Total Pageviews

Friday, January 27, 2012

Siapa Jesus Menurut Islam

Jesus adalah anak tuhan. Tuhan adalah Farther. Farther ialah Allah. Jesus adalah utusan Tuhan untuk umat manusia. Jesus menerangkan kepada manusia siapa itu Tuhan. Jesus melakukan banyak kebaikan sama seperti Tuhan.

Jesus juga melakukan banyak perkara ajaib yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapa, itu juga adalah bayang-bayang kepada kehebatan Tuhan. Akhir sekali, Jesus melakukan pengorbanan untuk umat manusia dengan di salib, lantas Tuhan (Farther) memberikan ampunan kepada umat manusia.

Maka manusia seharusnya amat berterima kasih dan bersyukur, kerana Jesus amat menyayangi kamu, Jesus amat mengambil berat tentang kamu, dia telah berkorban dengan membuang nyawanya sendiri, demi untuk kamu diampunkan, akhirnya kamu akan masuk ke syurga dan selamat dari neraka.

Ini ialah apa yang dikatakan oleh seorang forumer yang beragama Kristian.

Ini ialah kepercayaannya. Ini ialah apa yang dia pelajari. Ini ialah apa yang telah disampaikan kepada beliau.

Namun di dalam tulisan ini, adalah lebih baik kita tidak melihat siapa Jesus menurut Kristian, tetapi sebagai Muslim, adalah amat baik jika kita melihat siapa Jesus di dalam Islam.


Siapa Jesus of Nazareth Menurut Islam?

Jesus adalah susur galur daripada Nabi Ibrahim as. di sebelah isterinya Siti Sarah dan anaknya bernama Nabi Ishak (Isaac). Sementara Nabi Muhammad adalah susur galur daripada Nabi Ibrahim di sebelah isterinya bernama Siti Hajar, dan anaknya Nabi Ismail as. Mereka berdua iaitu Jesus dan Nabi Muhammad adalah daripada punca yang sama.

Jesus of Nazareth dikenali di dalam Islam adalah sebagai Nabi Isa as. Nabi Isa as. adalah salah seorang daripada ribuan para Nabi yang telah Tuhan utuskan kepada umat manusia. Seperti yang kita maklum, terdapat lebih-kurang 124 ribu nabi-nabi telah diutuskan oleh Tuhan. Tuhan yang mengutuskan nabi-nabi ini dikenali dengan nama Allah. Dan Allah ini adalah Tuhan kepada agama Islam, agama Kristian, serta kepada semua agama di dalam dunia ini. Namun begitu, Kristian memanggilnya Farther. Adakalanya mereka memanggilNya Allah.

Setiap nabi-nabi diutus oleh Allah pada zaman yang berlainan, juga pada tempat yang berlainan. Tetapi mereka membawa ajaran yang sama. Mereka mengajar manusia bahawa Tuhan ialah Allah. Mereka mengajar manusia supaya hanya menyembah Allah. Mereka mengajar manusia bahawa tidak ada Tuhan lain selain Allah. Mereka mengajar bahawa Allah itu satu.

Nabi-nabi yang biasa kita kenali termasuklah Nabi Adam as. (Adam), Nabi Noh as. (Noah), Nabi Ibrahim as. (Abraham), Nabi Yaakob as. (Jaacob), Nabi Yusof as. (Joseph), Nabi Daud as. (David), Nabi Sulaiman as. (Solomon), Nabi Yunus as. (Jonah), Nabi Musa as. (Moses), Nabi Harun as, Nabi Isa as. (Jesus) dan lebih banyak lagi.

Semua nama nabi-nabi ini amat sinonim di dalam ajaran Islam. Begitu juga di dalam ajaran Kristian. Begitu juga kepada masyarakat Yahudi atau Israel. Ini kerana terlalu banyak nabi-nabi telah diutuskan oleh Allah kepada kaum bani Israel.

