Total Pageviews

Sunday, September 26, 2010

Kenapa Kau Bukan Milik Ku? - Episod 2

Aku pasti, ada ramai orang yang berpendapatan sederhana di luar sana. Itu belum campur lagi dengan yang hidup melarat, yang hidup merempat bawah kolong, yang berteduh bawah jambatan, yang jadikan pokok sebagai bumbung berlindung dari panas terik matahari, dan berlindung dari kebasahan hujan. (Tapi orang kata kalau hujan jangan duduk bawah pokok, nanti mudah kena sambar petir. Lainlah kalau korang hebat boleh sambut petir berdentum dengan tangan menadah ke langit..huha..huha..)

Aku pasti setiap dari mereka ada pelbagai hajat yang terpendam di dalam hati masing-masing.  Ada yang nak kaya, ada yang nak kereta besar, ada yang nak sebuah rumah, ada yang nak dapat makan sedap-sedap setiap hari.

Yang sibuk mencari bakal suami, kalau boleh nak yang hensem, yang baik, yang ada jambul bersimpul kat hujung dahi, yang berdada bidang, kalau boleh taknak berbulu panjang macam mawas, nak yang kulit halus mulus warna putih macam kulit telur penyu, nak yang jujur, yang waras, yang warak, yang penyayang, yang caring gila, yang kalau korang tersandung tunggul kayu, terus dia sambut macam superman. Itu ialah angan korang, tapi dapat ke..huha huha..kalau dapat baguih la, dah jodoh.

Yang sibuk mencari bakal isteri, kalau boleh nak yang tahan lasak, err…tahan lasak kat dapurlah. Korang dah start melalut kan..haaa. Kalau boleh nak yang lemah lembut, yang matanya ayu bersinar-sinar sampai silau, nak suara sedap serak-serak, nak yang badan langsing, nak yang pandai bergaya dan bersolek,nak yang caring, nak yang boleh ambil hati mertua dan adik beradik, nak yang cantik macam selebriti, tapi dapat ke..huha-huha..kalau dapat baguih la, dah jodoh.

Kalau aku pulak nak mencari bakal isteri, errh..mencari isteri bagi pihak kawan karib aku..heheh..aku nak perempuan yang tak pedulikan kewujudan aku, yang kalau aku ada ke, atau aku takde ke, dia langsung tak kisah. Yang kalau aku pergi ke mana-mana dia tak pernah tanya atau menghalang. Yang tak hiraukan aku ketika aku sakit, yang tak hiraukan makan pakai aku, yang tak hirau samada aku mandi ke tak mandi,  yang hanya sekali-sekala bagi aku sms dalam setahun, bukan  seratus sms dalam sehari. Haa..perempuan macam ni jadi pilihan aku. Tapi dapat ke, huha-huha…

Aku ada seorang kawan, namanya aku dah lupa. Tapi muka dia memang hensem. Aku jumpa dan kenal dia di satu tempat yang jauh daripada JB. Ni kawan lelaki ok. Heh..heh..suspen je kan. Dia ni memang hensem. Kalau perempuan tengok, mesti terkeluar air liur dengan mulut ternganga sebab dia hensem, kulit putih, rambut lurus dan boleh buat macam-macam pesen. Wajahnya redup dan lembut, orangnya baik, dari wajahnya terlihat kebaikan dirinya dan kejujurannya.

Satu hari aku bertandang ke rumah dia. Aku terpandang isteri dia dengan tidak sengaja. Tak sengaja woo..aku tak suka tengok isteri orang. Isteri aku je aku suka tengok..hua hua. Macam nak mengumpat pulak, isteri dia ni tak berapa cantik, hati aku berdetik. Jahat betul hati aku.

Aku bayangkan isteri dia seorang yang cantik. Yang mungkin setanding dengan kawan aku yang menjadi rebutan wanita sekampung ni. Tapi senang je ayat yang keluar dari mulut kawan aku, tapi ayat ni memang aku tabik dan respek kat dia, sebab aku pun mungkin tak mampu nak berbuat seperti dia.

Apa ayat dia..heheh..senang je dia cakap, dia cakap kita ni semasa melalui zaman bujang, kita selalu mengharap supaya bertemu dengan jodoh yang baik, yang sesuai. Dan kita selalu membayangkan jodoh yang hensem dan cantik. Itu adalah harapan kita yang berada di dalam hati sanubari yang paling dalam. Bohonglah kalau kita tidak pernah meletakkan harapan sebegitu walaupun sebesar kuman. Lalu katanya, takdir yang berlaku pula adalah sebaliknya. Kita mendapat suami ataupun isteri yang zahirnya bukan seperti selebriti, malah mungkin wajar disamakan seperti tapak selipar selebriti. Soalan dia pada aku ialah, adakah kita bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan itu?

Soalan dia ni buat aku terkedu. Dan mulalah aku terbayang isteri aku yang comel dan punyai bibir yang tidak sumbing, yang ada cukup sifat segalanya, berkulit kuning macam buah langsat atau longan, nasib baik aku tak ditakdirkan mendapat isteri sebaliknya, kalau aku dapat isteri yang sebaliknya, aku tertanya-tanya adakah aku boleh menerima takdir tersebut? Terus-terang aku katakan, aku mungkin lari keliling kampong sambil dikejar pengantin perempuan kerana melarikan diri daripada majlis pernikahan.

