Total Pageviews

Thursday, December 30, 2010

Sedekah & Hadiah

Kalau dahulu Sir Alexander Graham Bell adalah orang yang sentiasa bereksperimen. Beliau telah gagal lebih dari 1000 kali sebelum terhasilnya telefon. Ketika ditanya tentang kegagalan beliau di dalam eksperimen lebih dari 1000 kali itu, beliau berkata saya tidak gagal, sebaliknya saya telah menemui lebih dari 1000 cara untuk berjaya.

Itu adalah jiwa yang sangat positif, berani, tidak pernah kecewa serta putus asa. Matlamat sentiasa di depan. Begitu jelas.

Saya bukan Alexander, tetapi saya ingin berkata tentang eksperimen. Kita selalu mendengar eksperimen ini dilakukan oleh saintis atau golongan atasan, golongan yang otaknya bergeliga.

Tetapi saya juga telah bereksperimen perkara yang pelik. Yang penting ialah jawapan daripada eksperimen saya. Mari kita lihat adakah ia benar atau sebaliknya.

Saya ada dua period perniagaan. Period A ialah period saya berniaga secara tegas iaitu dengan mengikut harga yang saya sendiri telah tetapkan.

Sementara Period B ialah period saya berniaga dengan lebih fleksibel pada harga. Saya telah menjual banyak unit hanya dengan separuh harga daripada harga sebenar. Niat saya ialah untuk membantu. Keuntungan saya kemudiankan.

Kepada pelanggan, saya berikan mereka diskaun yang kadang-kala membuatkan pelanggan itu sendiri terkejut. Ada kalanya saya memberikan satu unit tambahan lagi sebagai hadiah tanpa bayaran apa-apa. Ada kalanya saya menanggung kos penghantaran pos laju tanpa meminta pelanggan menanggungnya. Ini ialah deskripsi lebih kurang berkenaan period perniagaan B. Semua ini saya niatkan sebagai hadiah kerana ingin membuatkan pelanggan saya gembira.

Apa yang jelas, ketika di period B, pelanggan telah bertambah secara drastik entah daripada mana mereka datang. Ia secara ketara mengatasi bilangan pelanggan sewaktu di period A. Ada yang menghantar mesej kepada saya ketika tengah malam. Ada yang lebih lewat daripada tengah malam. Pelanggan yang asalnya hanya ingin membeli satu unit, kemudian menambah belian mereka. Pelanggan yang pada asalnya tidak mahu membeli, telah membeli sewaktu harga diturunkan sehingga separuh.

Ini ialah tentang eksperimen pertama. Kemudian saya melakukan eksperimen kedua, bagi produk yang berbeza, skop berbeza, lapangan berbeza. Eksperimen pertama adalah produk yang tidak perlu berjumpa mencari pelanggan. Tetapi yang kedua saya perlu berjumpa dengan pelanggan.

Pada period A, saya menjalankan aktiviti jualan seperti biasa. Berjumpa dengan ramai orang, tetapi hasil tidak seberapa.

Pada period B, sama seperti di period A, aktiviti jualan berjalan seperti biasa. Pada suatu hari, sewaktu saya sedang bersolat di surau di tempat saya, tergerak di hati untuk mengajak seorang musafir yang sedang menetap sementara di surau tersebut makan. Kemudian selepas itu, saya kerap mengajak beliau makan bersama setiap kali selepas maghrib ataupun isyak. Adakalanya beliau tidak makan, mungkin kerana keputusan duit. Walaupun beliau tidak memberitahu saya, tetapi dari ilham dan gerak hati, saya memberikan beliau sedikit wang melalui anak saya selepas selesai sembahyang. Tujuan saya ialah agar beliau tidak kelaparan dan dapat membeli makanan.

Walaupun begitu jangan ada yang menyangka saya seorang yang banyak duit. Mungkin ada yang berkata mereka tidak boleh melakukan seperti saya kerana tidak cukup duit. Saya melakukan semua ini dalam keadaan sempit dan memujuk diri sendiri.

Tidak lama selepas itu, jualan saya mencurah-curah. Ia seakan ada kaitan dengan amalan sedekah yang saya lakukan. Benarkah begitu? Saya serahkan jawapan tersebut untuk sesiapa yang membaca.

Di satu tempat yang lain, saya pernah mendengar seorang rakan menceritakan pengalaman beliau berjual. Beliau ada sebuah warung kecil di hadapan rumah. Warung tersebut digunakan untuk menjual buah-buah bermusim seperti durian dan rambutan. Ia terletak betul-betul di tepi jalan-raya yang banyak pengguna.

Pada satu hari jualan beliau langsung sifar dari pagi hingga ke tengahari. Tidak ada seorang pun yang singgah membeli buah rambutan yang beliau letak di warung tersebut. Sewaktu hari menjelang petang, ada seorang perempuan sedang membawa anak kecil datang ke warung beliau. Kerana kasihan dengan perempuan tersebut yang berpakaian comot dan kelihatan hidup susah, beliau mengajak perempuan dan anaknya makan di rumah beliau.

Selepas perempuan itu pergi, sebelum menjelang senja, kesemua buah rambutan beliau telah habis dijual kepada orang yang lalu lalang di depan warung beliau.

Pada mulanya saya hanya mendengar kisah ini dengan teruja. Tetapi saya telah bereksperimen , saya mendapat hasil yang sama. Kini saya tidak mahu menjadikan ia sebagai satu eksperimen lagi, tetapi adalah bagus jika ia dipraktikkan dan menjadi sebati sebagai satu amalan yang ‘low profile’ dan tidak perlu dibanggakan.

Cukuplah diri sendiri yang tahu amalan kebaikan diri sendiri, hanya di antara kita dengan Allah, sama seperti kita menyembunyikan dosa dan keburukan kita daripada orang lain juga.

Apa yang dipelajari ialah sesuatu yang amat bernilai.

1. Niat yang murni akan dibalas oleh Allah dengan sesuatu yang baik. Sekiranya tidak di sini, pasti di akhirat kelak. Berniaga bukan sekadar mencari keuntungan, sebaliknya untuk memenuhi keperluan hidup orang lain.

2. Sedekah atau hadiah adalah sesuatu yang baik. Ia kelihatan merugikan pada mata kasar, tetapi Allah membalasnya 10 kali lebih daripada apa yang telah diberikan. Ramai tersilap kerana menjangka balasan Allah di dalam bentuk harta. Sedangkan ada banyak perkara yang tidak mampu dibeli oleh harta yang banyak. Allah boleh membalasnya dengan sesuatu yang kita tidak nampak, bukan berupa harta, mungkin ketenangan hidup, kesihatan badan, keluarga bahagia, anak-anak yang soleh dan solehah, kehidupan serta umur yang berkat dan sebagainya.

3. Sedekah atau hadiah mestilah ikhlas kepada Allah, bukan kerana untuk perniagaan maju.

4. Tidak terlalu berkira dan gelojoh dengan keuntungan, sebaliknya memberikan ruang kepada perniagaan itu berkembang dengan lebih adil.

Saya berazam untuk lebih banyak bersedekah dan berhadiah. Iaitu untuk memperbaiki amalan saya sebelum tiba ke akhirat. Perniagaan maju atau rezeki bertambah adalah perkara kedua.

Orang kafir yang tidak pernah bersedekah juga boleh kaya? Kenapa? Saya akan menulisnya di waktu yang lain.


Mohd Rafi
Johor Bahru

Monday, December 27, 2010

Menyingkap Peribadi Pelanggan

Mungkin kita sedar, setiap hari ada ramai orang di sekeliling yang memerhatikan diri kita dari atas hingga ke bawah. Malah ia bukanlah sekadar memerhati dengan pandangan kosong, tetapi menyelinap terus ke dalam diri untuk merungkai keperibadian diri.

Kita juga begitu. Ada ramai orang baru yang kita temui setiap hari atau setiap minggu atau setiap bulan. Dengan melihat seseorang, kita telah mendapat jawapan kasar keperibadiannya, adakah ia seorang yang baik, atau sebaliknya. Benarkah begitu?

Selalu saya bertemu dengan orang yang banyak menghabiskan masa di masjid, wajah mereka ada kelainan tersendiri. Tetapi tidak tahu dimana perbezaannya jika dibandingkan dengan wajah mereka yang bergelumang dengan dosa.

Dari sudut mana mata ini melihat, bagaimana ia dapat menyelinap kepada perbezaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata? Saya sendiri tidak tahu.

Tetapi itu ialah soal wajah, benda yang boleh dilihat dan disentuh dengan tangan. Ia jelas secara fizikal. Bagaimana pula sekiranya ia berupa mesej ringkas (SMS)?

Minggu sudah, saya menerima sebuah mesej berbunyi seperti berikut:

“Salam Rafi, pengorek telinga tak sampai lagi. Saya dah tunggu 20 hari, masih tak sampai lagi. Saya nak batalkan. Sila pulangkan duit saya”

Telahan saya kepada mesej ini bunyinya seperti marah atau tidak berpuas hati. Pelanggan ini mungkin seorang yang cerewet, kurang sabar, sentiasa berada di hadapan untuk menuntut hak pengguna dan mungkin seorang yang tidak boleh menunggu terlalu lama.

Kemudian ada mesej yang saya terima berbunyi,

“Encik Rafi, barang dah sampai. Wa caya sama lu”.

Apabila membaca mesej ini, saya mula menelah, pelanggan ini bagi saya ingin menunjukkan perasaan gembira Beliau mungkin tidak suka dengan protokol dan skema penulisan yang bersopan-santun.

Ada juga mesej lain yang berbunyi begini,

“Salam, aku berminat nak beli barang kau. Kau kat mana?”, iaitu mesej dari seorang pelanggan yang tidak mengenali saya serta saya juga tidak mengenali beliau.

Telahan saya ialah, mungkin beliau seorang yang biasa ber-aku ber-engkau, tetapi tidak biasa ber awak-awak dan ber saya-saya. Beliau mungkin seorang yang agak brutal dan kasar orangnya.

Jadi kita boleh lihat, dari pesanan ringkas yang sependek ini, pelbagai telahan tentang keperibadian seseorang itu telah dibuat, pertama sekali ialah diri kita akan mula tertanya dengan orang yang bagaimana agaknya kita sedang berurusan?

