Total Pageviews

Thursday, September 1, 2011

Apabila Hidup Di Lahap Oleh Dubuk

Ketika cetusan idea tentang enam batang aiskrim ini timbul, sebenarnya aku sedang menonton National Geographic di TV berkenaan bagaimana kehidupan kawanan dubuk yang merupakan pemangsa ganas seperti singa. Ia berbadan seperti anjing, tetapi menjadi pesaing utama kepada singa malah harimau serta harimau bintang juga takut dengan haiwan ini.

Kekuatan gigitan dari rahangnya dikatakan antara yang terkuat di dunia. Tidak seperti singa yang membunuh mangsanya sebelum dimakan, dubuk pula melahap mangsanya beramai-ramai hidup-hidup ibarat berkenduri daging si mangsa dalam bentuk pesta hari jadi manusia yang mana kita akan memotong kek sehiris demi sehiris untuk dijamu kepada semua orang.

Mangsanya akan menjerit-jerit meminta tolong dengan suara seekor kerbau (dalam kes ini memang aku sedang tengok seekor kerbau) sambil menikmati kesakitan sakaratul maut apabila setiap anggota badannya digigit serta dicarik-carik oleh gigi tajam sang dubuk yang mengelilinginya. Si mangsa tidak dapat melarikan diri mahupun meronta kerana tubuhnya telah ditekan ke tanah oleh kawanan dubuk.

Tidak ada yang lebih ia mampu lakukan melainkan menunggu maut secara perlahan-lahan datang sambil merasakan bagaimana kulitnya dikoyak lalu isi perutnya diratah oleh kawanan sang dubuk sehingga ia pengsan kerana kesakitan yang amat sangat lalu apabila ia sedar semula, ia telahpun menjadi cebisan tulang tanpa daging. Kemudian ia pun mengerti bahawa sebentar tadi ia masih hidup tetapi kini ia telah mati dibaham kawanan dubuk.

Melihat fenomena ini, ia merupakan pengalaman yang amat dasyat sambil mulut aku ternganga umpama meminta tolong seperti kerbau tadi sambil aku merasakan dubuk-dubuk tersebut sedang mengelilingi aku dan bersedia untuk merobek-robek punggung aku dari arah belakang. Lalu aku pun menggoncangkan kepala aku dengan kuat untuk membuang perasaan tersebut yang sungguh mengerikan.

Sambil bapa kepada anak-anak aku sedang leka membayangkan bagaimana kalau-kalau dirinya tercampak di tengah hutan yang dipenuhi sang dubuk, sang singa dan sang harimau ini, lalu dia pun menjadi seperti salah seekor kerbau tadi, oh alangkah tragisnya kematian tersebut. Anak-anak aku pula sedang bermain dengan batang-batang aiskrim.

Ketika fikiran aku masih sendat dengan sentiasa berulang-ulang mengulang-tayangkan kembali apa yang telah aku tonton tadi, serta perasaan ngeri yang masih belum luput, aku melangkah ke bilik air untuk mandi . Dan dengan harapan supaya aku tidak akan pergi mana-mana hutan atau taman negara di luar negara yang penuh dengan dubuk, singa dan sang harimau.

Atau paling kurang pun aku tidak akan pergi ke Night Safari kerana khuatir jika ada sang haiwan ganas seperti singa atau harimau akan terlepas dari sangkar, sementara aku pula sedang berjalan di dalam gelap yang samar-samar dilihat dalam bentuk daging yang amat sedap seperti ayam masak kari atau ayam masak kicap.

Akhirnya dalam keadaan aku sedang berkhayal tentang bagaimana agaknya keadaan kematian yang paling selesa dan paling seronok, batang-batang aiskrim yang anak aku main tadi terbang melayang-layang dan menari sebatang demi sebatang di depan mata. Ini pun sedang berkhayal juga macam aku telah diberi suntikan dadah. Tetapi aku telah menemui sesuatu dari batang-batang aiskrim ini, hendak tahu? Hah baca lagi.