Pendek kata, diringkaskan cerita, setiap manusia ada hajat masing-masing yang terpendam. Ada hajat yang disampaikan dari mulut ke mulut, disebarkan kepada orang lain. Dan ada juga hajat terpendam yang menjadi rahsia sendiri. Isteri aku menyampuk, dia kata dia ada banyak hajat terpendam. Haa..jangan nak bagi wasiat kat aku yang bukan-bukan, nak suruh cari kambing hitam belang-belang putih macam zebra untuk dimakan kerana mengidam ke, karang aku bawak pak belang, dengan saya dengan awak sekali kena ngap!

He..he..ada hajat yang tertunai semasa hidup, ada juga hajat yang tak pernah tertunai walaupun jasad telah diusung ke tanah perkuburan. Tak tau pulak berapa banyak hajat aku yang tak tertunai  nanti sewaktu aku sampai ke peringkat EOL, iaitu dalam bahasa saintifiknya ialah End Of Life. Mati ler.

Bahasa mudahnya ialah, aku lebih suka mengatakan bahawa, dunia ini bukan tempat mendapat semua yang kita mahu. Berapa banyak hajat orang miskin yang boleh kita senaraikan satu persatu? Tanya orang kaya yang dah lengkap kehidupan material mereka, orang macam gini pun banyak hajat jugak. Pelikkan manusia ni? Aku pun manusia gak. Peliklah aku.  

Yang takde rumah nakkan rumah, ada yang nak kenderaan, ada yang nak sihat, ada yang nak kekayaan, ada yang nak perhiasan, ada yang nak pangkat tinggi, ada yang nak glamor, ada yang nak kehebatan, dan macam-macam lagi. Tapi soalnya, korang boleh dapat ke? Contohnya korang nak jadi jutawan, tapi korang mati sebelum sempat nak jadi jutawan, baru sampai tahap ratuswan je.

Kalaulah aku jadi tempat untuk korang mengadu, dan aku diberi kuasa untuk menunaikan setiap satu hajat korang, pasti aku lempang korang sebab tak pernah puas. Semalam kan aku dah tunaikan, hari ni kau nak lagi, esok kau nak lagi, lusa kau datang dengan hajat lain pulak, kau nak lagi, sampai bila daa..aku ni kerjanya tunaikan hajat korang je ke? Sambut kuali yang aku baling ni dengan dahi kau, nah ambik!

Dunia ni sifatnya macam ni lah. Ini bukan tempat kita mendapat segala yang kita hajatkan. Pasti banyak hajat kita yang tak dapat ditunaikan disini. Percayalah. Kalau semua hajat kita telah tertunai di dunia ini, itu adalah hadiah daripada Allah swt. Macam ni lah aku selalu pujuk hati aku, bila hati aku mula nak itu-ini dan yang bukan-bukan.  Takut apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Terlalu sibuk dengan perkara-perkara keduniaan, sehingga terlupa kampong halaman sebenar di akhirat, adus..macam aku cakap kat diri sendiri je ni.

Jadi berbalik semula kepada perempuan yang aku nampak kat bazaar Ramadhan tempohari, yang aku kata baiknya perempuan tu, yang lemah lembut, yang berbudi bahasa, yang nampak seperti seorang penyayang, yang sekali pandang boleh terpaut dan cair seorang lelaki, yang kononnya boleh menjadi seorang isteri yang baik untuk aku…eh silap lak, untuk bakal suami dia, lalu tertanyalah aku kepada diri sendiri, kenapa engkau bukan milikku? Lalu terjawablah satu jawapan dijawab oleh diri aku sendiri, dunia ini bukan tempat untuk mendapat segala yang dihajati.

Nak semuanya, haa..buat amal ibadat tu baguih-baguih dan ikhlas kerana Allah, semuanya disediakan di dalam syurga nanti. Masa tu nak yang macam Ning Baizura ke, Erra Fazira ke, Lydia Kandau ke, Endang S. Taurina ke, hehe..tak main lah, bidadari lagi lebih hebat dari tu. Wanita tercantik di dunia ini sekalipun, tak setanding dengan cantiknya tapak kaki bidadari.

Ye ke gitu? Diri aku bertanya untuk jawapan yang diri aku sendiri keluarkan. Tapi nak tunggu bidadari lambat lagi, apa kata tangkap dulu apa yang ada depan mata ni?

Betul jugakkan? Aku setujulah.

(eh jap…aku dengar bunyi bising kat dapur, macam bunyi kuali kena baling kat dinding. Isteri aku baling kuali ke?..hehe..)

1 comment:

  1. Allah jadikan sesuatu ada sebabnya.mungkin tak jadi milik kita sebab kalo dia jadi milik kita tak hargai dia sebaik2nya. ataupun sebaliknya.whether diluar sana ada insan yg lebih baik untuk kita takpun kita yg tk cukup baik untuk dia he..he.

    Bukankah setiap org itu berhak untuk bahagia....

    ReplyDelete