Umat Islam wajib mempercayai Nabi Isa as. Umat Islam juga akan terkeluar daripada agama Islam (murtad) sekiranya tidak mempercayai Nabi Isa as. adalah seorang nabi. Umat Islam juga akan terkeluar daripada agama Islam (murtad) jika menghina atau memaki hamun Nabi Isa as. walaupun hanya mengatakan di dalam hati.

Oleh kerana ini, tidak akan ada mana-mana individu Islam pun di dalam dunia ini yang akan menghina atau memaki-hamun Jesus. Tidak ada!

Sekiranya ada, maka dia telah pun murtad. Sebaliknya, kita melihat terlalu ramai penganut Kristian memaki hamun Nabi Muhammad saw. dengan perkataan yang amat hina. Dan ini bukanlah satu ajaran Jesus. Islam tidak akan percaya sekiranya penganut Kristian mengatakan Jesus mengajar kami untuk menghina serta memaki-hamun orang lain.

Islam Percaya Jesus Ialah Seorang Nabi Bukan Anak Tuhan

Islam percaya bahawa Jesus adalah seorang Nabi atau dikenali sebagai Nabi Isa. Beliau adalah seorang Nabi yang diutus oleh Allah, sama seperti nabi-nabi yang lebih dahulu Allah utuskan. Beliau hanya seorang nabi, bukan anak kepada Tuhan. Atau bukan jelmaan Tuhan. Jesus juga bukan Farther, Jesus juga bukan Allah. Jesus adalah hanya seorang Nabi. Jesus adalah hanya seorang manusia yang diberi Allah kelebihan berbanding manusia lain.

Juga seperti nabi-nabi yang lain, mereka juga memiliki kelebihan berbeza. Nabi Musa as. boleh membelah sungai Nil ketika menyelamatkan kaumnya daripada tentera Firaun. Nabi Ibrahim as. tidak terbakar di dalam api sewaktu dicampak oleh Namrud dan tenteranya. Nabi Sulaiman as. telah menerbangkan istana Ratu Balqis beribu batu malah beliau telah menjadi raja yang memerintah semua makhluk pada ketika itu.

Nabi Daud as. boleh melentur dan mencair kan besi dengan tangan beliau sahaja. Nabi Ibrahim as. telah menghancurkan daging seekor burung lalu ia hidup kembali dan boleh terbang.

Nabi Muhammad saw. sendiri diberikan kelebihan untuk membelah bulan kepada dua, menjadikan pohon tamar berjalan, mengeluarkan air dari celah-celah jari untuk sepasukan tentera Muslimin bersuci, serta Muhammad saw. juga telah diangkat ke langit oleh Allah untuk bertemu dengan Allah, untuk dibawa melihat syurga dan neraka, dan juga untuk menerima perintah Solat.

Kelebihan Jesus Bukan Bermakna Beliau Anak Tuhan Atau Tuhan

Ini jelas menunjukkan bahawa Jesus adalah sama seperti nabi-nabi yang lain. Beliau diberikan Allah kelebihan sama seperti nabi-nabi yang lain. Kelebihan beliau antaranya adalah dilahirkan tanpa bapa, iaitu Mariam as. melahirkannya tanpa melakukan hubungan dengan sesiapa pun.

Keduanya, beliau boleh berkata-kata ketika masih bayi untuk mempertahankan ibunya Mariam apabila dituduh berzina oleh kaumnya. Ketiga beliau boleh menyembuhkan penyakit buta dan sopak. Keempat beliau telah menghidupkan patung seekor burung dengan hanya mengembuskan nafasnya. Kelima membuatkan orang lumpuh bisa berjalan. Keenam menghidupkan kembali orang yang telah mati dan pelbagai lagi.

Dengan kelebihan-kelebihan ini, penganut Kristian telah mengatakannya sebagai anak Tuhan. Atau juga Tuhan.

