Total Pageviews

Saturday, December 31, 2011

Kenapa Kamu Bersolat?

Ketika itu aku sedang duduk di dalam sebuah surau. Tiba-tiba datang seorang lelaki tua, dia bertanya kepada aku, mengapakah kamu bersolat? Atau dengan perkataan lain, beliau memaksudkan kenapa aku ini bersolat, beliau mahu tahu apa jawapan aku?

Maka aku dengan perasaan amat tidak selesa, sambil membetulkan songkok yang tidak senget, lalu aku berkata kerana ia memang telah menjadi kewajipan saya untuk melakukan solat sepertimana yang telah diperintahkan oleh Allah swt. Dan aku menjawab dengan penuh tanda soal di dalam jawapan aku sendiri???????

Lalu kemudian aku melihat lelaki tua itu menggeleng-gelengkan kepalanya seperti mengisyaratkan kepada aku bahawa jawapan yang aku berikan itu bukanlah jawapan yang dia mahukan. Lalu kemudian tanpa memberikan aku jawapan yang beliau kehendaki, beliau mula bercerita tentang Islam walaupun topiknya pelbagai.

Kemudian, beliau bercerita kisah Nabi Muhammad saw, lalu sewaktu menceritakan kisah tersebut yang berkaitan dengan Nabi saw, aku melihat matanya kelihatan berair, adakalanya dadanya seakan menahan nafas yang sebak sewaktu beliau bercerita.

Akhirnya beliau mengatakan beliau amat rindukan Nabi saw, jadi oleh itu adalah tidak mustahil apabila mulut beliau bermula untuk menuturkan sesuatu yang berkaitan dengan Nabi saw, maka beliau akan tersentuh hati lalu menjadi sebak kerana amat rindukan baginda Nabi saw.
Pada babak ini mulut aku terlopong macam antara percaya dan tidak percaya. Ini pertama kali orang bertanyakan aku kenapa aku bersolat. Juga pertama kali bertemu dengan orang yang menitiskan air mata apabila bercerita tentang Nabi saw.

Begitu lama kisah ini telah berlalu, aku masih belum tahu jawapan yang bagaimana beliau mahukan daripada soalan “kenapa kamu bersolat”?




Mohd Rafi
Johor Bahru
1-Jan-2012