Total Pageviews

Wednesday, August 31, 2011

Hidup Tanpa Air Di Bumi

Sewaktu kita melihat awan-awan bergerak melintasi ruang udara, kita tanpa sedar sebenarnya ada sesuatu yang sedang berlaku, satu perkara yang besar iaitu air sedang dipam naik ke udara, lalu ia ditampung oleh awan-awan.

Pada suatu hari yang aku dah lupa hari apa, tapi yang pastinya bukan hari bekerja, aku menjalankan tugas sebagai seorang lelaki untuk menyiram beberapa ketul pokok bunga yang aku tanam di dalam pasu. Oleh kerana aku lebih suka kepada aksi mengangkat air dari bilik air yang terletak di dapur, kemudian aku angkat air tersebut ke halaman rumah hanya dengan alasan untuk membuatkan otot-otot kelihatan lebih kental. Walaupun aku sedar Cicakman dan aku lebih kurang serupa.

Tetapi bagi orang lain yang tidak mahu otot-otot mereka kelihatan kental kerana mengangkat air sebaldi, mereka hanya perlu memasang pili air di halaman rumah, kemudian buka pili air dan pancut air tersebut sepuas-puasnya tanpa rasa penat.

Sewaktu aku melihat air tersebut, lalu aku terfikir bahawa selama ini aku bagaikan tidak sedar bahawa air adalah satu ciptaan Allah yang amat hebat. Tetapi oleh kerana pada hari ini aku lahir ke dunia dan terus melihat serta mengenal apakah itu air, aku gagal untuk memahami kehebatan Allah dalam penciptaan air.

Ini kerana sewaktu emak aku mengandungkan aku, aku dikelilingi oleh air, malah bapak aku juga turut mendermakan air untuk memulakan proses penciptaan diri aku. Bermula dari segumpal darah, kemudian tersebar menjadi daging, rangka dan tulang temulang yang tersusun serta mengikut turutan.

Kemudian apabila aku lahir, diri aku telah pun dipersiapkan, susunan urat-urat, salur darah, semuanya telah tersedia, bagaikan seperti sebujur robot yang pada asalnya kaku serta tidak membawa apa-apa makna, kini ia telah di ON kan suisnya, jantung aku pun mula berdegup serta aku pun mula bernafas. Dan kemudian semua sub sistem di dalam tubuh aku mula berfungsi sendiri dan bertindak balas dengan sub sistem lain secara harmoni. Orang putih kata no collision of data. Ya ke?

Mari kita lihat sejenak jika di muka bumi ini tidak pernah wujudnya air, maka selama-lamanya manusia tidak akan dapat membayangkan apakah itu air, bagaimanakah bentuknya, serta bagaimana pula sifat-sifatnya. Sama juga apabila aku katakan mari kita cuba membayangkan warna yang belum pernah wujud di dunia ini selain warna primer merah, hijau, biru serta warna-warna sekunder yang lain.

Mudahkah untuk kita mengeluarkan imaginasi warna yang tidak pernah kita lihat sepanjang hidup ini? Otak yang sempit ini tidak dapat mengukur kehebatan Allah sebelum ia melihatnya.

Dulu sewaktu aku kecil, aku selalu terfikir kenapa Allah menyuruh kita semua bersolat, berfikir dan berfikir sehingga otak aku tersesat dengan menganggap Allah amat memerlukan solat daripada semua manusia, untuk membekalkan tenaga agar Dia boleh kekal hidup. Ia adalah seperti seorang Maharaja yang mengerah tenaga rakyatnya untuk membina piramid. Kepada sesiapa yang ingkar, ia akan dipukul dan dibunuh. Begini tanggapan aku kepada solat dan Allah pada awal-awal aku mengenali solat sewaktu kecil…fikiran yang tersasar.

Tetapi tidak, Allah tidak memerlukan solat kita semua. Allah maha kaya dan tidak mengemis. Solat hanyalah satu perintah, pelakunya diberi ganjaran jika buat, tetapi diberi balasan seksaan jika tidak dibuat. Serta solat adalah jambatan penghubung cinta antara orang beriman dengan Tuhannya yang tidak boleh dilihat. Ia adalah seperti telefon yang tiada 3G, bukan jugaYahoo Mesengger atau SKYPE atau apa-apa saja seumpamanya yang boleh chatting sambil melihat orang di sana.