Sebaliknya Islam mengatakan bahawa itu adalah gambaran kehebatan Allah. Apabila Allah hendak menjadikan sesuatu, maka ia pun jadilah. Allah tidak memerlukan seorang suami atau isteri untuk menjadikan seorang manusia. Apabila Allah berkehendak melakukan sesuatu, maka ia jadilah. Allah tidak memerlukan sebarang penyebab untuk menjadikan sesuatu itu tercipta.

Allah telah menciptakan bapa kepada seluruh manusia iaitu Nabi Adam as. tanpa ayah dan ibu. Tanpa di mengandungkan oleh sesiapa. Penganut Kristian juga percaya kepada Nabi Adam dan Hawa (Eve). Maka Hawa juga diciptakan tanpa melalui proses yang dilalui oleh semua manusia. Tetapi kita tidak pula mengatakan bahawa mereka ini juga anak kepada Tuhan?

Maka adalah jelas, Islam meyakini bahawa Jesus hanyalah seorang nabi. Ia sama seperti nabi-nabi yang terlebih dahulu diutus oleh Allah. Keajaiban yang ada pada Jesus adalah anugerah Allah. Juga sama seperti anugerah Allah kepada nabi-nabi yang lain. Tidak bermakna dengan kelebihan itu, maka Jesus telah menjadi anak Tuhan, atau juga jelmaan Tuhan.

Kelebihan (Mukjizat) Muhammad saw.

Adalah jelas Muhammad saw. menegah kita semua membandingkan para nabi dan rasul dengan mukjizat-mukjizat yang diberikan Allah kepada mereka. Kelebihan nabi-nabi ini bukan satu ukuran darjat siapa yang lebih tinggi di sisi Allah. Maka tidak perlu kita membandingkan kelebihan masing-masing. Apa yang diperkatakan oleh Muhammad saw. adalah benar.

Seperti nabi-nabi yang lain, Muhammad saw. juga diberikan kelebihan oleh Allah. Semua kelebihan ini telah diriwayatkan dengan jelas dan disaksikan oleh orang-orang yang beriman serta juga orang kafir. Ada peristiwa berlaku di Mekah, Madinah atau juga di tempat lain.

Walaupun begitu Muhammad saw. tidak pernah mengangkat dirinya lebih baik daripada nabi yang lain. Malah Muhammad saw. tidak pernah menyuruh pengikutnya menyembah dirinya sebagai anak Tuhan ataupun Tuhan. Walaupun dengan mukjizat membelah bulan kepada dua. Ianya bukan berlaku sekali, tetapi riwayat mengatakan dua kali.

Di antara mukjizat Muhammad saw. adalah seperti berikut.

1. Penduduk Mekah meminta Nabi saw. menunjukkan tanda kenabiannya, lantas Nabi saw. telah membelah bulan kepada dua. (Daripada Anas r.hu - Bukhari & Muslim)

2. Diperjalankan oleh Allah dari Mekah ke Masjidil Aqsa Palestin, kemudian diangkat ke Sidratul Muntaha (langit ke tujuh) hanya dalam satu malam.

3. Menyembuhkan kaki Abdullah yang patah kepada seperti sedia kala (Daripada Al-Barra r.hu – Bukhari)

4. Menyembuhkan sakit mata Ali bin Abi Thalib dengan meludahnya (Daripada Sahl Bin Saad – Bukhari & Muslim)

5. Mengembalikan penglihatan orang yang telah buta (Daripada Usma Bin Hanif r.hu – Tirmizi, Baihaqi, An Nasai)

6. Mengembalikan mata Qatadah yang terkeluar daripada tempatnya apabila terkena panah di dalam peperangan Tabuk (Daripada Zaid Bin Aslam – Ibnu Saad)

7. Menyembuhkan penyakit kanak-kanak yang tidak boleh berdiri sewaktu menunaikan haji (Daripada Usamah Bin Zaid – Abu Ya’la & Baihaqi)

