Total Pageviews

Monday, January 23, 2012

Hidup Ini Nak Kejar Apa Ustaz?

Beberapa minggu yang sudah aku ada bersolat di sebuah surau di tepi hiway Pasir Gudang. Ada kuliah sedang disampaikan oleh seseorang dan ada beberapa hadirin yang duduk di dalam kuliah tersebut. Tiba-tiba ada seorang jemaah tanpa meminta izin untuk bertanya soalan, terus saja bertanya kepada Pak Ustaz, “Ustaz, habis dalam hidup ni kita nak kejar apa sebenarnya?”.

Sambil menoleh kepada lelaki tersebut aku pun mengerutkan dahi. Selama ini aku sendiri pun tidak pernah bertanyakan soalan sebegitu rupa kepada Pak Ustaz. Dan aku sendiri tidak pasti adakah aku mempunyai jawapan untuk soalan yang beliau tanyakan.

Setelah selesai solat Isyak, aku seolah-olah telah pun memintal jawapan kepada soalan beliau tentang apakah yang kita hendak kejarkan sementara kita hidup di dunia ini. Lalu aku pun mendekati pemuda tersebut sambil tersengih-sengih meminta simpati untuk berkenalan.

Kemudian kami pun berbual pelbagai topik, dari topik-topik di atas muka bumi, sehinggalah kepada topik-topik yang berkisar di atas langit tentang Tuhan.

Akhir sekali aku pun menjawab soalan beliau tetapi kepada diri aku sendiri, sebabnya ialah kerana beliau telah pergi kepada pelbagai topik sehingga aku tidak sempat untuk mencelah.

Apa yang sempat ialah aku bertanya kepada beliau, “dah dapat belum jawapan daripada Ustaz tentang soalan tadi?”, lantas beliau menjawab, “saya ni dah banyak bertanya kepada ustaz dan ustaz, tetapi belum ada lagi ustaz yang betul-betul menjawab soalan saya tadi”, kata beliau dengan wajah yang sedikit kecewa.

Kemudian aku pun menjawab soalan beliau tersebut tetapi untuk diri aku sendiri. Serta jawapan ini adalah apa yang telah aku dengar di dalam radio ketika aku sedang memandu untuk ke tempat kerja, disampaikan oleh seorang doktor mata, beliau menyatakan kita ini di muka bumi adalah untuk mencari redha Allah.

Ya, apa yang kita cari di dunia ini sebenarnya ialah Redha Allah.
Apakah itu Keredhaan Allah? Serta apa yang kita akan peroleh daripada Allah apabila kita mendapat keredhaan dari Nya?

Doktor mata itu memberitahu, apabila kita mendapat keredhaan Allah, pertama sekali rezeki kita di dunia ini akan diberkati, apabila rezeki diberkati, bukan saja rezeki itu selamat, tetapi rezeki itu dipermudahkan untuk kita mendapatknya.

Yang kedua apabila kita mendapat keredhaan Allah di dunia ini, ialah kita kan mati dengan mudah serta dapat mengucapkan kalimah syahadah, apabila kita dapat mengucap kalimah syahadah ini, matinya kita itu adalah sebagai insan yang bukan saja beruntung, tetapi sangat-sangat beruntung.

Kemudian yang ketiga, apabila Allah meredhai kita, kita akan mendapat keselamatan daripada azab sewaktu berada di alam barzakh. Tempoh waktu yang lama di alam barzakh akan berasa begitu singkat seperti dua rakaat solat subuh. Insan ini bukan saja beruntung, malah sangat-sangat beruntung.

Kemudian yang keempat, sewaktu di padang mahsyar yang penuh huru-hara, kita akan mendapat naungan Arasy Allah, yang kelima kemudian ialah kita menerima buku catatan amal dengan tangan kanan, kemudian yang keenam ialah dapat melintas titian Sirat sepantas kilat, dan akhir sekali dapat memasuki syurga tanpa hisab. Ini bukan saja beruntung, malah sangat-sangat dan tersangat beruntung.

Puncanya ialah mendapat keredhaan Allah sewaktu hidup di muka bumi. Lalu, apakah yang kita perlu kejar sewaktu kita berada di atas dunia ini? Jawapan doktor mata tersebut ialah kita mesti mengejar untuk mendapatkan KEREDHAAN ALLAH.

Tetapi belumpun sempat aku hendak berbincang dengan lelaki yang mencetuskan soalan tersebut, beliau telahpun berlalu pergi. Belum ada rezeki lagi...

Lalu soalan aku pula ialah, daripada mana aku hendak mulakan untuk mencari redha Allah? Siapa yang boleh bimbing aku? Siapa yang boleh jadi buddy kepada aku untuk monitor aku? Takkan anak aku kot? Aku perlukan teman perjuangan.


Mohd Rafi
Johor Bahru
23 Jan 2012

1 comment: