Total Pageviews

Saturday, December 25, 2010

Melayani Pelanggan

Pada suatu pagi, sedang saya sibuk melayan komputer di depan mata ketika di pejabat, tiba-tiba satu mesej diterima. Orang yang menghantar mesej tersebut bertanya kepada saya, “Salam Rafi, saya berminat dengan pengorek telinga. Nak beli macam mana?” Kemudian saya pun membalas mesej tersebut seperti selalunya saya membalas mesej pelanggan yang lain.

Tidak lama kemudian, beliau yang berada di Selangor, membalas mesej saya. Kemudian kami saling balas membalas mesej. Dia sebagai pembeli yang memang sentiasanya betul, sementara saya adalah penjual yang harus menurut dan melayan dirinya sebagai raja.

Setelah agaknya beliau berpuas hati dengan penjelasan saya, kemudian satu lagi mesej dihantar oleh beliau. Dan mesej ini membuatkan semua aktiviti saya terhenti seketika, kecuali jantung dan otak yang terusan bekerja dan mencari jawapan.

Beliau bertanya, “macamana saya nak tau perniagaan encik ini adalah betul?"
Ya, itu ialah satu soalan yang begitu ringkas, tetapi saya bungkam untuk menjawab. Ini adalah kerana perniagaan saya hanya mungkin boleh dijelaskan seperti di bawah.

Perniagaan saya ialah menjual di internet, dan saya tidak memiliki kedai fizikal yang boleh dilihat dengan mata, serta boleh disentuh dengan tangan. Perniagaan saya hanya wujud secara maya, ia tidak kelihatan di depan mata apatah lagi untuk disentuh.

Oleh itu bagi mereka yang tidak biasa membeli-belah di internet, apatah lagi tidak pernah melakukan sebarang transaksi di internet, akan berfikiran sedikit gusar, takut sekiranya tertipu iaitu setelah pembayaran dibuat, tetapi barang tidak diperoleh.

Setelah memberi ruang sebentar kepada otak untuk berfikir, kemudian saya pun membalas begini, “perniagaan saya adalah betul, sekiranya barang tidak sampai atau rosak, wang akan dikembalikan. Setakat ini saya masih belum lagi menipu dengan harga RM10”.

Mungkin agak keras sedikit bunyi mesej saya, tetapi apa yang menariknya ialah mesej berikutnya yang saya dapat daripada beliau berbunyi, “OK, bagi no akaun CIMB encik”.
Dan akhirnya, transaksi jual-beli pun berlaku.

Adakalanya saya berdepan dengan pelanggan yang agak cerewet, adakalanya berdepan dengan pelanggan yang tidak ambil kisah.

Berdepan dengan pelanggan, banyak yang dipelajari oleh diri sendiri untuk bagaimana menjadi pelanggan yang baik. Bukan sekadar menjadi penjual yang baik.

Iaitu menjadi pelanggan yang tidak menyakiti hati penjual, serta menjadi penjual yang menghormati pembeli.


Mohd Rafi,
Johor Bahru