8. Menyembuhkan penyakit bisu seorang kanak-kanak (Daripada Sulaiman Bin Amru – Imam Ahmad, Baihaqi, At Thabrani)

9. Memberi makan kepada seribu orang tentera Muslimin yang menggali parit untuk peperangan Khandak di rumah Jabir sambil dimasak oleh isterinya dengan satu periuk kecil untuk sepuluh orang (Daripada Jabir Bin Abdullah – Bukhari & Muslim)

10. Mengeluarkan susu daripada kawanan kambing yang telah kekeringan susu pada musim kemarau sehingga pemilik kambing tersebut menjadi beriman. (Qais Bin Abu Nu’man – Abu Ya’la, At Thobarani, Hakim)

11. Mengeluarkan air perigi yang kering dengan deras untuk seribu empat ratus tentera Muslimin dan empat puluh ekor kambing sewaktu di Hudaibiyah (Daripada Salamah Bin Al Aqwa’ – Muslim)

Serta ada banyak lagi.

12. Seekor serigala berbicara dengan Muhammad saw.

13. Mimbar menangis setelah mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran

14. Patung berhala runtuh apabila ditunjuk oleh Muhammad

15. Berbicara dengan gunung untuk mengeluarkan air bagi Uqa’il Bin Abi Thalib yang amat kehausan.

16. Pokok bersujud dan bersaksi di atas kenabian Muhammad saw.

17. Pokok memberi salam kepada Muhammad saw.

18. Mengeluarkan air dari celah-celah jemarinya untuk membolehkan tentera Muslimin seramai 70 orang untuk berwuduk dan bersuci.

19. Dilahirkan dalam keadaan sudah dikhatankan dan terputus tali pusat.

20. Semasa kecil berusia empat tahun, dan di bawah jagaan Halimah sebagai ibu susuan, beliau didatangi oleh dua malaikat yang menyerupai manusia, membelah dadanya, dan mencuci hatinya dengan salju. Peristiwa itu disaksikan oleh beberapa kanak-kanak yang bermain dengan beliau.


Serta ada banyak lagi kelebihan-kelebihan Muhammad saw. Cukuplah sekadar ini untuk kita melihat bahawa para nabi memang dianugerahkan Allah keistimewaan yang tidak terdapat pada manusia biasa. Walaupun begitu, ini bukan bermakna mereka patut diangkat menjadi anak Tuhan, ataupun jelmaan Tuhan.

Jesus Masih Seorang Manusia

Semua nabi masih merupakan manusia. Mereka bukan bayangan kepada Tuhan. Mereka bukan anak-anak Tuhan. Mereka adalah hamba kepada Tuhan sama seperti manusia lain. Kita semua adalah hamba kepada Allah. Namun begitu, nabi-nabi adalah manusia terpilih. Kerana mereka telah banyak berkorban untuk Allah, maka darjat kedudukan mereka di sisi Allah tidak sama dengan darjat kedudukan manusia biasa.

Ia adalah umpama seorang pemimpin kanan kepada Sultan, yang amat disayangi oleh Sultan. Darjat kedudukannya di sisi Sultan tidak sama dengan rakyat jelata yang biasa. Namun begitu ia masih merupakan rakyat kepada Sultan. Apabila ia ingkar dan menderhaka, pasti Sultan tetap akan menjatuhkan hukuman untuknya.

Adalah jelas bahawa Kristian ataupun Muslim, kita meyakini bahawa manusia ini diciptakan oleh Allah daripada tanah. Maka apa yang kita makan pada hari ini juga ialah semua benda yang berasal daripada tanah. Kita tidak boleh memakan besi. Kita juga tidak boleh memakan api. Ini adalah kerana unsur kejadian kita adalah berasal daripada tanah.

Apabila kita sakit, maka kita akan diberikan galian-galian di dalam ubatan kita. Semua bahan-bahan ini juga berasal daripada tanah. Maka tidak hairan apabila kita mati, tubuh kita akan ditanam lalu dihancurkan di dalam tanah kerana kita dan tanah adalah unsur yang sama.