Sebelum solat, di situ ada air. Air ialah sejenis jirim cecair yang lembik dan berterusan mengalir jika ia tidak ditakung. Ia tidak memenuhi ruang seperti udara tetapi ia tidak memiliki bentuk melainkan mengikut bentuk bekas yang menakungnya. Air tidak berwarna serta tidak berasa melainkan ia telah diperkosa oleh warna lain serta dimasukkan gula atau garam dan sebagainya maka ia menjadi berasa. Oleh kerana jirim air ialah dipertengahan antara pepejal dan gas, maka ia bersifat pepejal apabila disejuk bekukan. Kemudian ia menjadi wap apabila dipanaskan.

Ia boleh digunakan untuk membersih kotoran, untuk mandi, untuk bercebok atau perkataan yang lebih sopan ialah bersuci. Air boleh masuk ke celah-celah rongga yang kecil. Malah air merupakan ciptaan Allah untuk memenuhi kelangsungan hidup semua hidupan. Allah telah menjadikan kita semua perlu kepada air.

Pernahkah kita terfikir bagaimana agaknya jika terpaksa mencuci muka dengan segayung pasir atau batu kerikil? Atau pernahkah kita terfikir bagaimana agaknya jika terpaksa mencuci muka dengan angin? Kita sapukan ianya ke muka sebagaimana kita menyapu air ke muka?

Sewaktu Darwin bekerja keras untuk membuktikan teorinya tentang proses evolusi iaitu manusia berasal dari beruk, burung berasal dari dinasour, gajah berasal dari ikan di laut, dan malah semua hidupan di dunia ini pada peringkat awalnya berasal dari bakteria halus yang berada di dalam sejenis lumpur, dia terlepas pandang tentang penciptaan air. Dia juga seperti aku, yang apabila lahir ke dunia terus saja melihat air dan tidak berasa apa-apa yang ajaib tentang air. Lalu aku pun ingin bertanya adakah air yang ada pada hari ini adalah hasil daripada proses evolusi?

Apabila hujan mula turun, aku akan bergegas mengangkat baju jemuran dari ampaian, ini ialah kes kalau isteri aku tidak ada di rumah. Kemudian hujan pun turun membasahi bumi mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh Allah. Di dalam hujan tersimpan rahmat, serta di dalam hujan tersimpan musibah sebagaimana hujan di zaman Nabi Nuh as. Di dalam hujan yang sama, ia boleh menjadi rahmat kepada orang lain, atau boleh menjadi musibah kepada orang yang lain.

Aku pasti setiap orang tidak akan ternganga mulut apabila aku bertanya tentang akuarium ikan. Semua orang tahu apa itu akuarium ikan. Ia sebuah tempat untuk kita meletakkan hidupan air yang kita bela seperti ikan sardin, sotong kurita, kura-kura, penyu atau juga hamster yang sengaja kita lemaskan di dalam akuarium tersebut. Itupun kalau ada.

Di dalam akuarium, udara untuk ikan menyedut udara segar seperti kita menyedut udara di puncak gunung adalah berkurangan. Ini kerana akuarium tidak seperti di kolam, di sungai atau di laut. Akuarium ialah seperti kita berkumpul di dalam sebuah lif yang tersangkut dan berebut-rebut untuk mendapatkan oksigen.

Apa yang manusia lakukan ialah membuatkan air di dalam akuarium tersebut sentiasa bergerak dengan menyediakan pam yang boleh menyedut air ke atas akuarium untuk masuk ke dalam penapis, lalu air tersebut jatuh semula ke dalam akuarium. Proses ini adalah umpama kita mengocakkan air akuarium tersebut untuk memberi lebih banyak partikel oksigen masuk ke dalam air.

Bukan ini yang aku hendak tekankan. Sebaliknya aku hendak membandingkan bagaimana Allah mencipta air serta air itu melalui kitarannya seperti kitaran di dalam akuarium tersebut yang kita juga selalu terlepas pandang untuk melihat sebagai sesuatu yang ajaib.

Beribu-ribu tan air telah diangkat ke awan pada setiap hari tanpa kita sedar. Serta bukan manusia yang mengarahkannya naik. Allah telah melakukannya iaitu menaikkan air yang berada di daratan, mahupun air yang berada di lautan untuk naik ke awan sedangkan tidak kelihatan pam atau pun hos air untuk menyalurkannya ke atas. Sebaliknya matahari yang begitu jauh beribu batu telah menjalankan khidmatnya kepada seluruh hidupan di bumi dengan memanaskan air, lalu ia naik menjadi wap ke awan. Proses ini telah berlaku sejak jutaan tahun dahulu.

