Total Pageviews

Saturday, August 13, 2011

Isu Murtad - Bersalahkah Aku?

Apabila engkau telah mula menjadi murtad, adakah aku juga turut bersalah sedangkan engkau tidak aku kenali sama sekali, berbual pun tidak pernah, apatah lagi melihat kelibat engkau? Pertalian darah pun tidak ada apatah lagi bau-bau bacang.

Tapi engkau bekas saudara seIslam ku?

Setiap pagi, ketika Ustaz Zahazan Mohamad memberikan kuliah pada jam 6.30 pagi, aku sentiasa menghadiri kuliah beliau. Rasanya telah hampir lebih dari setahun aku menjadi murid beliau yang istiqamah setiap hari menghadiri kuliah beliau walaupun secara tidak rasmi. Amat jarang aku terlepas untuk hadir ke kuliah beliau. Setiap hari aku hadir kecuali pada hari di mana aku tidak pergi bekerja.

Ini adalah kerana aku hadir sebagai anak murid yang jauh tetapi dekat. Jauh adalah kerana aku berada di dalam kereta yang sedang aku pandu untuk menghantar anak ke sekolah, menghantar isteri ke tempat kerja, dan akhir sekali menghantar aku sendiri ke tempat kerja. Walaupun ia jauh tetapi ia dekat kerana aku mendengar suara Ustaz Zahazan dari corong radio seolah-olah ustaz berada di depan aku. Itu tidak mengapa, yang penting ialah ilmu yang beliau sampaikan aku dengar dengan teliti walaupun ketika itu aku sedang menanti lampu merah bertukar hijau atau mungkin sedang berlumba dengan kereta lain.

Di dalam satu kuliah beliau, kata Pak Ustaz kita dilarang mendoakan keampunan ke atas orang kafir yang telah mati yang memang telah jelas kekafirannya. Lalu timbul pula persoalan bagaimana kalau orang itu ialah ibu saya atau juga bapa saya? Boleh kah Pak Ustaz jelaskan?

Pak Ustaz pun menceritakan bahawa satu ketika nabi Allah Ibrahim a.s juga selalu mendoakan keampunan untuk bapanya yang menjadi pembuat berhala dan menjual semua berhala-berhala yang dibuat kepada kaumnya pada ketika itu.

Kata nabi Allah Ibrahim as,” wahai bapaku sesungguhnya aku akan memohonkan keampunan kepada Tuhanku untuk mu, sesungguhnya Tuhanku amat baik ke atas ku”.

Dalam masa yang sama, nabi Allah Ibrahim as tetap meneruskan dakwah serta pujukan ke atas bapanya agar bapanya itu terbuka hati untuk beriman kepada Allah swt. Sehinggalah sampai pada suatu saat dimana bapanya kemudian berkata, “tinggalkan lah aku wahai Ibrahim, tinggalkan lah aku bersama kerja ku ini, dan tinggalkan lah aku bersama dengan kepercayan keturunan ku ini”. Lalu kemudian setelah nyata bapanya itu kafir dan kemudian mati sebagai kafir, nabi Allah Ibrahim as berlepas diri dan tidak lagi mendoakan keampunan untuk bapanya.

Kemudian Pak Ustaz pun menyambung cerita berkenaan dengan junjungan Baginda Nabi SAW. Pernah pada suatu ketika baginda Nabi saw memohon keizinan kepada Allah swt untuk menziarahi kubur ibunya Siti Aminah. Doa baginda Nabi saw tersebut diperkenankan oleh Allah swt. Kemudian baginda Nabi saw memohon pula kepada Allah swt agar dosa kekafiran oleh ibunya diampunkan oleh Allah swt, tetapi Allah swt tidak memperkenankan doa Nabi saw tersebut. Sewaktu baginda Nabi saw mengkhabarkan kisah ini kepada para Sahabat, baginda berada di dalam keadaan yang sedih.

Kata Pak Ustaz, berdasarkan kisah ini telah nyata bahawa kita tidak dibenarkan untuk mendoakan keampunan kepada orang kafir yang telah mati walaupun mereka itu adalah ibu kita atau bapa kita sekalipun. Sebaliknya kita dibenarkan untuk mendoakan mereka di saat mereka masih hidup. Di sini kita dapat melihat ketegasan Allah swt ke atas mereka yang telah kafir sehingga ajal menemui mereka.

Oleh itu kepada mereka yang telah murtad tetapi masih hidup, adalah jelas bahawa kita masih berpeluang untuk mendoakan keampunan serta agar Allah swt memberikan hidayah kembali kepada mereka sesudah hidayah itu ditarik balik. Adalah sesuatu yang amat menyedihkan sekiranya perkara ini berlaku di dalam keluarga kita sendiri, oleh itu sebagai ahli yang terdekat, tentulah kita berasa sayang dengan mereka.