Jesus dan Mariam adalah manusia biasa. Mereka juga makan dan minum seperti manusia biasa. Sekiranya Jesus memiliki unsur ketuhanan yang berasal di langit, nescaya ia tidak akan memakan sepertimana manusia di bumi. Para Malaikat yang menjelma menjadi manusia yang menemani para nabi juga tidak mengambil apa-apa makanan seperti manusia!

Untuk itu, kita umat Islam mempercayai Jesus adalah nabi yang diutus oleh Allah. Serta dia adalah manusia biasa.

Jesus Bukan Anak Tuhan Atau Bukan Tuhan

Jesus atau Nabi Isa as. tidak mengajarkan kepada manusia bahawa beliau ialah anak Tuhan. Begitu juga dengan nabi-nabi yang terdahulu, mereka tidak pernah mengaku bahawa mereka juga anak Tuhan. Sekiranya Tuhan memiliki anak, sudah pasti nabi-nabi yang terlebih awal diutus oleh Allah akan memberitahu manusia bahawa Tuhan itu mempunyai anak!

Atau mereka juga akan mengaku bahawa mereka adalah seorang daripada anak-anak Tuhan? Tetapi semua nabi-nabi menyampaikan kepada manusia untuk menyembah Allah yang satu.

Kisah Nabi Nuh as. yang memberitahu umat manusia untuk menyembah Allah yang satu. Begitu juga dengan kisah Nabi Ibrahim as. Begitu juga dengan kisah Nabi Musa as. Semua nabi-nabi ini tidak pernah mengatakan bahawa Allah itu memiliki anak, malah mereka tidak pula meminta dikorbankan atau disalib, untuk Tuhan memberikan keampunan kepada umat mereka.

Allah adalah Tuhan yang satu. Dia tidak beranak, Dia tidak pula diberanakkan. Dia tidak mempunyai ibu-bapa, Dia tidak perlu kepada isteri, Dia tidak perlu kepada anak, Dia tidak beranak-pinak dan tidak pula mempunyai keturunan. Tuhan tidak mempunyai saudara mara, malah Tuhan tidak mempunyai kaum kerabat! Allah adalah Tuhan yang satu. Hanya kepada Dia kita menyembah. Bukan menyembah kepada anak Tuhan. Bukan juga menyembah anak Tuhan sebagai perantaraan.

Serta Tuhan tidak perlu menyamar menjadi manusia, kemudian turun dan hidup di tengah-tengah manusia, hanya untuk memberitahu manusia untuk berbuat baik. Allah yang Maha Suci tidak layak untuk berbuat demikian.

Tuhan Tidak Perlu Menyalib Anaknya Untuk Penebusan Dosa Manusia

Serta Tuhan tidak perlu untuk mengorbankan seorang anaknya, hanya untuk mengampunkan dosa-dosa manusia. Kerana Dia itu adalah Tuhan, Dia adalah pemilik kepada keampunan tersebut. Apakah Tuhan perlu untuk mengorbankan anaknya sebagai ganti kepada keampunan untuk manusia?

Jika begitu, adalah tidak cukup untuk mengorbankan seorang Jesus sahaja, kerana banyaknya dosa-dosa manusia di atas muka bumi ini zaman berzaman sehingga ke hari Kiamat. Tuhan perlu mengorbankan lebih banyak lagi anak-anaknya.

Secara logiknya, adalah lebih patut Tuhan menghancurkan semua manusia ini kerana telah mengorbankan atau menyalib anakNya sendiri, yang Dia sendiri telah utuskan kepada manusia, agar manusia ini berbuat baik, agar manusia ini terselamat daripada Neraka. Tetapi manusia ini telah melakukan sebaliknya dengan membunuh Jesus. Dengan manusia membunuh Jesus, akhirnya Tuhan telah kehilangan pewaris untuk mewarisi seluruh alam semesta ini.

Sesiapa yang berfikir bahawa Allah itu memiliki anak, perlulah melihat perkara ini dengan lebih dekat. Jika kamu seorang Muslim, maka kamu juga telah murtad, terkeluar daripada iman kamu.