Oleh itu, saya sebagai seorang penjual yang berurusan dengan pelbagai golongan manusia, mungkin dia ialah pelajar, atau golongan pekerja biasa, atau golongan professional atau lebih dari itu, maka saya memilih untuk menggunakan ayat yang sopan dan sekali-sekala berskema peperiksaan.

Pertama sekali ialah menggunakan perkataan Encik, Puan atau Cik. Menggunakan perkataan ini adalah lebih baik, memberikan keselesaan kepada pelanggan. Pelanggan akan berasa mereka tidak direndah-rendahkan oleh penjual.

Contoh yang baik:
“Salam Encik, barang encik akan dihantar dari China. Tempoh penghantaran 7 hingga 20 hari”

Contoh kurang baik:
“Salam, barang akan dihantar dari China. Tempoh penghantaran 7 hingga 20 hari”.

Kedua, mengucapkan terima kasih kepada pelanggan, serta menulis nama sendiri di hujung mesej. Dengan menulis ucapan terima kasih serta nama di hujung, ia memberitahu pelanggan bahawa kita menghargai kehadiran beliau untuk membeli dari kita. Pelanggan akan berasa dihargai. Mungkin hari ini dia membeli satu produk, tetapi esok lusa dia akan datang lagi kepada kita untuk menjadi pelanggan tetap.

Contoh baik:
“Encik, ini ialah nombor akaun maybank saya. Maklumkan saya jika encik sudah masukkan duit. Terima kasih – Rafi”

Contoh kurang baik:
“Ini ialah nombor akaun maybank saya. Maklumkan saya jika sudah masukkan duit”

Ketiga ialah tidak menggunakan “Aku” sebagai kata ganti diri kerana “aku” merupakan perkataan yang kurang sopan bagi sesetengah orang, terutama bagi yang belum dikenali. Tidak perlu terikut-ikut sekiranya pelanggan menggunakan ‘aku’ atau ‘engkau’, kita boleh memilih untuk terus berkomunikasi secara sopan.

Keempat pula ialah tidak menggunakan terlalu banyak shortcut atau perkataan singkat sehingga menyukarkan pelanggan untuk memahami mesej tersebut.

Kelima iaitu yang terakhir sekali ialah kita tidak menggunakan font mesej yang pelik-pelik sehingga pelanggan menjadi tidak selesa kerana ini bukan mesej di antara kita dengan kawan-kawan biasa.

Apapun, yang paling mudah ialah bagaimana hendak membuatkan pelanggan berasa selesa. Kita juga sedang membina reputasi, kredibiliti serta imej kepada mereka. Adakah kita peniaga yang jujur, atau peniaga yang sekadar mengaut duit orang.

Di dalam situasi lain, ada seorang pelanggan saya menghantar mesej:

“Encik rafi, barang saya dah terima, tetapi lampunya rosak”

Kemudian saya membalas kepada beliau untuk menggantikan barang yang rosak itu dengan barang yang baik. Pada hari berikutnya saya telah memulangkan barang tersebut tanpa mengenakan caj tambahan sementara caj yang terlebih itu ditanggung oleh saya sendiri.

Kemudian beliau menghantar mesej kepada saya:

“TQ Encik Rafi”, walaupun pesanan ini amat ringkas, tetapi kepuasan yang bersarang di dalam diri kerana dapat memenuhi keperluan beliau tidak dapat saya jelaskan.

JOM – mulakan perniagaan internet

Saturday, December 25, 2010

Melayani Pelanggan

Pada suatu pagi, sedang saya sibuk melayan komputer di depan mata ketika di pejabat, tiba-tiba satu mesej diterima. Orang yang menghantar mesej tersebut bertanya kepada saya, “Salam Rafi, saya berminat dengan pengorek telinga. Nak beli macam mana?” Kemudian saya pun membalas mesej tersebut seperti selalunya saya membalas mesej pelanggan yang lain.

Tidak lama kemudian, beliau yang berada di Selangor, membalas mesej saya. Kemudian kami saling balas membalas mesej. Dia sebagai pembeli yang memang sentiasanya betul, sementara saya adalah penjual yang harus menurut dan melayan dirinya sebagai raja.

Setelah agaknya beliau berpuas hati dengan penjelasan saya, kemudian satu lagi mesej dihantar oleh beliau. Dan mesej ini membuatkan semua aktiviti saya terhenti seketika, kecuali jantung dan otak yang terusan bekerja dan mencari jawapan.

Beliau bertanya, “macamana saya nak tau perniagaan encik ini adalah betul?"
Ya, itu ialah satu soalan yang begitu ringkas, tetapi saya bungkam untuk menjawab. Ini adalah kerana perniagaan saya hanya mungkin boleh dijelaskan seperti di bawah.

Perniagaan saya ialah menjual di internet, dan saya tidak memiliki kedai fizikal yang boleh dilihat dengan mata, serta boleh disentuh dengan tangan. Perniagaan saya hanya wujud secara maya, ia tidak kelihatan di depan mata apatah lagi untuk disentuh.

Oleh itu bagi mereka yang tidak biasa membeli-belah di internet, apatah lagi tidak pernah melakukan sebarang transaksi di internet, akan berfikiran sedikit gusar, takut sekiranya tertipu iaitu setelah pembayaran dibuat, tetapi barang tidak diperoleh.

Setelah memberi ruang sebentar kepada otak untuk berfikir, kemudian saya pun membalas begini, “perniagaan saya adalah betul, sekiranya barang tidak sampai atau rosak, wang akan dikembalikan. Setakat ini saya masih belum lagi menipu dengan harga RM10”.

Mungkin agak keras sedikit bunyi mesej saya, tetapi apa yang menariknya ialah mesej berikutnya yang saya dapat daripada beliau berbunyi, “OK, bagi no akaun CIMB encik”.
Dan akhirnya, transaksi jual-beli pun berlaku.

Adakalanya saya berdepan dengan pelanggan yang agak cerewet, adakalanya berdepan dengan pelanggan yang tidak ambil kisah.

Berdepan dengan pelanggan, banyak yang dipelajari oleh diri sendiri untuk bagaimana menjadi pelanggan yang baik. Bukan sekadar menjadi penjual yang baik.

Iaitu menjadi pelanggan yang tidak menyakiti hati penjual, serta menjadi penjual yang menghormati pembeli.


Mohd Rafi,
Johor Bahru

Tuesday, December 7, 2010

Ucapkan Terima Kasih

Pada minggu lepas, sewaktu saya sedang berada di dalam satu ‘meeting’ di tempat kerja, tiba-tiba saya mendapat satu panggilan telefon. Telefon yang bergetar di poket segera saya sambut dengan salam. Di hujung talian terdengar suara yang telah lama tidak kedengaran. Dia ialah kawan lama yang umpama menghulurkan kembali tangan persahabatan agar tidak terlerai setelah lama terpisah.

Terus-terang, saya memang tidak mengingati sahabat ini.

Lama kami berbual. Berpusing-pusing cerita di atas kenangan yang sama. Saling bertanya khabar rupa-rupanya adalah perkara yang menyeronokkan. Di hujung perbualan, kami menyudahkan dengan salam. Itu saja akhirannya dari saya.

Di dalam situasi lain, saya sedang dalam perjalanan ke satu tempat. Tiba-tiba teringat sahabat lama yang juga telah lama tidak berhubung. Saya segera menelefon beliau. Cerita beliau tentang kerja dan kawan-kawan lama memang menyeronokkan. Lama kami berbual. Di hujung perbualan, saya berkata, “oklah, nanti bila-bila ada kesempatan aku telefon kau lagi”. Dan perbualan pun berakhir.

Namun ada sesuatu yang menarik. Beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana menghubunginya. Walaupun dengan nada biasa, tetapi membuatkan saya berasa dihargai. Teringat pula perbualan saya dengan seorang lagi sahabat yang terlebih dahulu saya ceritakan di atas. Saya mengakhiri perbualan itu tanpa ungkapan terima kasih kepada sahabat yang menghubungi saya.

Saya bagaikan baru tersedar, ungkapan terima kasih rupanya adalah keramat. Adakalanya ia menjadi sangat bernilai. Ada kalanya ia melambangkan keperibadian baik diri seseorang.

Walaupun kita setiap hari mendengar ungkapan ini, tetapi ada ketikanya kita marah sekiranya orang tidak mengucapkan terima kasih kepada kita. Pada kita mungkin dia seorang yang tidak sopan, tiada budi pekerti, tidak tahu berterima-kasih, atau paling kurang ialah orang yang pentingkan diri sendiri, tidak pernah untuk tahu susahnya orang lain untuk memenuhi permintaan dia.

Terutama seperti saya, setiap hari berurusan dengan orang, sebagai seorang pekerja yang menjalankan tugas di dalam skop yang luas, berjumpa dengan pelbagai orang setiap hari, berurusan dengan orang meminta tugasan itu dan ini, serta di samping itu juga sibuk melayan customer saya secara peribadi, ungkapan terima kasih mungkin menunjukkan satu keperibadian yang baik. Orang kata biar muka buruk, yang paling utama ialah keperibadian.

Sama juga ungkapan terima kasih daripada seorang suami kepada isteri, seorang isteri kepada suami, seorang anak kepada ibu-bapa, serta ibu-bapa kepada anak, rakan kepada rakan, kekasih kepada kekasih, majikan kepada pekerja, pekerja kepada majikan. Bahkan di dalam setiap urusan antara kita sesama manusia.

Teringat saya kepada satu pertemuan, bagaimana hati saya terpaut. Terpaut kepada ajakan seorang encik untuk menyertai perniagaannya. Setelah pertemuan empat mata selesai pada satu malam antara saya dengan encik tersebut, saya pulang. Dalam perjalanan pulang sewaktu memandu kereta, saya mendapat satu mesej ringkas daripada beliau. Ia berbunyi “Encik Rafi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada encik kerana sudi bertemu dengan saya. Kalau ada sebarang salah silap semasa pertemuan tadi harap dimaafkan”.

Wow, mesej yang mengujakan saya. Tertarik dengan strategi beliau. Dan beliau bukanlah orang-orang biasa seperti saya. Tetapi beliau memiliki empayar perniagaan yang besar. Pendapatan beliau sendiri lebih dari 50K setiap bulan. Mempunyai ramai pekerja. Tetapi beliau mengucapkan terima kasih dengan bersusah payah menghantar mesej ringkas kepada saya. Itu sesuatu yang mengujakan. Hati terpaut kerana ungkapan terima kasih dan budi pekerti yang baik.  