Siapakah yang bersalah di dalam hal murtad ini? Adakah aku juga turut bersalah?

Dalam hal ini, apabila kita berfikir untuk bersifat defensif dan mempertahankan diri, jelasnya kita tidak akan menemui kelemahan diri. Sebaliknya kesemua jari-jemari tangan ini akan mula menuding satu persatu kepada orang itu, orang ini, orang di sana, orang di sini, orang di luar, orang di atas dan sebagainya. Akhir sekali kita akhirnya mendapat kepuasan menyalahkan orang lain sementara diri kita ibarat langsung tidak bersalah. Kerja kita hanya menyalahkan orang lain. Aku juga adalah orang sebegini.

Aku adakalanya geram dengan parti hijau yang berlambangkan Islam sebagai ter as perjuangan, tetapi apabila keluarnya isu murtad, keluarnya isu bagaimana agama lain sedang berusaha memurtadkan umat Islam, suara parti ini yang dahulunya begitu lantang, tapi kini hampir-hampir tidak kedengaran. Macam malu-malu nak bersuara malah bersetuju dan akur dengan tekanan orang kafir. Aku geram. Mana perginya suara pemimpin-peminpin parti ini dulu hah?

Kononnya dulu berjanji untuk menegakkan Islam di sana sini, tetapi apabila baru saja bercadang untuk menutup semua pusat hiburan sepanjang Ramadhan di sebuah negeri, baru sikit saja tekanan diterima daripada pihak kufar yang hanya sekerat saja bilangan mereka, cadangan tersebut ditarik balik. Surat khabar korang pula kalau menghentam parti aku, macam lah parti aku ni langsung tidak ada buat benda yang betul, semuanya salah memanjang. Macamlah parti aku ini merobohkan masjid dan surau di seluruh Malaysia. Tetapi bila kena batang hidung sendiri macam mana pula? Perjuangan parti ini bagai retorik di mulut saja. Nasib baik aku tidak tahu apa itu retorik.

Aku sebenarnya pun ingin jugak melihat kelantangan parti ini dibuktikan. Sekadar kata-kata kosong menurut pendapat aku, sesiapa pun boleh. Dalam kes-kes yang terbaru contohnya apabila JAIS menyerbu gereja yang dicurigai mengadakan usaha untuk memurtadkan penganut Islam, ketika banyak pihak menyalahkan serbuan JAIS tersebut demi menyelamatkan akidah umat Islam, parti ini berpecah dua, ada yang menyokong, tetapi ada yang menyalahkan JAIS. Hanya segelintir pemimpinnya saja yang berani melawan arus percaturan politik untuk tetap mempertahankan tindakan JAIS tersebut. Di mana berdirinya perjuangan parti ini?

Yang jelas mereka telah terperangkap di dalam percaturan parti yang bersimbolkan kenderaan naik ke bulan, serta parti yang suka berpakat-pakat. Sekadar menjadi pak turut dan telunjuk parti lain yang lebih dominan walaupun bilangan mereka hanya segelintir, parti yang membenci Islam, dan parti yang tidak memiliki objektif untuk memelihara umat Islam ini. Buat sekian kalinya parti Islam ini tergugat, terkedu, terperosok, terpinga-pinga, terkencit, terkentut atau bingung arah tuju mana hendak dipilih.

Ayuh bangkit.

Aku juga adakalanya geram dengan parti aku sendiri, yang berlambang keris bersilang macam pahlawan yang sedia bertikam dan berlawan, tetapi terkemut dan tidak bersuara malah selalu mengambil pendekatan lembut seperti mengambil rambut di dalam tepung kononnya, akhirnya kepala sendiri dipijak orang. Tidak pernah aku dengar adanya tindakan tegas diambil tentang isu murtad serta usaha memurtadkan orang Islam. Kita terlalu takut untuk kehilangan undi sedangkan agama perlu dibela terlebih dahulu. Lemah sangatkah bangsa Melayu ini untuk membuat keputusan yang menongkah arus? Nasib baik aku campuran Jawa – Banjar – Bugis – Melayu.

Nampak tak bagaimana aku menyalahkan orang lain? Hehehe..ini baru permulaan. Ada banyak lagi pihak yang aku nak salahkan termasuklah Jabatan Agama Islam negeri, mufti-mufti, para ustaz, datuk-datuk menteri dan JAKIM.