Tidak ada seorang nabi pun yang pernah mengajar manusia tentang penebusan dosa. Kisah ini hanya terdapat di dalam Kristian. Setiap manusia bertanggung-jawab untuk memikul dosa atau kesalahan masing-masing. Tuhan pula tidak perlu mengorbankan anakNya untuk mengampunkan dosa-dosa manusia.
Sama juga bahawa Jesus tidak pernah mengajar tentang penebusan dosa. Tetapi semua ini adalah Injil (Gospel) yang telah diubah-ubah sejak zaman berzaman. Tidak ada mana-mana nabi sebelum ini yang memberitahu tentang penebusan dosa.

Jesus Tidak Disalib Atau Dibunuh

Sebagai Muslim kita percaya bahawa Nabi Isa akan datang kembali sebelum Kiamat. Penganut Kristian juga percaya bahawa Jesus mereka akan datang kembali ke dunia ini untuk membunuh Dajjal dan juga Yajuj dan Majuj (Gog and Magog). Mereka memanggil peristiwa kedatangan Nabi Isa kali kedua ke muka bumi ini sebagai The Second Coming.

Nabi Muhammad saw. telah menjelaskan bahawa Jesus tidak disalib atau dibunuh oleh mereka yang kafir, tetapi Allah telah menyelamatkan Jesus dengan membawanya ke langit. Sebaliknya yang disalib adalah pengkhianat kepada Nabi Isa as. yang mempunyai wajah paling seiras dengan Nabi Isa as.

Pengkhianat tersebut ialah Judas Iscariot. Pada asalnya beliau merupakan pengikut setia kepada Nabi Isa as. Di dalam al-Quran, pengikut setia ini dipanggil sebagai al-Hawariyyun. Di dalam Kristian, mereka digelar sebagai Twelve Diciples. Terdapat dua belas orang pengikut semuanya.

Tetapi pengkhianat ini telah dihasut untuk berpaling tadah. Beliau telah menyebar fitnah bahawa Nabi Isa as. akan merampas kerajaan daripada raja pada ketika itu. Dengan itu, tentera raja telah dihantar untuk menangkap Nabi Isa as. Selain itu, pengaruh Nabi Isa as. yang berkembang di kalangan Yahudi dan Samaria, telah menyebabkan raja berasa bimbang akan rampasan kuasa.

Selain itu, ajaran Nabi Isa as. yang telah membetulkan ajaran-ajaran agama ahli kitab pada masa itu juga amat tidak disenangi oleh kebanyakan ustaz-ustaz ahli kitab pada ketika itu.

Di dalam al-Quran, dengan jelas telah dinyatakan bahawa Allah telah menyelamatkan Jesus daripada mati di dibunuh oleh kaumnya akibat fitnah tersebut. Jesus telah diangkat ke langit oleh Allah secara jasmaniah.

Sekiranya Muhammad itu seorang pembohong seperti yang dikatakan oleh kalangan Kristian, adalah tidak perlu Muhammad itu menyampaikan kisah-kisah yang baik tentang Jesus kamu. Serta mengapa di dalam al-Quran kami terdapat banyak ayat dan banyak tempat menyebut kisah-kisah Jesus kamu dalam keadaan yang amat positif.

Serta, sekiranya Jesus kamu itu telah mati disalib, maka seharusnya jasad beliau telah tertanam di suatu tempat, dan beliau tidak akan kembali lagi ke muka bumi ini sehingga ke hari Kiamat. Tetapi kita tidak menemui dimanakah makam beliau. Adakah kepercayaan Kristian kepada The Second Coming itu memberitahu kamu bahawa Jesus akan bangun dari kuburnya? Atau adakah dia akan turun dari langit?