Bermula dari hari ini, saya berazam untuk menjadi lebih sensitif, selalu menghargai orang, dan ianya bermula dengan ungkapan terima kasih.

Terima kerana sudi membaca. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih. (Terlebih sudah).



Mohd Rafi,
Johor Bahru, 8Dec2010

Sunday, November 7, 2010

Memberi Bukan Bermakna Sayang

Pada satu petang, seorang anak mendekati ayahnya yang sedang duduk di sofa sambil menonton tv. Si anak menyuarakan hasrat kepada si ayah, dia meminta ayah membelikannya sebuah motosikal. Untuk apa? Untuk memudahkan dia pergi ke sekolah dan juga pergi ke kedai membantu ibunya.

Si ayah tanpa berfikir panjang segera mengeluarkan segenggam wang kertas berjumlah 8 ribu ringgit lalu meletakkannya di atas meja. Si anak terbungkam sebentar, tidak menyangka permintaannya ditunaikan begitu saja tanpa banyak soal dari si ayah. Si anak tersenyum, hatinya berkocak-kocak kegembiraan. Ayahnya begitu sayangkan dirinya lalu setiap permintaannya tidak pernah gagal dipenuhi. Pada petang itu juga, si anak membawa pulang sebuah motosikal baru.

Ketika si ibu sedang menyiapkan hidangan makan malam pada malam itu, dan si ayah sedang membaca surat khabar di ruang tamu, ketika itu telefon yang diletakkan di satu sudut rumah berdering lalu dijawab oleh si ayah.

Si ayah tergamam. Telefon itu adalah satu berita buruk yang akan sentiasa diingat oleh si ayah dan si ibu bahawa si anak telah meninggal dunia di dalam satu kemalangan ngeri dengan motosikal yang baru di beli petang tadi terperosok ke bawah lori.

***************************************************************

Pada satu pagi seorang anak mendekati ayahnya yang sedang duduk di sofa sambil menonton tv. Ayahnya sedang mengira wang kertas yang bergumpal-gumpal diikat dengan getah. Wang itu adalah hasil perniagaan dari warungnya di sebelah pagi tadi. Si ayah bersungguh-sungguh mengira wang itu. Sambil itu di dalam hatinya bersyukur dengan rezeki yang melimpah-limpah dikurniakan oleh Allah. Dia bercadang untuk menyimpan wang tersebut untuk anaknya.

Tiba-tiba dia didekati oleh si anak, lantas perbualan pun bermula di ruang tamu tersebut. Si anak meminta si ayah membelikan sebuah motosikal untuk kegunaannya pergi ke sekolah, tuisyen, serta pergi belajar ke rumah kawan-kawan dan juga untuk memudahkannya untuk menolong ibunya membeli barang di kedai.

Tidak ada jawapan dari si ayah setelah perbualan mereka mati di pertengahan. Si anak masih menunggu perkataan yang bakal keluar dari ayahnya. Petang itu ayahnya dengan tegas memberitahu bahawa tiada motosikal yang akan dibeli.

Si anak bungkam dan beredar dengan penuh sugul. Hatinya sedih dan kecewa kerana apa yang diharapkan tidak menjadi. Dia akhirnya berazam untuk melupakan apa yang dihajati dan berusaha untuk membeli motosikal tersebut dengan keringatnya sendiri pada satu hari nanti. Begitulah azamnya berterusan sehingga menjadi pembakar semangat untuk dia belajar lebih bersungguh-sungguh.

Masa berganti dan pada satu petang, si ayah dan ibu sedang duduk di halaman rumah melepas penat membersihkan halaman rumah. Tiba-tiba kedengaran enjin motosikal berkuasa besar menghampiri mereka. Si anak pulang dengan sebuah motosikal setelah setahun bekerja dan mengumpul wang. Si ayah bangga dengan anaknya yang telah berjaya menamatkan pelajaran dan memiliki pekerjaan yang bagus. Si ayah berasakan segala penat lelahnya selama ini seumpama telah terbayar.

*******************************************************************

Moral cerita yang pertama di atas ialah umpama diri kita dengan Allah swt. Kita selalu berdoa dan meminta tetapi belum lagi ditunaikan oleh Nya. Merujuk kepada kisah yang pertama di atas, memberi tidak bermakna sayang.

Apabila permintaan kita ditunaikan oleh Allah, bukan bererti itu bermakna sayangnya Allah kepada kita. Boleh jadi itu merupakan pemberian yang akan menghancurkan kita. Umpamanya pemberian harta yang begitu banyak kepada Qarun akhirnya menjadikan dia berubah, daripada seorang yang mematuhi perintah Allah, kepada seorang yang mengingkari Allah. Dia telah mati dalam keadaan tersebut. Dan dia merupakan manusia yang hidup di zaman Nabi Allah Musa a.s. Bukan kisah dongeng.

Keadaan ini dinamakan Istidraj. Iaitu pemberian demi pemberian daripada Allah kepada hambaNya, tetapi dengan pemberian itu menjadikan seseorang itu semakin binasa, semakin jauh dengan Allah swt. Moga kita semua dijauhkan.

Moral cerita yang kedua di atas ialah umpama diri kita juga dengan Allah swt. Kita selalu berdoa dan meminta, tetapi tidak ditunaikan. Merujuk kepada kisah kedua di atas, tidak memberi bukan bermakna membenci.

Apabila permintaan kita tidak ditunaikan oleh Allah, Dialah sebaik-baik pemberi dan Maha Mengetahui segala sesuatu dan sesuatu di sebalik sesuatu. Itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita agar kita tidak binasa atas apa yang kita mohonkan.

Wasalam.

Fenomena Alam Dan Mesej Dari Pencipta

Dengan Gunung Merapi yang menjadi penyebab kepada terkorbannya penduduk di sekitarnya, serta gulungan tsunami di Pulau Mentawai, kebanjiran air di negara jiran iaitu Thailand, kemudian berpindah ke Perlis, Kedah dan Kelantan, ia sesuatu yang kita semua perlu renungkan dengan mata hati yang dalam.

Membunuh seekor semut adalah satu perkara mudah. Wujud atau tidak seekor semut itu pada diri kita, adalah sesuatu yang tidak membawa perubahan apa-apa dalam kelangsungan hidup seharian.

Kita amat jarang melihat ia dari sudut yang lain sedangkan hakikatnya kita sendiri tidak dapat menolak iaitu tidak ada satupun yang Allah jadikan secara sia-sia, atau tiada tujuan. Ya benar, semut yang seekor yang telah kita bunuh tadi itu umpama sesuatu yang tidak akan merubah alam semesta dengan kehadiran atau kematiannya. Tetapi Allah tidak menjadikannya untuk sia-sia.

Apatah lagi dengan fenomena alam yang besar seperti Gunung Merapi, tsunami , air pasang besar dan banjir. Allah tidak menjadikannya sia-sia. Dan itu satu petanda untuk kita melihat kembali, sampai berapa lama lagikah kita akan berada di dunia ini?

Umur manusia yang pendek, kelangsungan hidup di atas bumi yang telah mengalami pelbagai perubahan sejak berbillion tahun, dan kini bumi umpama orang yang mengalami demam panas, melihat kepada perubahan cuaca yang tidak dapat dihalang oleh sesiapa jua. Sama seperti saat pupusnya zaman dinasour seperti raptor dan t-rex yang berbuktikan tulang masing-masing sebagai fosil.

Awan yang berarak dengan hujan lebat, tidak ada sesiapa pun boleh menahan. Teknologi manusia begitu kerdil. Begitu juga dengan air yang datang apatah lagi dengan gempa dan gunung berapi yang langsung tidak mampu diramal dengan tepat bila ia akan berlaku.

Melihat kepada diri sendiri yang masih belum siap menyiapkan kehidupan dunianya, begitu juga dengan kehidupan akhirat yang masih jauh lagi persiapannya, kedatangan fenomena alam umpama satu panggilan telefon daripada Ilahi, persediaan perlu dibuat sekarang.

Terasa sungguh bahawa dunia umpama ular yang membelit. Keindahan dan kenikmatan hidup di dunia, walaupun kita mengakui itu sebagai sementara, tetapi hakikat harian ialah kita juga yang mengejarnya setiap masa. Kita menghadapi dunia ini dengan penuh ketaatan, kita menatang dan menjunjungnya setiap hari sehingga banyak masa keemasan pergi tanpa amal-amal yang akan membantu untuk melepasi alam kubur dan seterusnya. Inilah yang dimaksudkan dunia umpama ular yang membelit, untuk keluar dari belitan dunia sehingga tidak tertawan dengan segala keindahannya bukanlan sesuatu yang mudah. Tidak ada tenaga yang mampu meleraikannya, melainkan iman. Sesuatu yang begitu abstrak untuk dihuraikan, tetapi hanya boleh diperlihatkan pada perlakuan dan penampilan insan itu sendiri.

Kini kita telah mengalami musim hujan yang sesekala begitu lebat sehingga kelihatan siang telah berubah menjadi malam. Di dalam hujan ada rahmat, dan di dalamnya juga ada musibah. Sepertimana umat terdahulu menyangka awan yang berarak mendung itu membawa hujan, tetapi rupanya ialah musibah untuk menghancurkan mereka.

Begitupun, agungnya Pencipta sekelian alam, yang menaikkan berjuta kilogram air daripada permukaan bumi dan lautan setiap hari, air yang berat itu telah naik ke atas kepala manusia dengan hanya dipegang oleh awan yang begitu lembut. Yang kelihatan terlalu lemah apabila kita sendiri boleh membelah awan tersebut dengan tangan kosong. Tetapi awan yang sama itulah yang memegang air yang begitu berat tanpa kita terfikirkannya. Tidak ada teknologi sehebat itu.

Ringannya secawan kopi, tetapi beratnya sebaldi air, apatah lagi setangki air yang diletakkan di atas bangunan tinggi seperti di atas kondominium. Tidak semudah itu untuk membawa air ke atas. Kita harus menggunakan pam untuk menaikkannya.

