Total Pageviews

Thursday, December 30, 2010

Sedekah & Hadiah

Kalau dahulu Sir Alexander Graham Bell adalah orang yang sentiasa bereksperimen. Beliau telah gagal lebih dari 1000 kali sebelum terhasilnya telefon. Ketika ditanya tentang kegagalan beliau di dalam eksperimen lebih dari 1000 kali itu, beliau berkata saya tidak gagal, sebaliknya saya telah menemui lebih dari 1000 cara untuk berjaya.

Itu adalah jiwa yang sangat positif, berani, tidak pernah kecewa serta putus asa. Matlamat sentiasa di depan. Begitu jelas.

Saya bukan Alexander, tetapi saya ingin berkata tentang eksperimen. Kita selalu mendengar eksperimen ini dilakukan oleh saintis atau golongan atasan, golongan yang otaknya bergeliga.

Tetapi saya juga telah bereksperimen perkara yang pelik. Yang penting ialah jawapan daripada eksperimen saya. Mari kita lihat adakah ia benar atau sebaliknya.

Saya ada dua period perniagaan. Period A ialah period saya berniaga secara tegas iaitu dengan mengikut harga yang saya sendiri telah tetapkan.

Sementara Period B ialah period saya berniaga dengan lebih fleksibel pada harga. Saya telah menjual banyak unit hanya dengan separuh harga daripada harga sebenar. Niat saya ialah untuk membantu. Keuntungan saya kemudiankan.

Kepada pelanggan, saya berikan mereka diskaun yang kadang-kala membuatkan pelanggan itu sendiri terkejut. Ada kalanya saya memberikan satu unit tambahan lagi sebagai hadiah tanpa bayaran apa-apa. Ada kalanya saya menanggung kos penghantaran pos laju tanpa meminta pelanggan menanggungnya. Ini ialah deskripsi lebih kurang berkenaan period perniagaan B. Semua ini saya niatkan sebagai hadiah kerana ingin membuatkan pelanggan saya gembira.

Apa yang jelas, ketika di period B, pelanggan telah bertambah secara drastik entah daripada mana mereka datang. Ia secara ketara mengatasi bilangan pelanggan sewaktu di period A. Ada yang menghantar mesej kepada saya ketika tengah malam. Ada yang lebih lewat daripada tengah malam. Pelanggan yang asalnya hanya ingin membeli satu unit, kemudian menambah belian mereka. Pelanggan yang pada asalnya tidak mahu membeli, telah membeli sewaktu harga diturunkan sehingga separuh.

Ini ialah tentang eksperimen pertama. Kemudian saya melakukan eksperimen kedua, bagi produk yang berbeza, skop berbeza, lapangan berbeza. Eksperimen pertama adalah produk yang tidak perlu berjumpa mencari pelanggan. Tetapi yang kedua saya perlu berjumpa dengan pelanggan.

Pada period A, saya menjalankan aktiviti jualan seperti biasa. Berjumpa dengan ramai orang, tetapi hasil tidak seberapa.

Pada period B, sama seperti di period A, aktiviti jualan berjalan seperti biasa. Pada suatu hari, sewaktu saya sedang bersolat di surau di tempat saya, tergerak di hati untuk mengajak seorang musafir yang sedang menetap sementara di surau tersebut makan. Kemudian selepas itu, saya kerap mengajak beliau makan bersama setiap kali selepas maghrib ataupun isyak. Adakalanya beliau tidak makan, mungkin kerana keputusan duit. Walaupun beliau tidak memberitahu saya, tetapi dari ilham dan gerak hati, saya memberikan beliau sedikit wang melalui anak saya selepas selesai sembahyang. Tujuan saya ialah agar beliau tidak kelaparan dan dapat membeli makanan.

Walaupun begitu jangan ada yang menyangka saya seorang yang banyak duit. Mungkin ada yang berkata mereka tidak boleh melakukan seperti saya kerana tidak cukup duit. Saya melakukan semua ini dalam keadaan sempit dan memujuk diri sendiri.

Tidak lama selepas itu, jualan saya mencurah-curah. Ia seakan ada kaitan dengan amalan sedekah yang saya lakukan. Benarkah begitu? Saya serahkan jawapan tersebut untuk sesiapa yang membaca.

Di satu tempat yang lain, saya pernah mendengar seorang rakan menceritakan pengalaman beliau berjual. Beliau ada sebuah warung kecil di hadapan rumah. Warung tersebut digunakan untuk menjual buah-buah bermusim seperti durian dan rambutan. Ia terletak betul-betul di tepi jalan-raya yang banyak pengguna.

Pada satu hari jualan beliau langsung sifar dari pagi hingga ke tengahari. Tidak ada seorang pun yang singgah membeli buah rambutan yang beliau letak di warung tersebut. Sewaktu hari menjelang petang, ada seorang perempuan sedang membawa anak kecil datang ke warung beliau. Kerana kasihan dengan perempuan tersebut yang berpakaian comot dan kelihatan hidup susah, beliau mengajak perempuan dan anaknya makan di rumah beliau.

Selepas perempuan itu pergi, sebelum menjelang senja, kesemua buah rambutan beliau telah habis dijual kepada orang yang lalu lalang di depan warung beliau.

Pada mulanya saya hanya mendengar kisah ini dengan teruja. Tetapi saya telah bereksperimen , saya mendapat hasil yang sama. Kini saya tidak mahu menjadikan ia sebagai satu eksperimen lagi, tetapi adalah bagus jika ia dipraktikkan dan menjadi sebati sebagai satu amalan yang ‘low profile’ dan tidak perlu dibanggakan.

Cukuplah diri sendiri yang tahu amalan kebaikan diri sendiri, hanya di antara kita dengan Allah, sama seperti kita menyembunyikan dosa dan keburukan kita daripada orang lain juga.

Apa yang dipelajari ialah sesuatu yang amat bernilai.

1. Niat yang murni akan dibalas oleh Allah dengan sesuatu yang baik. Sekiranya tidak di sini, pasti di akhirat kelak. Berniaga bukan sekadar mencari keuntungan, sebaliknya untuk memenuhi keperluan hidup orang lain.

2. Sedekah atau hadiah adalah sesuatu yang baik. Ia kelihatan merugikan pada mata kasar, tetapi Allah membalasnya 10 kali lebih daripada apa yang telah diberikan. Ramai tersilap kerana menjangka balasan Allah di dalam bentuk harta. Sedangkan ada banyak perkara yang tidak mampu dibeli oleh harta yang banyak. Allah boleh membalasnya dengan sesuatu yang kita tidak nampak, bukan berupa harta, mungkin ketenangan hidup, kesihatan badan, keluarga bahagia, anak-anak yang soleh dan solehah, kehidupan serta umur yang berkat dan sebagainya.

3. Sedekah atau hadiah mestilah ikhlas kepada Allah, bukan kerana untuk perniagaan maju.

4. Tidak terlalu berkira dan gelojoh dengan keuntungan, sebaliknya memberikan ruang kepada perniagaan itu berkembang dengan lebih adil.

Saya berazam untuk lebih banyak bersedekah dan berhadiah. Iaitu untuk memperbaiki amalan saya sebelum tiba ke akhirat. Perniagaan maju atau rezeki bertambah adalah perkara kedua.

Orang kafir yang tidak pernah bersedekah juga boleh kaya? Kenapa? Saya akan menulisnya di waktu yang lain.


Mohd Rafi
Johor Bahru

No comments:

Post a Comment