Jadi sebagai Muslim yang mana satu kamu percaya? Adakah kamu sebagai Muslim percaya beliau telah mati disalib, atau diangkat ke langit? Al-Quran mengatakan Allah telah menyelamatkan Jesus dan mengangkatnya ke langit. Lalu dipanjangkan umurnya sehingga ke akhir zaman. Kemudian beliau akan turun kembali ke dunia ini dengan misi untuk membunuh Dajjal dan Yajuj Majuj. Dan kemudian barulah beliau di matikan setelah membunuh Dajjal dan juga Yajuj Majuj.

Nabi Isa akan wafat seperti manusia lain yang akan wafat. Apabila beliau wafat, jasadnya akan dikebumikan seperti manusia yang lain. Beliau tidak akan diangkat sekali lagi ke langit. Di dalam ajaran Kristian juga tidak dinyatakan tentang perkara ini. Tidak ada The Second Leaving!

Walaupun begitu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila seorang manusia diangkat ke langit serta dipanjangkan usianya. Ini adalah kerana Dajjal telah hidup sejak zaman Nabi Musa as. dan dipanjangkan usianya oleh Allah sehingga ke akhir zaman. Begitu juga dengan makhluk ciptaan Allah yang lain seperti Iblis, Syaitan serta juga para Malaikat. Mereka ini adalah makhluk yang dipanjangkan usianya oleh Allah.

Oleh itu, Islam meyakini bahawa Jesus tidak disalib. Sebaliknya Islam mempertahankan Jesus daripada mati dibunuh oleh kaumnya. Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa yang dibunuh adalah pengkhianat tersebut. Sekali lagi sekiranya Muhammad seorang pendusta seperti yang dikatakan oleh penganut Kristian, mengapa pula Muhammad mahu mengatakan yang baik-baik tentang Jesus?

Kesimpulan

Akhir sekali, setelah melihat kepada semua perkara yang dibincangkan di atas, sebagai Muslim kita tetap meyakini bahawa Jesus atau Nabi Isa as. adalah seorang nabi. Malah beliau seorang manusia, bukan pula anak kepada Tuhan atau jelmaan Tuhan di tengah-tengah manusia.

Dengan mengangap Jesus sebagai anak Tuhan, kita telah melakukan syirik kepada Allah. Allah tidak bisa menerima iman seseorang yang mendua kannya. Allah tidak bisa menerima iman yang menyembah selain Allah. Allah tidak menerima iman orang yang menyembang patung sebagai perantaraan di antara manusia dengan Allah. Allah tidak menerima iman yang mengatakan Allah mempunyai anak atau sekutu. Iman yang tidak diterima oleh Allah adalah bersamaan dengan kafir.

Maka amatlah merugikan sekali, apabila kita telah beriman dengan apa yang diajar oleh Muhammad saw. tetapi tiba-tiba kita berpaling lalu mempercayai konsep trinity serta penebusan dosa yang tidak diajar oleh Jesus atau Isa as. Tetapi sebaliknya ia adalah sesuatu yang telah diubah-ubah oleh pengikut Kristian yang menyangka mereka lebih bijak pandai dariapada Jesus mereka sendiri.

Wallahu a’lam.
Allah Know Best

Mohd Rafi
Johor Bahru
27 Jan 2012

Monday, January 23, 2012

Hidup Ini Nak Kejar Apa Ustaz?

Beberapa minggu yang sudah aku ada bersolat di sebuah surau di tepi hiway Pasir Gudang. Ada kuliah sedang disampaikan oleh seseorang dan ada beberapa hadirin yang duduk di dalam kuliah tersebut. Tiba-tiba ada seorang jemaah tanpa meminta izin untuk bertanya soalan, terus saja bertanya kepada Pak Ustaz, “Ustaz, habis dalam hidup ni kita nak kejar apa sebenarnya?”.

Sambil menoleh kepada lelaki tersebut aku pun mengerutkan dahi. Selama ini aku sendiri pun tidak pernah bertanyakan soalan sebegitu rupa kepada Pak Ustaz. Dan aku sendiri tidak pasti adakah aku mempunyai jawapan untuk soalan yang beliau tanyakan.