Tetapi Pencipta alam semesta ini menaikkan air ke awan tidak menggunakan pam. Kita menakung air di atas rumah dengan tangki air yang besar, yang kukuh, yang mempunyai banyak skru di setiap sendinya agar tangki itu tahan lama dan tidak pecah. Ia mungkin material dari besi atau paling kurang ialah PVC yang tebal.

Tetapi bagaimana awan yang begitu lembut, berarak membawa air yang hakikatnya begitu berat, berarak dari satu tempat ke satu tempat yang jauh. Sementara air itu pula menjadi rintik-rintik kecil yang apabila jatuh ke bumi tidak memudaratkan manusia, malah tumbuhan yang lembut seperti pokok bunga juga tidak dimudaratkan oleh hujan yang asalnya adalah air yang begitu berat di atas awan. Sedangkan jika air sebuah tangki yang pecah jatuh dari atas dan menimpa manusia boleh menyebabkan manusia itu terbunuh.

Ini tidak lain adalah kehebatan Allah, sang Pencipta yang telah merekabentuk sistem, mengawal dan mentadbir setiap kejadiannya yang tidak pernah sia-sia. Serta bukti kasih-sayang serta rahmat dariNya agar hujan tidak membinasakan apa jua di atas muka bumi kecuali dengan kehendakNya sahaja.

Sekali lagi dengan kedatangan fenomena alam seperti banjir, ia adalah umpama telefon dari Allah bahawa diri perlu dipersiapkan bagi menghadapi fenomena itu sendiri dan alam-alam berikutnya. Tiada siapa yang mahukan kematian, tetapi kematian belum pernah gagal menjemput setiap yang bernyawa.

Saya bermuhasabah diri. Bersedia menghadapi kemungkinan banjir.


Wasalam.

Bisnes Internet


Salam,
Kini saya kembali lagi setelah sekian lama menyepi. Kesibukan pada kerja, rutin kehidupan harian serta beberapa aktiviti lain yang muncul di dalam jadual, membuatkan blog ini  terpaksa dikemudiankan. Tetapi pada hari ini, saya memutuskan untuk kembali. Ia umpama sebuah rumah yang telah ditinggalkan gelap oleh tuannya, dan kini rumah itu terang sebentar dengan lampu apabila tuannya kembali.
Alhamdulillah, dalam minggu ini saya telah menemui bukti yang dicari-cari selama ini. Keputusan untuk menjelajah lebih terperinci bagi mendalami selok-belok menjadikan internet sebagai medium perniagaan telah menunjukkan tanda-tanda positif. Dengannya saya telah menyimpulkan bahawa ia tidak mustahil untuk pergi lebih jauh. Jalan telah terhidang, kelibat cahaya dihujung terowong yang gelap telah kelihatan. Hanya tinggal diri untuk melangkah terus ataupun tidak.
Permulaan saya dalam bidang ini umpama tunas pokok yang begitu kecil. Langsung tidak layak dibandingkan dengan mereka yang telah menjadi sifu ataupun otai (orang lama) di dalam bidang ini.
Walaupun begitu, semua ini bermula dengan cetusan hati sewaktu menghabiskan masa di perpustakaan Sultan Ismail, menemani anak yang menghadiri tuisyen, saya menggunakan waktu untuk melihat buku-buku yang bertimbun.  Ketika itu masih tercari-cari buku apakah yang seharusnya saya baca.
Bermula dengan buku kanak-kanak berkaitan penjelajahan angkasa lepas, kemudian buku mengenai masakan, lukisan dan pelancongan, buku yang akhirnya menarik perhatian ialah buku-buku di dalam kategori bisnes internet. Buku mengenai ‘Raja Lelong’ adalah buku pertama yang saya bawa pulang ke rumah.
Rasa pelik menyelubungi diri, apabila melihat banyak lagi buku-buku ditulis dalam pelbagai tajuk dari sudut yang berbeza, kesemuanya daripada pengalaman penulis bagaimana memenfaatkan internet sebagai medium untuk mencari pendapatan. Ada yang melakukan secara sampingan, ada yang secara sepenuh masa.
Buku yang dipinjam dari perpustakaan saya baca sepintas lalu untuk diseimbangkan dengan kesibukan diri. Kejam celik akhirnya 10 bulan telah berlalu tanpa apa-apa. Apa yang saya cari tidak ditemui. Puluhan buku yang telah dibaca umpama tin susu yang kosong telah ditinggalkan. Semuanya adalah silap diri sendiri kerana terlalu banyak membaca sehingga tidak tahu yang mana satu perlu di dahulukan.
Minggu sudah saya telah melakukan ‘window shopping’ di internet. Saya meletakkan diri hanya sebagai pembeli. Ia untuk saya memahami bagaimana seorang pembeli diurus oleh seorang penjual. Dengan itu saya dapat melihat bagaimana seorang penjual di internet melakukan jualan dan melayani pelanggan. Ya, itu sesuatu yang menarik. Mereka betul-betul profesional walaupun dipisahkan oleh faktor geografi berbeza, tidak mengenali satu sama lain, tapi urusniaga dilakukan dengan telus.  
Belum lagi saya menjadikan diri sebagai seorang penjual, baru sebagai pembeli, tetapi peluang telah terhidang. Hanya dalam seminggu saya telah menerima sedikit habuan. Berapa? Semua pasti ketawa kerana ianya tidak banyak. Hanya RM30.
Bagi saya, itu tidak mengapa. Ada rangkap perkataan yang saya pegang iaitu “jual apa saja, asal jadi duit”. Saya maksudkan ialah tidak perlu berkira margin keuntungan sedikit ataupun banyak. Selagi ia boleh menjadi duit, jualkan saja. Perlu sedar langkah seorang bayi ialah dengan jatuh dan bangun. Setelah bertahun barulah boleh berlari dan melompat dengan sempurna.
Cukuplah bagi saya RM30 itu sebagai bukti. Tidak berhasrat untuk menjadi kaya-raya, tetapi ia mencukupi sebagai bukti kepada diri sendiri, bahawa apa yang dicari selama ini bukan satu cakap-cakap kosong. Pena dan dakwat penulis-penulis yang telah mengalaminya sendiri bukanlah sekadar untuk menerbitkan buku dan meraih royalti. Kini saya mengakuinya dari dalam diri.
Selalunya perkara yang baik bukanlah untuk dirahsiakan. Apatah lagi jika ia boleh memberikan menfaat kepada orang lain. Insyallah, jika umur dipanjangkan oleh Allah, saya bercadang untuk mengajarkannya kepada umum. Bermula dari kawan-kawan seperjuangan, atau sesiapa juga yang berminat sehinggalah kepada pihak umum yang sebenarnya. Tetapi bukan sekarang. Andaikan ianya berlaku pada Januari depan, insyallah jika saya masih bernafas.
Bagaimanapun, sebagai insan yang tertakluk kepada takdir Yang Esa, yang telah mengatur hidup mati hambaNya,  saya akur pada ketentuanNya.

Wasalam.

Sunday, October 10, 2010

Sewaktu Kau Bengang

Aku suka dengar cerita-cerita tentang seronoknya memancing walaupun aku tak pernah seumur hidup hingga kini memegang joran pancing.

Kata pemancing, memancing tu seronok! Bila dia (si pemancing) dah mula bercerita, dan aku pulak sibuk bertanya itu dan ini kerana ingin tahu, aku rasa berbual sambil berdiri di tepi jalan memang tidak sesuai, alangkah bagusnya kalau kau (si pemancing) menjemput aku datang ke rumah, lalu kau hidangkan aku cappuccino tarik dengan mee hong kong terhidang, sambil-sambil aku menghirup air dan makan, aku boleh dengar cerita kau pergi memancing yang seolah-olah tak ada koma, apatah lagi noktah.

Apa yang seronoknya memancing ni? Cuba aku ceritakan sikit.

He..he..aku yang nak kena cerita rupanya?  Aku pun kurang pasti. Tapi kalau aku diberi pilihan untuk mengulas sebagai pandangan daripada orang luar, iaitu orang yang tidak pernah tercucuk mata kail kat jari, aku rasa yang menyeronokkan memancing ialah bila duduk kat tepi sungai yang tenang, ataupun ketika membaling joran ke tengah laut dari atas bot yang sedang terapung dan mati enjinnya, lalu angin pun bertiup membelai-belai badan, suasananya begitu nyaman sekali dan sambil menunggu ikan tersangkut, boleh berangan-angan, lepas tu tiba-tiba joran tersentap, lepas tu berhempas-pulas pulak nak bawak ikan tu naik ke atas, lepas tu akhir sekali, ikan tersebut dimasak, dimakan, dikhadam, dan kemudian di hantar ke ‘bank’ sebagai destinasi terakhir.

Lepas tu si pemancing pun bercerita kat semua orang tentang pengalamannya memancing. Ceritanya tak habis-habis, dari satu lubuk ke satu lubuk. Wah seronoknya. Nanti aku bawak kau ke lubuk buaya, cuba pulak kau cerita pengalaman memancing kat situ.

Pernah tak korang kena panggil dengan bos atau ketua korang di tempat kerja, lepas tu pada hari tu korang kena marah cukup-cukup, tak cukup dengan marah, korang disekolahkan lagi sebab memang masa zaman sekolah dulu korang ni kurang disekolahkan oleh cikgu akibat selalu ponteng dan berangan kat dalam kelas, pernah tak?

Lalu korang berasa sangat bengang pada hari tu, dan kalau boleh korang nak campak surat berhenti kerja masa tu jugak, biar bos korang tau langit itu tinggi atau rendah, biar dia berasa teramat menyesal kerana memarahi korang yang telah bertungkus lumus menjalankan kerja dengan penuh keikhlasan sambil sekali sekali korang mengular, pernah tak?

Lalu korang pun terus merudum, semangat kerja pun luntur, korang pun berjalan penuh longlai sambil berjalan tertunduk ke bawah macam anak dara malu-malu, lalu korang pun pergi ke tempat melepak, duduk di situ, hisap rokok, minum air seteguk, tapi kepala masih lagi bengang dan seolah-olah bos korang masih lagi bercakap tak henti-henti memarahi korang. Pernah tak?

He..he..aku pernah alami situasi macam ni, tapi aku jenis tak simpan dalam hati. Aku jenis professional, wahaha.

Apa korang buat bila korang bengang? Contoh di atas tadi hanya satu senario bengang lagi membengangkan dan sebenarnya ada banyak lagi kes-kes bengang yang kita hadapi setiap hari. Aku kalau bengang, aku ingat nak pergi memancing macam yang aku cerita kat atas tadi, seronoooook je kan duduk tepi laut ke, duduk tepi pantai ke, sambil berbual-bual santai dengan member sebelah, tapi disebabkan aku tak pernah pegang joran seumur hidup, aku akan hanya berpeluk tubuh dan pegang kamera sambil tengok korang memancing. Tapi masa ikan tu korang dah masak, aku akan ambil bahagian sama ha..ha.

Ada juga jenis orang yang apabila bengang dengan seseorang, terus simpan dalam hati dan menjadi dendam. Setahun berlalu, dua tahun berlalu, berpuluh tahun berlalu pun masih tak hilang kes bengang tersebut di dalam hati, malah sentiasa diingati, seolah-olah tiada kemaafan lagi sudah untuk si pesalah. Ini kes bahaya.

Aku kalau bengang kat tempat kerja, aku akan cari seberapa ramai orang untuk aku berbual-bual kisah apa-apa, samada melibatkan kerja ataupun tak. Kemudian nanti bila berbual mestilah ada lawak jenaka bukan? Bila dah buat lawak, mestilah aku ketawa, kalau tak banyak pun sikit mesti ada (macam ketawa tak ikhlas). Bila dah ketawa, aku akan rasa lega dan kebengangan aku akan mula susut. Kemudian satu jam berikutnya, aku dah tak lagi bengang.

Kalau aku bengang kat rumah pulak, aku akan tidur. Aku akan tidur sepuas hati aku. Kalau boleh 3 hari 3 malam aku nak tidur tanpa henti, hee..hee. Ni aku buat lawak korang jangan percaya.

Aku bila dah bangun dari tidur, apa yang aku bengangkan tadi akan hilang.  Aku pun pelik sebab tak boleh nak simpan lama kes-kes bengang kat dalam hati ataupun dalam kepala otak. Susah aku nak suruh ingatan aku supaya secara automatik memutarkan balik, dan memutarkan balik, dan memutarkan balik secara berterusan supaya kebengangan aku datang kembali. Aku tak bengang, tapi aku bingung.

Yang peliknya ialah ada juga orang yang dah tidur selama 10 tahun macam aku, tapi masih bengang lagi. Ni apa kes beb? Lu bengang gua ke, gua bengang lu?

Dalam surat khabar ada banyak contoh kes-kes apabila seseorang bengang apa dia akan buat. Ada orang yang apabila bengang dia akan makan sepuas-puasnya. Ada yang akan ambik kunci kereta dan pergi jalan-jalan. Ada yang akan bawak kereta laju-laju supaya terlanggar pembahagi jalan dengan sengaja, he..he..ni nak bunuh diri namanya. Ada yang bengang kemudian ambil wuduk. Ada yang bengang kemudian baca al-Quran, baguih ni, tahap orang bertakwa.

Ada orang yang bengang lepas tu mengamuk satu kampung, ada yang ambik pisau rodok perut orang lain. Ada yang gantung diri sendiri. Ada jugak yang tembak orang lain, ada jugak yang bengang kemudian main facebook, ada jugak yang bengang kemudian tulis blog. Ada yang bila bengang ambik kamera, pastu ambik gambar orang sana-sini. Ada yang bila bengang, masuk bilik air kemudian mandi sepuas-puasnya sampai menggigil kepala lutut.

Aku tak kisah apa yang korang nak buat bila bengang selagi tak melibatkan aku. Mari ikut aku ke satu tempat yang aku rasakan sangat bagus untuk meredakan kebengangan korang. Aku bukan nak ajak pergi memancing, tapi adalah..jom.

Korang pernah tengok lembu makan rumput? Jom ikut aku pergi tengok lembu makan rumput. Bukan apa, lembu bila makan rumput, korang tak berasa hairan ke?

Lembu hidup penuh dengan ketenangan, rileks je hidup lembu, tak ada kekusutan langsung. Ia meragut rumput, kemudian mengunyah perlahan-lahan seolah-olah begitu menikmati keenakan setiap helai rumput yang diragut, kemudian ia telan, dan lepas tu meragut lagi.

Bila hari senja, lembu masuk kandang, atau ikut suka hati tuan si lembu ni, kalau beliau nak biarkan saja lembunya berpanas dan berembun. Yang penting lembunya sentiasa meragut. Bila lembu penat, ia akan baring-baring atas rumput, sambil menguak-nguak, sambil tu ia boleh berborak-borak dengan rakan lembu yang lain, sebab tu kita dengar lembu berbunyi “moooook”, eh gitu ke bunyi lembu? Maksudnya lembu ni cakap kat kawan dia macam gini lebih kurang, “Mat, kau dah kenyang belum? Aku dan kenyang dah, aku masuk tidur dulu ok”. Lalu lembu yang lain pula akan menyahut “moooooooooooook”, panjang sikit mook nye tu, bermaksud “Pergilah kau tidur, aku nak makan lagi  kui…kui…kui…”.

Cuba korang menghayati hidup lembu, best kan? Tapi kenapa hidup kita sebagai manusia tak macam tu?

Pagi-pagi bila nak pergi kerja, tiba-tiba kereta buat hal, tayar pancit. Hari lain pulak, bateri kondem, kena pulak tolak. Hari lain pulak, kereta cium belakang bas, kena hantar bengkel. Hari lain pulak, tandas dalam rumah tersumbat, tak boleh nak buang air. Hari lain pulak, IC hilang tercicir entah ke mana, dah nak kena buat baru. Hari lain pulak, motor kena curi, mengadap polis pulak. Hari lain pulak, kena kejar along, rumah kena simbah cat. Hari lain pulak, kena marah dengan suami, kena tidur luar rumah. Dan macam-macam lagi. Tu yang buat aku kusut dan bengang tu.

Menurut pandangan aku lah kan, memang setiap manusia tidak boleh lari daripada masalah selagi dia bernyawa di atas alam dunia ini. Bayi yang baru lahir dan baru bergelar sebagai manusia, dia juga terpaksa menangis kerana tidak mendapat susu. Ini pun satu kes bengang jugak, kenapa nak kena menangis baru dapat susu? Kat dalam perut ibu aku dulu, tak payah susah-susah, tak payah nak menangis pun. Tak payah nak bengang-bengang pun. Semua dapat.

Tapi bila dah berada kat alam dunia, dah tak sama lagi sifir matematiknya. Kalau nak sesuatu, mesti berusaha, kalau dah berusaha, tak semestinya pulak dapat. Ataupun tak payah berusaha, tiba-tiba dapat apa yang dihajati, pun ada jugak.

Ada hari yang perlu kita tempuh dengan tabah, kerana pada hari itu banyak dugaan yang mendatang, daripada pagi sehinggalah ke malam. Dan kita rasa hari itu adalah hari yang aku paling bengang sekali. Sehingga kita rasa nak marah kat semua orang. Atau sehingga kita rasa sangat sedih. Lalu kita mencari gua Kelam di Perlis untuk berkurung diri, sambil menulis-nulis di dinding gua, lalu orang yang melawat gua Kelam kemudiannya menyangka itu ialah tulisan zaman purbakala.

Tapi berapa banyak hari pulak yang kita telah tempuhi dengan penuh gembira dan warna-warni? Aku rasa lagi banyak hari yang gembira berbanding hari yang penuh duka, kan?

Benarlah, dunia ini memang sifatnya begitu, kita sebagai manusia harus mengharunginya. Ada hari yang gemilang, ada hari yang suram perlu kita tempuhi. Jangan membandingkan hidup kita dengan lembu, kerana lembu tidak perlu untuk dihisab di hari akhirat, dan lembu juga tidak akan dimasukkan ke dalam syurga ataupun neraka. Sebab itu lah hidup seekor lembu tak sama dengan hidup seorang ORANG. Lembu boleh berak merata-rata, sedangkan ORANG hanya boleh kentut merata-rata. Lembu tidak perlu mandi wajib, sedangkan ORANG wajib untuk mandi wajib..haha.

Kalau korang dapat susah, lalu korang berasa bengang, haa..sekarang korang dah tau apa nak buatkan, cepat pergi cari lembu untuk korang menghayati hidup lembu. Aku tak suruh korang sebat lembu untuk lepaskan geram. Kalau nak buat boleh jugak, lepas tu kalau korang terselit kat celah tanduk lembu tu jangan cari aku.

Bersambung.
Wasalam.

Monday, October 4, 2010

Pupuskah Bahasa Melayu Ku?

Pada satu ketika dulu, aku memang betul-betul tak sebulu dengan satu tulisan yang dipaparkan di dalam Berita Harian pada tahun 2004. Waktu yang aku berasa tak puas hati itupun pada tahun 2004 jugak. Lantas dengan perasaan yang sangat tidak bersetuju, tiba-tiba aku telah pun berada di hadapan komputer, lalu jari-jemari aku pun mula menari-nari menterjemahkan apa yang melintas di dalam kepala otak, disusun menjadi huruf-huruf dan ayat-ayat yang akhirnya boleh dimengertikan oleh manusia yang boleh membaca dalam bahasa Melayu.

Tidak lama kemudian, apa yang aku tulis tersebut, telah dipaparkan di dalam Berita Harian pada tahun 2004. Tidak lama kemudian, apa yang aku tulis tersebut juga telah disimpan di dalam arkib Dewan Bahasa dan Pustaka, dan boleh dicapai di dalam laman web tersebut.

Aku bukanlah seorang pejuang bahasa, bukan juga seorang yang bagus, tapi aku berasa amat terpanggil untuk menyampaikan isi hati aku, dan aku bukan seorang diri berfikiran demikian, malah aku mewakili mereka yang sealiran denganku. Aku bukan seorang.
Aku juga bukan penentang, aku tidak bermaksud untuk membuang idea yang telah dicanangkan ke seluruh negara itu. Tetapi yang membuatkan aku berasa terpanggil untuk membela ialah apabila ada individu menafikan keupayaan bahasa Melayu, katanya bahasa ini begitu lemah untuk mengangkat bangsanya setingkat setaraf di persada dunia, dan yang dilihatnya ialah bahasa asing, bahasa asing yang mampu untuk mengangkat bangsaku iaitu bangsa Melayu, untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia.