Rupa-rupanya aku bagaikan tersedar di dalam khayalan, bahawa sebatang aiskrim ini adalah umpama umur manusia iaitu umur aku dan juga umur semua manusia yang lain. Pendek cerita ialah setiap kita telah menerima enam batang aiskrim yang mana setiap batang aiskrim ini mewakili 10 tahun usia. Bermakna apabila kita menerima enam batang aiskrim, ia menjadikan total 60 tahun bagi mewakili tempoh usia kita semua menjalani hidup dan berada di muka bumi ini.

Ada yang hanya menerima sebatang aiskrim iaitu hidup hanya 10 tahun kemudian mati, ada yang menerima suku batang aiskrim iaitu bagi kes yang mati awal tak sempat sampai 10 tahun, ada yang menerima enam batang aiskrim iaitu hidup sehingga umur 60 tahun. Ada yang menerima lebih daripada enam batang aiskrim kerana hidup lebih lama contohnya 70 tahun hingga 80 tahun.

Tetapi rata-rata manusia iaitu aku dan kamu semua berada pada kitar purata enam batang aiskrim.
Untuk lebih jelas lagi, aku telah pun menghabiskan 3 batang aiskrim iaitu 30 tahun kehidupan telah aku lalui. Kini aku sedang menghabiskan batang aiskrim yang ke empat, itupun kalau masih sempat dan memang panjang umur aku. Sebaik batang aiskrim yang ke empat ini habis, maka aku akan mendapat sebatang lagi batang aiskrim untuk aku habiskan lagi tempoh sepuluh tahun lagi sehingga ke umur 50 tahun. Dan akhir sekali aku hanya ada sebatang lagi batang aiskrim untuk ke umur 60 tahun.

Baru aku tersedar tetapi sudah tidak lagi di dalam khayalan, bahawa batang-batang aiskrim yang mewakili usia aku hanya tinggal dua tiga batang saja lagi. Bermakna aku telah pun menghabiskan tiga batang aiskrim yang sudah. Barulah kini aku nampak dengan lebih jelas ke mana telah pergi usia aku selama ini dan ada berapa banyak lagi usia yang tinggal.

Oh, dah tak banyak lagi ropa-ropanya, aku tidak mahu mati seperti dibaham singa atau dubuk. Itu adalah harapan tetapi aku serahkan kepada takdir yang telah tertulis. Dan begitu joga dengan kamu yang sedang membaca, kalau kamu pun lebih kurang seusia dengan aku, jangan ingat batang aiskrim kamu masih banyak dan masih panjang. Entah-entah batang aiskrim usia kamu sudah tak ada lagi, tinggal pendek dan kudut. Renung-renungkan lah ya, jangan kamu asik hendak renung aku saja. Aku tak suka orang tenung-tenung aku.

Semalam, sewaktu aku sedang menyiapkan satu kerja dengan menyusur internet, tiba-tiba teringat pula aku kepada seorang penyanyi wanita yang pernah aku minati sewaktu zaman aku moda-moda dahulu iaitu pada sekitar tiga belas tahun lepas. Pada waktu itu, penyanyi wanita ini berada di kemuncak glamour kerana lagu-lagunya yang hit dan sering dijadikan lagu tema drama tv serta juga kartun, contohnya lagu tema Dragon Ball.

Aku pun memasukkan carian “ZARD song” di Google dan membiarkan google menggunakan program web spider nya untuk memaparkan hasil carian kurang daripada satu saat. Aku pun membelek satu persatu hasil carian tersebut sambil memberitahu isteri tentang penyanyi wanita ini yang aku minati dan bagaimana kami telah lost contact sejak tiga belas tahun lepas iaitu aku tidak lagi mengikuti perkembangan beliau setelah tahun-tahun tersebut hingga ke waktu ini. Serta beliau pun memang langsung tidak akan mengikuti perkembangan aku..hehe..siapalah aku yang tidak pernah berada di dalam carta.