Setelah selesai solat Isyak, aku seolah-olah telah pun memintal jawapan kepada soalan beliau tentang apakah yang kita hendak kejarkan sementara kita hidup di dunia ini. Lalu aku pun mendekati pemuda tersebut sambil tersengih-sengih meminta simpati untuk berkenalan.

Kemudian kami pun berbual pelbagai topik, dari topik-topik di atas muka bumi, sehinggalah kepada topik-topik yang berkisar di atas langit tentang Tuhan.

Akhir sekali aku pun menjawab soalan beliau tetapi kepada diri aku sendiri, sebabnya ialah kerana beliau telah pergi kepada pelbagai topik sehingga aku tidak sempat untuk mencelah.

Apa yang sempat ialah aku bertanya kepada beliau, “dah dapat belum jawapan daripada Ustaz tentang soalan tadi?”, lantas beliau menjawab, “saya ni dah banyak bertanya kepada ustaz dan ustaz, tetapi belum ada lagi ustaz yang betul-betul menjawab soalan saya tadi”, kata beliau dengan wajah yang sedikit kecewa.

Kemudian aku pun menjawab soalan beliau tersebut tetapi untuk diri aku sendiri. Serta jawapan ini adalah apa yang telah aku dengar di dalam radio ketika aku sedang memandu untuk ke tempat kerja, disampaikan oleh seorang doktor mata, beliau menyatakan kita ini di muka bumi adalah untuk mencari redha Allah.

Ya, apa yang kita cari di dunia ini sebenarnya ialah Redha Allah.
Apakah itu Keredhaan Allah? Serta apa yang kita akan peroleh daripada Allah apabila kita mendapat keredhaan dari Nya?

Doktor mata itu memberitahu, apabila kita mendapat keredhaan Allah, pertama sekali rezeki kita di dunia ini akan diberkati, apabila rezeki diberkati, bukan saja rezeki itu selamat, tetapi rezeki itu dipermudahkan untuk kita mendapatknya.

Yang kedua apabila kita mendapat keredhaan Allah di dunia ini, ialah kita kan mati dengan mudah serta dapat mengucapkan kalimah syahadah, apabila kita dapat mengucap kalimah syahadah ini, matinya kita itu adalah sebagai insan yang bukan saja beruntung, tetapi sangat-sangat beruntung.

Kemudian yang ketiga, apabila Allah meredhai kita, kita akan mendapat keselamatan daripada azab sewaktu berada di alam barzakh. Tempoh waktu yang lama di alam barzakh akan berasa begitu singkat seperti dua rakaat solat subuh. Insan ini bukan saja beruntung, malah sangat-sangat beruntung.

Kemudian yang keempat, sewaktu di padang mahsyar yang penuh huru-hara, kita akan mendapat naungan Arasy Allah, yang kelima kemudian ialah kita menerima buku catatan amal dengan tangan kanan, kemudian yang keenam ialah dapat melintas titian Sirat sepantas kilat, dan akhir sekali dapat memasuki syurga tanpa hisab. Ini bukan saja beruntung, malah sangat-sangat dan tersangat beruntung.

Puncanya ialah mendapat keredhaan Allah sewaktu hidup di muka bumi. Lalu, apakah yang kita perlu kejar sewaktu kita berada di atas dunia ini? Jawapan doktor mata tersebut ialah kita mesti mengejar untuk mendapatkan KEREDHAAN ALLAH.

Tetapi belumpun sempat aku hendak berbincang dengan lelaki yang mencetuskan soalan tersebut, beliau telahpun berlalu pergi. Belum ada rezeki lagi...

Lalu soalan aku pula ialah, daripada mana aku hendak mulakan untuk mencari redha Allah? Siapa yang boleh bimbing aku? Siapa yang boleh jadi buddy kepada aku untuk monitor aku? Takkan anak aku kot? Aku perlukan teman perjuangan.


Mohd Rafi
Johor Bahru
23 Jan 2012