Aku tidak marah kalau engkau mahu bahasa asing. Tapi bilamana engkau berkata bahasa Melayu itu lemah, bilamana engkau mengatakan dengan bahasa Melayu yang lemah ini bangsanya juga tidak pergi ke mana, engkau sudah terlebih, umpama memijak perut aku ketika aku sedang tidur lena.

Untuk engkau, marilah berfikir sejenak. Aku tidak mengatakan engkau seratus-peratus salah, dan aku tidak mengatakan aku seratus satu peratus betul. Ada betulnya engkau, dan ada betulnya aku.

Lalu ke mana jalan terbaik untuk menyampaikan hajat kita semua?  
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
BENARKAH BAHASA INGGERIS PENENTU KEJAYAAN BANGSA?
Sekali  lagi pejuang Bahasa Melayu disangkal. Kali ini Dr. A. Taufik Ghazali mengecam Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia yang telah memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu ketika membidas kenyataan Datuk Sri Rafidah Aziz yang kononnya beliau dan alirannya adalah “cauvinis” bahasa Melayu terkepung dalam kekaburan, termenung di dalam kekeliruan cetusan sendiri.
Dr. A. Taufik menulis tajuk “Kuasai Bahasa Inggeris Untuk Bebas Dari Dijajah”, bagaimanapun timbul persoalan pula benarkah dengan menguasai bahasa Inggeris orang Melayu akan bebas dari dijajah?
Apakah bukti yang menyokong kenyataan beliau ini sedangkan pejuang tanah air yang berjuang memerdekakan negara dari penjajah adalah orang yang buta huruf dan jahil bahasa Inggeris?
Adakah dengan mahirnya kita berbahasa Inggeris, maka masyarakat Melayu seluruhnya terjamin daripada pelbagai bentuk penjajahan? Di manakah jaminan beliau bagi nasib semua bangsa Melayu ini?
Dr. A. Taufik mengatakan Datuk Hassan adalah fanatik bahasa, terikat pada dogma “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa”, sedangkan Datuk Hassan memperjuangkan sesuatu yang hak, sesuatu yang dimiliki bersama oleh orang Melayu dan beliau sendiri. Adakah perjuangan Datuk Hassan itu tidak laku setelah bahasa ibundanya jatuh di kelas ketiga di negaranya sendiri?
Dr. A. Taufik berpendapat dengan bahasa Inggeris ekonomi orang Melayu akan maju tetapi hakikatnya ramai Melayu boleh berbahasa Inggeris seperti saya juga, tetapi mengapa masih ramai lagi yang menjadi hamba kepada orang lain?
Dan mengapa pula dari sudut yang lain, ramai peniaga Melayu yang jahil berbahasa Inggeris tetapi telah pun menjadi kontraktor, peniaga dan usahawan yang disegani dan berjaya?
Dr. A. Taufik mengatakan kerana lemahnya pelajar Melayu menguasai bahasa Inggeris menyebabkan ramai yang menganggur sedangkan hakikatnya pelajar Melayu yang mahir berbahasa Inggeris, yang pulang dari luar negara seperti Amerika, United Kingdom, Kanada dan Australia juga menjadi penganggur.
Dr. A. Taufik menginginkan Malaysia mencontohi India walaupun tidak mengikutinya 100 peratus iaitu dengan pendidikan berteraskan bahasa Inggeris telah berjaya melahirkan ramai tenaga mahir IT sehingga Bangalore berjaya mengatasi MSC.
Beliau terlupa, adakah dengan bahasa Melayu kita akan gagal melahirkan ramai tenaga mahir IT seperti India?
Ini kerana bukankah sejarah telah membuktikan keupayaan bahasa Melayu telah berjaya melahirkan graduan berkualiti dari semua universiti tempatan meliputi pelbagai bidang ekonomi, sejarah, sains, kedoktoran, keagamaan dan bermacam-macam lagi.  Adakah berdirinya Malaysia yang maju hari ini hasil dari bahasa Inggeris seratus-peratus?
Dr. A. Taufik menyanggah Datuk Hassan apabila beliau mengambil contoh negara Jepun dan Perancis yang sentiasa mengutamakan bahasa ibunda.  Dr. A. Taufik mengatakan perbandingan ini tidak sesuai untuk Malaysia dan perbandingan yang dibuat oleh Datuk Hassan ibarat membandingkan buah epal dengan oren.
Beliau terlupa, China yang telah lama terkongkong dan kini bangun dari tidur bukan digerakkan oleh bahasa Inggeris.  Jika Melayu dijajah beratus tahun, rakyat Cina pula telah dikongkong beratus tahun oleh pemerintahan sendiri.
Tetapi mengapa tanpa bahasa Inggeris mereka boleh bergerak maju?  Secara terbaliknya, adakah orang Melayu akan maju dengan bahasa Inggeris?  Adakah bahasa Inggeris satu elemen yang mana dengan ketiadaannya akan memundurkan negara dan bangsanya?
Hari ini, tidak semua orang Cina yang berjaya di dalam perniagaan mahir berbahasa Inggeris.  Tidak semua pelajar Cina yang mendapat pekerjaan mahir berbahasa Inggeris juga.  Tetapi oleh sebab kuatnya jaringan mereka, tiada masalah pengangguran.  Mereka boleh bekerja di mana saja hatta sebagai pengedar VCD.  Dulu, sebelum merdeka, berapa ramaikah orang Cina yang mahir berbahasa Inggeris?
Rata-rata mereka yang berhijrah ke mari tidak tahu berbahasa Inggeris sedangkan pada masa itu negara masih lagi bersuasanakan bahasa Inggeris.  Walaupun begitu, mereka tetap berjaya.  Jadi, adakah benar sekiranya dengan bahasa Inggeris orang Melayu akan maju?
Kepada Dr. taufik dan rakan sealiran dengannya, rujuklah kepada pakar dan pejuang bahasa seperti Dr. KT Joseph, Dr. Teo Kok Seong, Dr. Deraman Aziz, Dr.  Nik Safiah Karim dan Dr. Awang Sariyan kerana jika pandangan mereka ini diabaikan, untuk apakah kita mewujudkan DBP dan golongan sebegini?  Adakah kerana kita berasa lebih arif, lebih celik, tidak keliru atau memegang tampuk kekuasaan maka keputusan masa depan bangsa boleh dibuat secara mendadak?
Titik persamaan di antara beliau dan pejuang bahasa iaitu inginkan bangsa Melayu dan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya.  Pertelingkahan hanya menyemarakkan api dan ego semata-mata. Mengapa tidak kita berdamai dan berusaha?  Bukankah dari bahasa kita bermula dan dengan bahasa juga kita berakhir?  Jadilah bangsa berjaya tanpa menafikan hak bahasa.
MOHD RAFI HADIS,
Johor Bahru,
Johor Darul Takzim
 (Sumber : Berita Harian   (28/08/2004) )

Wednesday, September 29, 2010

Perginya Datuk Sosilawati

Aku tumpang bersedih dengan berita terkini dan tergempar, kes pembunuhan Datuk Sosilawati. Aku sebok dan menyebok juga mengikuti perkembangan berita beliau dari semasa ke semasa sehinggalah ke hari ini. Takziah di ucapkan kepada ahli keluarga beliau, sehinggalah kepada ahli keluarga tiga lagi individu yang mengiringi beliau.

Soal kematian bukan soal baru bagi aku, dah banyak kali aku jumpa kematian sepanjang aku bergelar sebagai seorang ORANG. Masa aku kecik-kecik dulu pun aku dah biasa jumpa kematian, iaitu setiap kali nak raya, arwah bapak aku akan asah parang tajam-tajam. Lepas tu dia panggil aku suruh ikut dia pergi belakang rumah. Jauh daripada orang. Heh..suspen aje..apa bapak aku nak buat kat aku ni dengan parang tajam? Parang tu kalau sekali libas, memang putus dua la korang. Kecuali kalau libas batang pokok pelam, haa tu nak kena dari pagi sampai malam melibas, baru tumbang.

Bapak aku pegang parang, lepas tu dia suruh aku ambik ayam bawah sangkar, hee..hee..nak sembelih ayam rupanya. Dan aku menjadi tukang pegang ayam, sambil menjadi saksi utama kepada kes bapak aku sembelih ayam untuk hari raya. Inilah kematian yang aku maksudkan. Jangan marah.

Kedua, aku berdepan dengan kematian tragis, seekor kucing hitam yang ada tompok-tompok kat badannya. Kucing ni belaan keluarga aku. Tak tau lah aku sape yang bela, kadang-kadang aku bagi makan, kadang-kadang dia cari makan sendiri, tapi selalunya mak aku yang bagi kucing tu makan.

Satu hari, kucing ni hilang. Entah mana pegi tak jumpa-jumpa. Nak lapor kat polis, masa tu rumah aku jauh dari balai polis. Telefon line pun takde. Handphone jangan haraplah, zaman pakai tin susu sambung dengan tali. Selang dua tiga hari, tiba2 aku jumpa kucing tu dah berulat kat belakang rumah. Kematian yang tragis. Sape agaknya yang menatap wajah dia ketika dia nazak? Mati sorang-sorang nie. Siannya. Dan aku lah orangnya yang sempurnakan jenazah kucing tu. Tanam terus. Tak payah nak solat jenazah ke, mandi ke, kapan ke, buat keranda ke, pacak batu nisan ke..hehe..tak payah kerna ia hanya seekor kucing. Tak tau pulak kalau korang buat macam tu. Ajaran mana nie?

Kematian kan perkara biasa. Semua orang akan lalui. Aku yang menulis blog mati ni pun akan melaluinya juga. Masa tu korang jangan lah sedih-sedih. Sebab aku lagi sedih melihat amalan aku yang serba kekurangan.
Kematian perkara yang pasti. Aku belum pernah berjumpa dengan orang yang hidup seribu tahun. Laptop aku pun tahan 5 tahun je, lepas tu kong – tamat riwayatnya. Yang hidup lama ni iblis, setan, jin dan dajal je setahu aku. Tapi bukan bermakna kita tidak boleh berdoa supaya panjang umur. Biar umur pendek tapi penuh dengan kebaikan, bukan umur panjang tapi dipenuhi kejahatan. Adus, ungkapan ni memang berbisa untuk aku dengar.

