tuesday, December 7, 2010

Ucapkan Terima Kasih

Pada minggu lepas, sewaktu saya sedang berada di dalam satu ‘meeting’ di tempat kerja, tiba-tiba saya mendapat satu panggilan telefon. Telefon yang bergetar di poket segera saya sambut dengan salam. Di hujung talian terdengar suara yang telah lama tidak kedengaran. Dia ialah kawan lama yang umpama menghulurkan kembali tangan persahabatan agar tidak terlerai setelah lama terpisah.

Terus-terang, saya memang tidak mengingati sahabat ini.

Lama kami berbual. Berpusing-pusing cerita di atas kenangan yang sama. Saling bertanya khabar rupa-rupanya adalah perkara yang menyeronokkan. Di hujung perbualan, kami menyudahkan dengan salam. Itu saja akhirannya dari saya.

Di dalam situasi lain, saya sedang dalam perjalanan ke satu tempat. Tiba-tiba teringat sahabat lama yang juga telah lama tidak berhubung. Saya segera menelefon beliau. Cerita beliau tentang kerja dan kawan-kawan lama memang menyeronokkan. Lama kami berbual. Di hujung perbualan, saya berkata, “oklah, nanti bila-bila ada kesempatan aku telefon kau lagi”. Dan perbualan pun berakhir.

Namun ada sesuatu yang menarik. Beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana menghubunginya. Walaupun dengan nada biasa, tetapi membuatkan saya berasa dihargai. Teringat pula perbualan saya dengan seorang lagi sahabat yang terlebih dahulu saya ceritakan di atas. Saya mengakhiri perbualan itu tanpa ungkapan terima kasih kepada sahabat yang menghubungi saya.

Saya bagaikan baru tersedar, ungkapan terima kasih rupanya adalah keramat. Adakalanya ia menjadi sangat bernilai. Ada kalanya ia melambangkan keperibadian baik diri seseorang.

Walaupun kita setiap hari mendengar ungkapan ini, tetapi ada ketikanya kita marah sekiranya orang tidak mengucapkan terima kasih kepada kita. Pada kita mungkin dia seorang yang tidak sopan, tiada budi pekerti, tidak tahu berterima-kasih, atau paling kurang ialah orang yang pentingkan diri sendiri, tidak pernah untuk tahu susahnya orang lain untuk memenuhi permintaan dia.

Terutama seperti saya, setiap hari berurusan dengan orang, sebagai seorang pekerja yang menjalankan tugas di dalam skop yang luas, berjumpa dengan pelbagai orang setiap hari, berurusan dengan orang meminta tugasan itu dan ini, serta di samping itu juga sibuk melayan customer saya secara peribadi, ungkapan terima kasih mungkin menunjukkan satu keperibadian yang baik. Orang kata biar muka buruk, yang paling utama ialah keperibadian.

Sama juga ungkapan terima kasih daripada seorang suami kepada isteri, seorang isteri kepada suami, seorang anak kepada ibu-bapa, serta ibu-bapa kepada anak, rakan kepada rakan, kekasih kepada kekasih, majikan kepada pekerja, pekerja kepada majikan. Bahkan di dalam setiap urusan antara kita sesama manusia.

Teringat saya kepada satu pertemuan, bagaimana hati saya terpaut. Terpaut kepada ajakan seorang encik untuk menyertai perniagaannya. Setelah pertemuan empat mata selesai pada satu malam antara saya dengan encik tersebut, saya pulang. Dalam perjalanan pulang sewaktu memandu kereta, saya mendapat satu mesej ringkas daripada beliau. Ia berbunyi “Encik Rafi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada encik kerana sudi bertemu dengan saya. Kalau ada sebarang salah silap semasa pertemuan tadi harap dimaafkan”.

Wow, mesej yang mengujakan saya. Tertarik dengan strategi beliau. Dan beliau bukanlah orang-orang biasa seperti saya. Tetapi beliau memiliki empayar perniagaan yang besar. Pendapatan beliau sendiri lebih dari 50K setiap bulan. Mempunyai ramai pekerja. Tetapi beliau mengucapkan terima kasih dengan bersusah payah menghantar mesej ringkas kepada saya. Itu sesuatu yang mengujakan. Hati terpaut kerana ungkapan terima kasih dan budi pekerti yang baik.  

Bermula dari hari ini, saya berazam untuk menjadi lebih sensitif, selalu menghargai orang, dan ianya bermula dengan ungkapan terima kasih.

Terima kerana sudi membaca. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih. (Terlebih sudah).



Mohd Rafi,
Johor Bahru, 8Dec2010