Tetapi sebaik aku bergaul dengan orang-orang yang baik yang selalu menjaga amal ibadat mereka, sentiasa bersolat di masjid dan surau, sedikit sebanyak aku dapat belajar bagaimana untuk memiliki sikap sentiasa menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu apabila melihat orang lain menjadi murtad, atau apabila melihat orang lain tidak menjaga agama Islam ini selayaknya.

Ini adalah kerana tugas menjaga agama Islam ini bukan terletak kepada Perdana Menteri seorang, bukan terletak kepada Yang Di Pertuan Agong seorang, bukan terletak kepada orang atasan JAKIM sahaja, tetapi setiap individu telah diamanahkan oleh Allah swt untuk memelihara agama yang suci ini. Amanah ini termasuklah untuk aku dan juga engkau.

Oleh itu, dengan menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu adalah jalan Tasauf iaitu bagaimana kita mahu menjaga bagaimana diri kita dipandang oleh Allah swt. Adalah amat jelek sekali sekiranya kita sentiasa menyalahkan orang lain sedangkan hakikat yang sebenarnya ialah kita juga turut berdosa di sisi Allah. Tidak malukah kita?

Memilih untuk menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu adalah sikap orang yang sentiasa merendahkan dirinya di sisi Allah swt, sifat ini adalah sifat terpuji. Sebaliknya sifat sentiasa menyalahkan orang lain adalah sifat sombong dan tidak mahu bertanggung jawab.

Tetapi alangkah manisnya diri kita pada pandangan Allah swt yang sentiasa menyalahkan diri kita terlebih dahulu, lantas beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah swt, walaupun kesalahan tersebut bukan sesuatu yang terus dengan diri kita. Inilah yang manisnya apabila kita sentiasa menyalahkan diri kita di sisi Allah swt, sebelum diri kita disalahkan oleh Allah swt pada hari Kiamat kelak.

Maka secara dasarnya, apabila engkau murtad, aku juga turut bersalah. Aku akan menyalahkan diri aku sendiri kerana aku tidak menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang Muslim untuk menyebar dan meninggikan syiar agama yang suci ini. Aku terlalu sibuk dengan kerja aku sendiri setiap hari, mengejar keduniaan, sehingga tidak ada sedikit masa pun untuk aku luangkan bagi menjalankan tugas meninggikan agama ini.

Mungkin ada mana-mana amalan aku yang rosak di sisi Allah swt, atau amalan yang tidak bagus yang dibenci oleh Allah swt, menyebabkan kurangnya rahmat Allah turun ke muka bumi tempat kita berada ini. Sehingga akhirnya apabila rahmat menjadi kurang atau tiada lagi, hidayah daripada Allah juga terhindar, menyebabkan engkau yang pada suatu ketika dulu mempercayai Allah itu Tuhan sekelian alam, tetapi kini berpaling dan mempercayai agama lain sebagai sesuatu yang benar.

Apabila engkau murtad, akulah yang pertama sekali sepatutnya memohon keampunan untuk diriku kepada Tuhanku. Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin Islam perlu bersatu untuk mengatasi masalah ini sebulat suara. Anasir yang berusaha untuk memurtadkan umat Islam tidak akan berhenti sampai bila-bila. Begitu juga usaha dakwah orang-orang Islam ke atas orang Islam sendiri, serta ke atas agama lain juga akan berterusan. Sekiranya kita tidak menjalankan tanggungjawab ini, apabila kita pula didakwah oleh agama lain, kita pula yang marah-marah.

Ini hanyalah berkenaan beberapa individu yang murtad, belum satu kampung atau satu bandar menjadi murtad.

Satu lagi, kepada pentadbir masjid dan surau, aku tidak berapa bersetuju apabila orang yang ingin memakmurkan rumah-rumah Allah ini dilarang daripada beriktikaf. Aku kurang bersetuju apabila musafir-musafir yang ingin menumpang berehat di masjid dilarang. Kemudian diletakkan papan tanda berbunyi "Di Larang Tidur Di Dalam Masjid". Lalu secara tidak langsung masjid dijauhkan daripada umat Islam ini. Ini hanyalah benda yang paling kecil aku bangkitkan. Kalau benar takutkan masjid menjadi kotor, bukankah telah ada Siak masjid yang menjaga kebersihan masjid? Kalau takutkan peti tabung kena curi, takkanlah sehingga mengunci masjid sampai orang lain yang hendak bersolat pun terpaksa bersolat di koridor?

Ada yang lagi teruk, pengalaman aku untuk berhenti solat Asar, langsung aku tidak boleh masuk kerana berkunci, terpaksa mencari masjid yang lain. Ini pula kes apa?



Mohd Rafi
Johor Bahru
14 Ramadhan

No comments:

Post a Comment