Satu hari tu, jiran sebelah rumah aku sakit. Lama juga dia sakit. Dalam sebulan selepas tu, dia meninggal dunia. Pada malam dia meninggal dunia, aku tengah tidur, waktu tu lebih kurang pukul 11 malam. Awal aku tidur eh? Tiba-tiba aku dengar anak dia panggil nama aku dari luar pagar. Aku pun bingkas bangun sebab aku memang dah mengesyaki sesuatu kalau anak dia panggil aku waktu malam-malam buta macam ni, mesti ada something yang tak kena.

Pendek cerita, aku dah pun berada dalam rumah jiran aku, sedang menghadap kepada jenazah jiran aku yang baru saja pergi. Isteri dia beritahu aku, tolonglah tengokkan pakcik kau ni, dah meninggal dunia betul-betul ke ataupun belum? Maksud dia mungkin kalau tak meninggal dunia, sekadar pengsan ke, macam gitulah lebih kurang.

Aku yang merupakan jiran paling dekat, takde pilihan lain. Aku buat apa yang termampu, aku letak tangan aku kat hidung dia, nak rasa pernafasan dia, aku rasa nadi dia kat tangan, semuanya dah tak ada. Tapi aku rasa badan dia masih panas lagi. Mungkin baru meninggal kot, sebab dia meninggal dunia dalam tidur,  ahli keluarga pun tak perasaan dia pergi.

Tapi yang hairannya, aku dengan yakin pulak beritahu isterinya bahawa suaminya dah pun meninggal dunia. Bila masa aku belajar bab-bab macam ni? Heh..aku main agak ajelah, berdasarkan pengalaman aku bergaul dengan orang yang masih hidup.

Lepas tu berduyun-duyunlah jiran datang, saudara-mara pun datang. Jam kat tangan pun dah pukul 12 malam, aku pun mintak diri nak balik rumah aku yang hanya sebelah je. Lepas tu aku pun tertidur kat ruang tamu. Sambil tu aku masih dengar orang datang ke rumah si arwah jiran aku ni, aku dengar juga suara orang baca surah yaasin. Dan akhirnya aku terlelap sorang diri kat ruang tamu. Isteri dan anak-anak aku semua dah berpindah ke bilik atas, takut ke apa?

Tiba-tiba aku terbangun dari tidur, aku lihat keliling, oh..aku masih di ruang tamu rumah aku. Tapi yang tak sedapnya ialah, aku dengar suara arwah jiran aku tu sedang berbual-bual. Hah..sudah. Apa nak buat ni? Aku dah gelabah. Tu lah, sapa suruh aku buat statement yang jiran aku tu dah meninggal? Hah tengok, dia masih hidup lagi? Aduh..aku menyesali diri sendiri. Apa aku nak jawab kat orang ramai nanti? Jiran aku tu pasti marah aku sebab tak menjalankan pemeriksaan betul-betul, lepas tu senang-senang je confirmkan bahawa dia dah meninggal dunia. Parah.

Aku dengar suara orang-orang yang datang melawat riuh-rendah. Macam gembira je semua orang. Fikiran aku makin berkecamuk. Laa..tadi betul la aku dah tengok jenazah dia. Lepas tu aku dah suruh anak-anak dia bersihkan badan arwah, bukak kan pakaian dia luar dalam, lepas tu letak di ruang tamu menghadap ke arah kiblat, sambil diselimutkan kain batik. Memang aku confirm sangat yang jiran aku ni dah tak ada lagi. Aduh berkecamuk aku. Lain kali aku tak nak terlibat dengan kes-kes jadi bidan terjun ni. Baik tadi aku tunggu pak imam ke, atau sesiapa yang lebih arif.

Tiba-tiba aku tersedar dari tidur. Aku bangkit. Aku dengar rumah jiran aku dipenuhi suara tangisan dan bacaan yaasin. Fuh..lega aku. Rupanya mimpi. Nasib baik bukan betul-betul...hehe.

Jadi apa yang aku buat selepas mimpi tersebut? Aku pun sambung balik tidur aku di atas sofa tanpa selimut.

Pengalaman aku menghadiri kematian bermula ketika aku masih kecik lagi, iaitu sewaktu pakcik aku meninggal dunia. Seingat aku masa tu aku baru berumur 6 tahun. Dan aku adalah antara orang yang sentiasa menyebok dengan jenazah yang dibaringkan di ruang tamu. Kejap-kejap lepas main, aku datang jengok jenazah. Kejap-kejap aku datang. Malam tu aku tidur di rumah arwah. Jenazahnya masih ada lagi di ruang tamu. Esok kebumi. Dan orang kampung ramai yang melawat ziarah sehingga ke malam hari dan ketika aku terlelap. Aku akhirnya tidur di dalam pangkuan mak. Tiba2 aku terjaga dari tidur, tapi tak berapa terjaga sangat. Macam separuh tidur separuh terjaga. Lepas tu mak suruh aku tidur jangan bukak mata. Telinga aku terdengar bunyi bising di ruang tamu, seolah-olah bunyi kecoh kerana ada sesuatu hal. Aku terdengar bunyi orang jerit, mayat bangun! Tapi pelukan mak aku kuat, tambah lagi dengan tepukan mak kat punggung aku, tambah lagi dengan mata aku yang mengantuk, tambah lagi dengan menyangka bahawa apa yang aku dengar tu semua satu igauan, akhirnya aku tidur. Sampai kini, aku tak tahu apa sebenarnya berlaku pada malam tu. Seram.

Di waktu yang lain, peristiwa yang lain, di tempat yang lain jugak, masa tu umur aku 20 tahun. Aku tinggal di asrama di Kampung Bahru, KL. Satu hari aku pergi rumah abang aku sebab aku cuti. Lagipun aku tak suka jalan-jalan melata kat KL. Sepanjang aku kat sana, aku hanya tau Puduraya, Kampung Bahru dan Jalan Semarak. Tu je tempat yang aku tau. Selebihnya hanya Chow Kit, Sentul dan Jalan Masjid India. Tempat lain aku tak pernah pegi. Aku budak baik masa tu. Masa aku kat rumah abang aku, tiba-tiba kakak ipar aku menjerit dari arah kaki lima di luar rumah. Lepas tu dia panggil-panggil nama aku. Aku pun apa lagi, terus sarung baju superman dan terbang ke arah dia, walaupun dekat je dua tiga langkah.

Alamak, rupanya ada orang baru bunuh diri la, terjun dari tingkat lapan, tertiarap atas lantai simen. Tak lama lepas tu baru datang dua tiga orang tengok mayat tu. Sejak hari tu, aku macam kena badi mayat. Tak boleh sorang-sorang. Takut sentiasa. Aku sentiasa ternampak-nampak muka mayat tu. Ke mana aku pergi, aku rasa macam roh dia mengekori aku. Bila nak mandi, aku takut. Nak buka almari, aku rasa dia macam ada kat dalam almari. Heheh...ni bukan soal penakut, ni baru first time kena badi mayat. Dalam dua minggu selepas tu, barulah hilang sepenuhnya badi tu.

Jadi, belajar dari pengalaman, aku memang tak akan sentuh jenazah. Kalau tersentuh, biasanya nanti bila aku balik rumah, lepas tu aku teringat-ingatkan jenazah tu dan buat aku takot sepanjang masa, seolah-olah jenazah itu sedang mengekori aku ke mana-mana. Nak kata aku penakut tak jugak, aku berani. Kalau balik kampung mertua aku, setakat jalan dalam gelap tu mainan aku je, tapi di samping isteri aku la. Kalau sorang-sorang berjalan dalam gelap tak seronok...hi..hi.

Jadi persoalan yang aku nak cakap ialah, kematian ada pelbagai keadaan. Ada yang mati kerana kemalangan, mati atas pokok, mati tersepit pintu lif, mati jatuh dalam tandas, mati tengah siram pokok bunga, mati depan komputer, mati tengah balas sms, mati kena kelar, mati tersenyum, mati tengah tidur dan pelbagai lagi keadaan yang biasa kita temui macamana seseorang itu mati. Jadi korang nak mati macam mana? Aku pun nak mati macam mana? Bahasa mudahnya ialah, ada yang mati baik, ada yang mati jahat. Mati baik ialah mati sebagai orang beriman, Allah redha. Mati jahat ialah mati sebaliknya.

Ada orang nak mati dalam keadaan jasadnya baik. Kalau boleh taknak bercerai putus-putus dari badan. Kalau boleh nak mati atas tilam kat rumah, sambil berbaring di sisi anak-anak dan isteri. Kalau boleh nak semua ahli keluarga berkumpul melihat pemergian terakhir. Kalau boleh nak ada orang tersayang di sisi sambil mendengarkan syahadah. Tapi…boleh dapat ke?

Berbalik kepada Allahyarhamah Datuk Sosilawati, sudah terlihat pulak aku emel dan berita yang memperkatakan tentang beliau. Ada yang baik dan ada yang tidak baik. Ada yang cuba membandingkan kekayaan beliau dengan sifat boros, terlalu berlebih-lebih dengan kemewahan dan macam-macam lagi. Berita2 sebegini nak aje aku pijak-pijak. Pertama, kerana tidak menghormati orang Islam yang lain walaupun beliau telah tiada. Kedua, sesuka hati mengajak orang lain untuk turut menyimpan sekelumit buruk sangka kepada beliau. Bukankah kita dianjurkan untuk selalu berbaik sangka sesama Muslim? Bukan membuka pekung di dada orang lain. Lagipun kita belum pasti adakah amalan kita lebih bagus daripada beliau bukan?

Perjalanan kita mungkin masih jauh dengan kematian dan banyak lagi ujian yang bakal Allah berikan untuk kita di hadapan, confirm ke boleh lepas semua ujian tu dengan jayanya? Kalau tak confirm lagi, dah tak yah sebok nak burukkan orang. Tengok diri sendiri dulu lah. Apa yang terdetik di hati tentang orang lain, segera kita padamkan. Berburuk sangka di dalam hati kepada amalan orang lain, umpama menyimpan perut ikan di dalam rumah. Bila perut ikan tu tak dibuang, nanti busuk satu rumah. Begitulah hati yang banyak menyimpan buruk sangka kepada orang lain, lama kelamaan hati tersebut akan busuk. Sebab tu lah kena cepat2 dibuang, umpama mengeluarkan sisa perut ikan dari dalam rumah, letak dalam plastik, ikat kuat2, pastu masukkan dalam tong sampah kat luar rumah, tutup rapat2, kalau tak nanti kena selongkar dengan kucing dan anjing, dah bersepah-sepah penuh kat depan rumah.