Kemudian aku pun berjumpa dengan satu lagu hit beliau tiga belas tahun lepas lalu aku dengan pantas pun memuat turun lagu tersebut dan aku dengarkan kepada isteri. Sedang aku memberikan intro lagu tersebut, sambil mata aku melakukan fast scanning ke atas maklumat beliau di Wikipedia tetapi tiba-tiba aku macam hendak tercekik dan tekak bagai hendak terkeluar apabila aku mendapati beliau telahpun mati pada tahun 2007 kerana melawan kanser yang teruk.

Ketika beliau diberitahu menghadapi kanser, beliau telah bertarung dengan penyakit tersebut. Beliau menerima rawatan di hospital dan sentiasa bersenam dengan berjalan-jalan di salah satu ruang yang disediakan di hospital berkenaan. Sehinggalah pada suatu hari, sedang beliau berjalan-jalan tiba-tiba beliau terjatuh tetapi tiada seorang pun yang menyedari hal tersebut. Apabila beliau ditemui, beliau telah dikejarkan ke ICU tetapi akhirnya itu sudahpun terlewat dan tidak dapat lagi diselamatkan.

Beliau mati pada usia 40 tahun dan aku berpendapat usia itu bukan lah terlalu tua, tetapi masih muda. Usia 40 tahun bagi wanita sebenarnya baru hendak memanjat kepada ketuaan sementara bagi lelaki usia 40 tahun ialah gerbang untuk menjadi muda heheh…

Apabila bercakap tentang kanser, aku memahami bagaimana sakitnya penyakit kanser yang menyerang, badan akan lemah tidak berdaya, hanya terbaring untuk menerima makanan, itupun kalau bernasib baik jika ada makanan yang boleh masuk, setahu aku apa saja yang dimakan akan ditendang keluar oleh badan. Badan yang dahulunya gemuk dan berisi akan menjadi tulang dan tengkorak. Kalau wajah cantik dan kacak, kini akan menjadi sebaliknya. Akhir sekali ialah kimoterapi tetapi itu bukan jawapan untuk pulih. Banyak sudah pesakit kanser yang telah menerima kematian sebagai jawapan terakhir.

Bertarung dengan kanser ibarat badan sedang dilahap oleh kawanan dubuk dalam tempoh waktu yang panjang malah bertahun-tahun. Kebiasaannya kita hanya akan menemukan penyakit ini di dalam diri kita apabila ia telah menjangkau tahap ketiga. Ini adalah antara penyakit yang aku selalu minta dijauhkan.

Apabila bercakap balik tentang batang-batang aiskrim kehidupan tadi, ropa-ropanya beliau hanya menerima empat batang aiskrim kehidupan untuk hidup. Setelah habis empat batang aiskrim tersebut, tidak ada lagi kehidupan untuk beliau. Oleh itu aku pun bertanya pada diri, berapa batang aiskrim kehidupan lagi yang masih ada untuk aku?

Dan di hujung tulisan aku ini, tiba-tiba aku tertanya pada diri sendiri apakah "NILAI" bagi kematian seorang insan yang bukan Islam serta kehidupannya tidak pernah diabdikan untuk Allah? Apakah nilai bagi kematian beliau pada aku sebagai seorang Islam dan juga nilai kematian beliau kepada kamu sebagai seorang Islam?

Serta apakah "MAKNA" kematian orang bukan Islam ini kepada orang Islam? Ya, apakah makna kematian beliau ini kepada kita semua? Adakah ia sama seperti matinya seekor semut yang kita pijak atau tekan dengan jari sewaktu kita mengeluarkan semut dari minuman? Yang mana kematian mereka tidak memberi apa-apa makna langsung kepada kita kerana ibarat seekor semut pergi dan akan digantikan oleh seekor semut yang lain?

Dan di hujung tulisan ini juga aku tertanya apakah tujuan orang bukan Islam ini dicipta dan di wujudkan di muka bumi ini jika Allah telahpun mengetahui bahawa mereka tidak akan beriman dan hanya akan menjadi bahan bakar api neraka? Adakah mereka ini hanya dicipta dan untuk dibakar?

Selamat berfikir dan renung-renungkanlah.


Mohd Rafi
Johor Bahru
4 Syawal 1432

No comments:

Post a Comment