Manusia tidak akan mampu melakukannya seperti mana kita akan menyediakan tangki seperti tangki yang berada di rumah kita, ia perlu kuat serta mempunyai tetulang untuk menampung air yang berat, jika tidak ia akan ranap. Kalau kita melihat sejenak bagaimana tangki dibina, kita mendapati ia dibina daripada PVC yang tebal untuk tangki yang kecil, sementara untuk tangki yang besar akan dibina daripada besi tebal dengan skru besi yang banyak.

Tetapi tidakkah ajaib apabila Allah hanya menjadikan awan yang rapuh untuk menampung bertan-tan air ini sedangkan ia amat berat? Awan ini apabila kita berdiri di puncak gunung lalu menggenggamnya, ia umpama asap. Kita sedikit pun tidak dapat mengepal awan. Sekali lagi ia amatlah takjub kerana ia bukan PVC serta bukan besi. Air telah naik ke atas awan tanpa pam serta hos, kemudian ia tersimpan di dalam awan-awan ini.

Allah yang mengaturkan semua awan-awan ini untuk ia berada di mana dan pergi ke mana. Pada pandangan fizikal, kita mendapati awan kemudian akan menjadi hitam apabila ia berat, tetapi itu adalah air yang sedang berada beberapa kilometer di atas kepala kita. Jika sebuah tangki air yang besar tidak lagi dapat menampung air lalu pecah, atau juga jika sebuah empangan air yang besar telah pecah, air akan jatuh dan menyembur keluar tanpa dapat dikawal. Jawapan kepada kesan yang ditinggalkan oleh peristiwa ini ialah kemalangan yang mungkin meragut nyawa.

Tetapi Allah telah mengawal setiap titisan hujan, ia jatuh ke bumi dalam bentuk titisan kecil yang tidak meninggalkan kesan apabila ia jatuh ke atas kepala manusia, haiwan dan juga tanaman kita. Bayangkan jika kita menuang sebaldi air serentak ke atas pokok bunga matahari di dalam pasu? Ini hanyalah sebaldi air. Tetapi Allah menjatuhkan bertan-tan air daripada awan dalam bentuk titisan halus yang amat mesra serta tidak memudaratkan. Bukan kah ini sesuatu yang amat hebat?

Tiga puluh tahun lalu, aku adalah antara ramai kanak-kanak kecil yang bermain dengan hujan.

Sewaktu aku melihat ahli silap mata menghilangkan daun poker, aku berasa takjub. Kalau ada orang yang boleh ghaib tiba-tiba, kita juga akan berasa takjub. Kalau ada orang yang boleh menemukan harta karun di bawah tanah secara ghaib, kita juga berasa takjub. Kalau ada orang yang boleh terbang kita juga berasa takjub. Kalau ada orang yang tidak cedera apabila ditembak, kita juga berasa takjub. Kita berasa mereka adalah hebat.

Begitu juga kalau tiba-tiba ada manusia yang boleh menaikkan matahari dari arah barat serta memindahkan bulan ke tempat yang lain, kemudian menjadikan semua tumbuhan yang ranum menjadi layu serta merta, atau menghidupkan tanam-tanaman dari tanah yang kontang lalu ia tumbuh dan berbuah dalam masa sehari, kita akan berasa takjub. Ini ialah kerja Dajal.

Namun Allah telah menunjukkan kehebatan Nya dalam bentuk yang paling jelas dan amat mudah untuk kita fahami. Allah telah mencipta mekanisme hujan dalam bentuk yang hebat. Sekiranya Allah tidak mencipta mekanisme hujan ini, sampai bila-bila pun kita tidak akan mengenali apakah itu Hujan.

Ini kerana untuk mencipta satu bentuk mekanisme yang sempurna ia perlu kepada idea, idea ini perlu kepada satu bentuk kerja yang melalui fasa demi fasa yang panjang untuk dibangunkan dan untuk diuji, setelah diuji dan dibaiki sehingga sempurna beberapa kali, barulah ia dilancarkan. Ia memerlukan bukan seorang manusia, malah sekumpulan manusia, dua tiga orang atau juga ratusan orang. Ujian dijalankan bukan sehari tetapi barangkali bertahun.

Sebab itu aku katakan bahawa melihat orang menghilangkan daun poker bukan sesuatu yang hebat. Sebaliknya Allah menzahirkan kehebatannya dengan mencipta semua yang rumit ini dalam satu perintah sahaja.

Dan Hujan yang aku maksudkan sudah pasti bukan mengenai kumpulan pop Hujan dari Indonesia.

Selamat berfikir dan renung-renungkan.


Mohd Rafi
Johor Bahru
1 Syawal 1432

No comments:

Post a Comment