Korang tak tanya ke hati aku busuk ke tak? Hati aku pun busuk tapi sekurang2nya ada bersih seket dari hati korang wua wua….(Aku gurau pun korang ingat serius).

Wasalam.
 

Sunday, September 26, 2010

Kenapa Kau Bukan Milik Ku? - Episod 2

Aku pasti, ada ramai orang yang berpendapatan sederhana di luar sana. Itu belum campur lagi dengan yang hidup melarat, yang hidup merempat bawah kolong, yang berteduh bawah jambatan, yang jadikan pokok sebagai bumbung berlindung dari panas terik matahari, dan berlindung dari kebasahan hujan. (Tapi orang kata kalau hujan jangan duduk bawah pokok, nanti mudah kena sambar petir. Lainlah kalau korang hebat boleh sambut petir berdentum dengan tangan menadah ke langit..huha..huha..)

Aku pasti setiap dari mereka ada pelbagai hajat yang terpendam di dalam hati masing-masing.  Ada yang nak kaya, ada yang nak kereta besar, ada yang nak sebuah rumah, ada yang nak dapat makan sedap-sedap setiap hari.

Yang sibuk mencari bakal suami, kalau boleh nak yang hensem, yang baik, yang ada jambul bersimpul kat hujung dahi, yang berdada bidang, kalau boleh taknak berbulu panjang macam mawas, nak yang kulit halus mulus warna putih macam kulit telur penyu, nak yang jujur, yang waras, yang warak, yang penyayang, yang caring gila, yang kalau korang tersandung tunggul kayu, terus dia sambut macam superman. Itu ialah angan korang, tapi dapat ke..huha huha..kalau dapat baguih la, dah jodoh.

Yang sibuk mencari bakal isteri, kalau boleh nak yang tahan lasak, err…tahan lasak kat dapurlah. Korang dah start melalut kan..haaa. Kalau boleh nak yang lemah lembut, yang matanya ayu bersinar-sinar sampai silau, nak suara sedap serak-serak, nak yang badan langsing, nak yang pandai bergaya dan bersolek,nak yang caring, nak yang boleh ambil hati mertua dan adik beradik, nak yang cantik macam selebriti, tapi dapat ke..huha-huha..kalau dapat baguih la, dah jodoh.

Kalau aku pulak nak mencari bakal isteri, errh..mencari isteri bagi pihak kawan karib aku..heheh..aku nak perempuan yang tak pedulikan kewujudan aku, yang kalau aku ada ke, atau aku takde ke, dia langsung tak kisah. Yang kalau aku pergi ke mana-mana dia tak pernah tanya atau menghalang. Yang tak hiraukan aku ketika aku sakit, yang tak hiraukan makan pakai aku, yang tak hirau samada aku mandi ke tak mandi,  yang hanya sekali-sekala bagi aku sms dalam setahun, bukan  seratus sms dalam sehari. Haa..perempuan macam ni jadi pilihan aku. Tapi dapat ke, huha-huha…

Aku ada seorang kawan, namanya aku dah lupa. Tapi muka dia memang hensem. Aku jumpa dan kenal dia di satu tempat yang jauh daripada JB. Ni kawan lelaki ok. Heh..heh..suspen je kan. Dia ni memang hensem. Kalau perempuan tengok, mesti terkeluar air liur dengan mulut ternganga sebab dia hensem, kulit putih, rambut lurus dan boleh buat macam-macam pesen. Wajahnya redup dan lembut, orangnya baik, dari wajahnya terlihat kebaikan dirinya dan kejujurannya.

Satu hari aku bertandang ke rumah dia. Aku terpandang isteri dia dengan tidak sengaja. Tak sengaja woo..aku tak suka tengok isteri orang. Isteri aku je aku suka tengok..hua hua. Macam nak mengumpat pulak, isteri dia ni tak berapa cantik, hati aku berdetik. Jahat betul hati aku.

Aku bayangkan isteri dia seorang yang cantik. Yang mungkin setanding dengan kawan aku yang menjadi rebutan wanita sekampung ni. Tapi senang je ayat yang keluar dari mulut kawan aku, tapi ayat ni memang aku tabik dan respek kat dia, sebab aku pun mungkin tak mampu nak berbuat seperti dia.

Apa ayat dia..heheh..senang je dia cakap, dia cakap kita ni semasa melalui zaman bujang, kita selalu mengharap supaya bertemu dengan jodoh yang baik, yang sesuai. Dan kita selalu membayangkan jodoh yang hensem dan cantik. Itu adalah harapan kita yang berada di dalam hati sanubari yang paling dalam. Bohonglah kalau kita tidak pernah meletakkan harapan sebegitu walaupun sebesar kuman. Lalu katanya, takdir yang berlaku pula adalah sebaliknya. Kita mendapat suami ataupun isteri yang zahirnya bukan seperti selebriti, malah mungkin wajar disamakan seperti tapak selipar selebriti. Soalan dia pada aku ialah, adakah kita bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan itu?

Soalan dia ni buat aku terkedu. Dan mulalah aku terbayang isteri aku yang comel dan punyai bibir yang tidak sumbing, yang ada cukup sifat segalanya, berkulit kuning macam buah langsat atau longan, nasib baik aku tak ditakdirkan mendapat isteri sebaliknya, kalau aku dapat isteri yang sebaliknya, aku tertanya-tanya adakah aku boleh menerima takdir tersebut? Terus-terang aku katakan, aku mungkin lari keliling kampong sambil dikejar pengantin perempuan kerana melarikan diri daripada majlis pernikahan.

Pendek kata, diringkaskan cerita, setiap manusia ada hajat masing-masing yang terpendam. Ada hajat yang disampaikan dari mulut ke mulut, disebarkan kepada orang lain. Dan ada juga hajat terpendam yang menjadi rahsia sendiri. Isteri aku menyampuk, dia kata dia ada banyak hajat terpendam. Haa..jangan nak bagi wasiat kat aku yang bukan-bukan, nak suruh cari kambing hitam belang-belang putih macam zebra untuk dimakan kerana mengidam ke, karang aku bawak pak belang, dengan saya dengan awak sekali kena ngap!

He..he..ada hajat yang tertunai semasa hidup, ada juga hajat yang tak pernah tertunai walaupun jasad telah diusung ke tanah perkuburan. Tak tau pulak berapa banyak hajat aku yang tak tertunai  nanti sewaktu aku sampai ke peringkat EOL, iaitu dalam bahasa saintifiknya ialah End Of Life. Mati ler.

Bahasa mudahnya ialah, aku lebih suka mengatakan bahawa, dunia ini bukan tempat mendapat semua yang kita mahu. Berapa banyak hajat orang miskin yang boleh kita senaraikan satu persatu? Tanya orang kaya yang dah lengkap kehidupan material mereka, orang macam gini pun banyak hajat jugak. Pelikkan manusia ni? Aku pun manusia gak. Peliklah aku.  

Yang takde rumah nakkan rumah, ada yang nak kenderaan, ada yang nak sihat, ada yang nak kekayaan, ada yang nak perhiasan, ada yang nak pangkat tinggi, ada yang nak glamor, ada yang nak kehebatan, dan macam-macam lagi. Tapi soalnya, korang boleh dapat ke? Contohnya korang nak jadi jutawan, tapi korang mati sebelum sempat nak jadi jutawan, baru sampai tahap ratuswan je.

Kalaulah aku jadi tempat untuk korang mengadu, dan aku diberi kuasa untuk menunaikan setiap satu hajat korang, pasti aku lempang korang sebab tak pernah puas. Semalam kan aku dah tunaikan, hari ni kau nak lagi, esok kau nak lagi, lusa kau datang dengan hajat lain pulak, kau nak lagi, sampai bila daa..aku ni kerjanya tunaikan hajat korang je ke? Sambut kuali yang aku baling ni dengan dahi kau, nah ambik!

Dunia ni sifatnya macam ni lah. Ini bukan tempat kita mendapat segala yang kita hajatkan. Pasti banyak hajat kita yang tak dapat ditunaikan disini. Percayalah. Kalau semua hajat kita telah tertunai di dunia ini, itu adalah hadiah daripada Allah swt. Macam ni lah aku selalu pujuk hati aku, bila hati aku mula nak itu-ini dan yang bukan-bukan.  Takut apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Terlalu sibuk dengan perkara-perkara keduniaan, sehingga terlupa kampong halaman sebenar di akhirat, adus..macam aku cakap kat diri sendiri je ni.

Jadi berbalik semula kepada perempuan yang aku nampak kat bazaar Ramadhan tempohari, yang aku kata baiknya perempuan tu, yang lemah lembut, yang berbudi bahasa, yang nampak seperti seorang penyayang, yang sekali pandang boleh terpaut dan cair seorang lelaki, yang kononnya boleh menjadi seorang isteri yang baik untuk aku…eh silap lak, untuk bakal suami dia, lalu tertanyalah aku kepada diri sendiri, kenapa engkau bukan milikku? Lalu terjawablah satu jawapan dijawab oleh diri aku sendiri, dunia ini bukan tempat untuk mendapat segala yang dihajati.

Nak semuanya, haa..buat amal ibadat tu baguih-baguih dan ikhlas kerana Allah, semuanya disediakan di dalam syurga nanti. Masa tu nak yang macam Ning Baizura ke, Erra Fazira ke, Lydia Kandau ke, Endang S. Taurina ke, hehe..tak main lah, bidadari lagi lebih hebat dari tu. Wanita tercantik di dunia ini sekalipun, tak setanding dengan cantiknya tapak kaki bidadari.

Ye ke gitu? Diri aku bertanya untuk jawapan yang diri aku sendiri keluarkan. Tapi nak tunggu bidadari lambat lagi, apa kata tangkap dulu apa yang ada depan mata ni?

Betul jugakkan? Aku setujulah.

(eh jap…aku dengar bunyi bising kat dapur, macam bunyi kuali kena baling kat dinding. Isteri aku baling kuali ke?..hehe..)