Total Pageviews

Saturday, March 26, 2011

Mula Berniaga Dengan 20K Atau Tanpa Modal?

Saya pernah hadir ke satu penerangan atau seminar di sebuah hotel di Johor Bahru. Itu ialah pada tahun 2009. Teruja dengan iklan dan tawaran yang diiklan di suratkhabar, ditemani isteri kami pun pergi ke sesi penerangan percuma tersebut.

Waktu melangkah masuk ke ruang ballroom, saya ingatkan diri supaya tidak tertipu dengan situasi, berfikir dengan rasional, dan sekali-kali jangan keluarkan wang satu sen pun.

Sebaik melangkah masuk dan duduk, sesi belum bermula. Beberapa hadirin telah duduk di ruang hadapan. Nampaknya tidak berapa ramai yang ada, masing-masing berbual dengan orang bersebelahan.

Sambil menunggu sesi bermula, kelihatan beberapa pemuda yang rasanya ialah nadi atau kakitangan kepada sesi tersebut kelihatan mundar-mandir, berbual sesama sendiri dengan perlahan dan adakalanya berbisik. Telahan saya mungkin mereka sedang menanti tetamu lagi untuk penuh, dan kebiasaannya orang kita lewat sehingga setengah jam. Itu biasa.

Sesi bermula. Penerangan diberikan dengan jelas dan menarik. Rasa bersemangat untuk bisnes. Dalam ada itu, seorang wanita menghampiri tempat duduk saya yang berada paling tepi, dia meminta kad pengenalan, katanya hanya untuk rekod. Kad pengenalan saya diambil, begitu juga isteri, kemudian dia pergi kepada seorang demi seorang dan akhirnya dia duduk di meja di belakang para tetamu.

Saya fokus kembali kepada penerangan di hadapan. Tetapi segera tersedar taktik yang digunakan, maksudnya selagi kad pengenalan belum dipulangkan, saya tidak boleh berganjak keluar dari dewan seminar tersebut. Wah, bagusnya taktik sebegini, tetapi menyusahkan orang pulak. Hati mula gusar, takut kalau-kalau kena bayar apa-apa.

Takkan mereka anjurkan semua ni tanpa bayaran apa-apa, betul tak? Buat di hotel, sewa bilik seminar di hotel, faham-faham sajalah. Hati mula curiga itu dan ini.

Kemudian sampai kepada sesi penerangan akhir, iaitu tentang modal. Berapa modal diperlukan untuk mula bisnes? Semua hadirin nampak terpegun dan berminat, bagai tak sabar nak tahu berapa nilainya. Kemudian semua tertunduk diam dan menoleh sesama sendiri, kemudian kedengaran suara hadirin berbual sesama sendiri bila dapat tahu modal permulaan ialah RM20K. Tak mampu ke?

Kemudian tawaran tidak berakhir di situ, seluruh warga pekerja seminar tersebut seolah-olah bersatu untuk menyediakan bantuan memohon pinjaman dengan pihak bank bagi modal RM20K. Janji-janji yang melegakan diberi, salah satunya ialah pinjaman gerenti lulus dan boleh berniaga serta merta, kemudian seluruh pasukan akan digerakkan untuk membantu melaris dan menjual bisnes kepada prospek.

Tanpa mahu ambil risiko, saya menolak semua ini. Sewaktu sesi tamat, semua hadirin bagai tidak dapat pulang kerana semua pekerja mereka berdiri di pintu keluar dan merata di mana-mana. Pendek kata, kalau nak cabut tu memang payahlah, walaupun duduk sebelah dengan pintu keluar.

Kemudian nama saya dipanggil untuk dipulangkan kad pengenalan, begitu juga dengan nama hadirin yang lain. Semua mengerumuni meja tersebut. Sambil menghulur kad pengenalan itu kepada saya, wanita yang mengambil kad pengenalan saya tadi berkata, “RM70 saja encik, encik telah didaftarkan di dalam borang ini”, katanya sambil menunjukkan borang tersebut. Dalam keadaan kelam-kabut dan dikelilingi oleh ramai hadirin, nak jaga malu punya pasal, saya dengan berat hati membayar RM70 tersebut. Saya lihat hadirin yang lain juga berbuat demikian.

Sewaktu memandu pulang, peristiwa itu berputar-putar di dalam kepala. Rasanya seperti tertipu dipaksa membayar sesi tersebut sebegitu rupa. Katanya tadi kad pengenalan hanya untuk menyimpan rekod, tapi akhirnya diminta membayar dengan kaedah yang begitu licik.

Keduanya ialah, tentang modal RM20K. Siapa yang berani buat pinjaman? Kemudian berdepan dengan masalah bagaimana nak menjual barang tersebut? Memang benar seluruh pasukan akan bantu, tapi bantuan yang bagaimana? Adakah janji manis saja? Cara terbaik ialah jangan ambil risiko yang tidak dapat dijangka, walau janji semanis madu.

Berkenaan duit RM70 yang terpaksa dibayar dalam keadaan tak rela, hingga kini saya sentiasa terfikir adakah urusniaga muamalat tersebut halal di sisi agama. Wallahualam hanya ustaz yang boleh jawab. Tetapi saya tidak akan mengambil duit orang dengan cara macam tu. Orang bayar tapi tak ikhlas dan terpaksa.

Berkenaan dengan modal RM20K, tak dinafikan ada yang berani ambil risiko, submit dokumen untuk buat pinjaman bank, kemudian terima barang dan kena jual. Sebahagian duit dari RM20K tersebut pergi ke syarikat ataupun upline yang sedia ada. Yang rajin dan kuat semangat memang boleh pergi jauh dan berjaya. Saya pun nak jugak berjaya, tapi belum bersedia nak bagi RM20K semudah itu.

Ada orang tanya saya, “bila lagi encik kalau bukan sekarang untuk buat tindakan”, saya kata dalam hati, “tunggulah sampai satu masa bila RM20K ni macam dua puluh sen nilainya bagi aku, masa tu aku letak RM20K sebelah mata je”.

Siri seminar yang bakal saya anjurkan ialah perniagaan internet tanpa modal. Tidak perlu RM20K. Tidak ada risiko rugi. Semua orang boleh mencuba. Kalau gagal sekalipun, tidak akan rugi sampai tercabut rambut kepala. Pilih lah apa saja produk, dan seberapa banyak produk yang hendak dijual, tanpa limit.

Dengan kaedah ini, kita akan mula berniaga dahulu, kemudian mengumpul modal. Sekali lagi saya ulang, kita akan berniaga dahulu, sambil tu mengumpul modal dari bisnes kecil ini, dan besarkan perniagaan ini. Nampak pelik? Untuk tahu lebih lanjut, hadiri lah seminar ini. Tempah segera tempat anda di seminar “ Langkah Mula – Aku Usahawan Internet”

Sesiapa berminat, lawati http://seminar-usahawan-internet.blinkweb.com

Mohd Rafi
019-7460339
Johor Bahru,

No comments:

Post a Comment