Total Pageviews

Sunday, August 7, 2011

Siapakah Aku Di Sisi Tuhan Ku?

Semalam aku dengar kisah seorang mualaf yang baru memeluk Islam di radio. Katanya, tiba-tiba pada satu hari sewaktu beliau sedang memandu dan melintasi sebuah masjid lalu terdetik soalan di dalam hatinya iaitu Siapa Aku? Kemudian datang pula pertanyaan kedua iaitu Dari mana aku datang? Kemudian beliau tertanya lagi ke mana beliau akan pergi selepas tamatnya kehidupan ini? Soalan ini datang berturut-turut dan begitu kuat di dalam pemikirannya.

Ini adalah bibit permulaan cahaya hidayah Allah swt mula mengetuk pintu hatinya sebelum beliau memeluk Islam, menjadi seorang yang dilahirkan semula.

Aku juga pernah beberapa kali berbual dengan orang yang menggelar diri mereka sebagai Free Thinker.

Aku bukanlah orang terbaik untuk menjelaskan apa itu Free Thinker. Tetapi sebagai pandangan umum, bagi Free Thinker, soalan-soalan seperti ini tidak penting. Free thinker tidak mahu menyusahkan otak untuk berfikir tentang agama. Alam akhirat bagi mereka tidak wujud. Mereka beranggapan apabila mati, maka ituadalah ibarat sebuah kisah hidup yang telah tamat serta tidak ada kesinambungan. EOL atau juga dipanggil End Of Life. Mereka tidak percaya adanya kuasa yang mutlak yang mencipta semua benda yang kita lihat. Mereka tidak percaya adanya Tuhan. Apa saja isu yang berkaitan dengan ketuhanan akan ditepis dengan logik akal fikiran mereka saja. Dan yang paling seronok hidup mereka tidak perlu mematuhi hukum agama, kecuali hukum negara. Lebih-lebih lagi agama Islam yang bagi mereka terlalu banyak perkara yang tidak boleh. Bukankah itu menyusahkan?

Jika kita berpegang kepada tanggapan Free Thinker, maka hidup yang kita lalui sekarang adalah tidak bermakna. Kita hanya lahir seperti manusia lain lahir, seperti juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan beranak-pinak di dalam dunia ini. Kita berada di dunia ini tanpa tujuan. Membesar, berkeluarga, memiliki keturunan terdahulu dan akan datang, menjadi orang yang dikenali dan disayangi oleh orang di sekeliling kita, menjadi orang yang hebat tetapi selepas diri kita mati, kita menjadi tanah yang tidak ada lagi nilai. Jadi setakat itu sajakah penamat hidup kita yang begitu hebat pada hari ini hanya menjadi tanah yang tersimpan di kawasan kuburan?

Oleh itu aku berfikir lahirnya kita sebagai seorang Islam daripada perut seorang Islam, dibesarkan di dalam aliran Islam adalah satu nikmat yang besar. Kita telahpun mendapat jalan pintas untuk mengenali agama yang sebenar-benarnya membawa kita kepada Pencipta mutlak bagi semua benda yang kita lihat atau tidak lihat pada hari ini iaitu Allah swt. Untuk memahami apakah nilai jalan pintas yang telah diberi ini ialah hanya apabila kita sendiri tersesat dan bertahun-tahun mencari jalan keluar.

Mencari kebenaran adalah sukar. kebenaran hanya akan ditemui oleh orang yang diberi hidayah oleh Allah. Orang Islam sendiri yang telah berada di dalam lingkungan hidayah ini juga boleh terkeluar, inikan pula orang yang sedang mencari hidayah dari luar Islam?

Tidak ada alat atau mesin yang canggih yang boleh digunakan untuk memberitahu atau membantu kita agama yang manakah yang benar di dalam dunia ini. Setiap penganut mendakwa agama mereka adalah yang benar. Jika kita lahir ke dunia ini, sebaik saja kita keluar daripada perut ibu kita, tiba-tiba datang sepuluh orang menyeru kita untuk memeluk agama setiap mereka, yang mana satukah akan kita pilih? Adakah ia semudah memilih aiskrim mana yang patut kita beli?

Pencari Hidayah

Pada satu petang sewaktu Encik K sedang sibuk bekerja, seperti selalu dia disapa oleh rakannya yang berbangsa Cina. Oleh kerana mereka berdua masih bujang, seperti minggu-minggu yang sudah, mereka berjanji untuk berjumpa di tempat selalu pada malam nanti untuk lepak-lepak sambil minum arak dan berhibur.

Malam itu Encik K minum terlalu banyak sehingga tidak dapat pulang ke rumah kerana memandu sendiri. Entah kenapa beliau minum tidak seperti selalu mungkin kerana terlalu gembira. Oleh kerana mabuk yang teruk beliau mengambil keputusan untuk pulang dengan teksi.

Beliau berjalan terhoyong hayang untuk menahan teksi di tepi jalan. Tetapi oleh kerana beliau terlalu mabuk, akhirnya beliau terbaring di tepi jalan hampir-hampir nak masuk dalam longkang. Kata beliau, minum arak biasanya akan menyebabkan badan berasa sakit-sakit dan letih sepanjang malam, sebab itu selain mabuk, orang yang minum arak biasanya akan lepak semalaman dan beliau tidak sedar apa yang berlaku pada malam tersebut kerana mabuk. Kalau tanya aku pengalaman minum arak, memanglah aku tak tau. Kalau minum Nescafe aku tau, tak lena tidur semalaman.

Esoknya tiba-tiba beliau terjaga, ada seekor anjing menjilat-jilat muka beliau. Sedang anjing itu menjilat-jilat mukanya, beliau bangkit sambil pening-pening lalat. Entah kenapa tiba-tiba beliau terfikir betapa hinanya diri beliau, hidup tanpa pegangan, mabuk dan tidur di tepi jalan, kemudian di jilat oleh seekor anjing.

Ini adalah momen dimana hidayah Allah mula mengetuk pintu hati beliau ibarat tetamu jauh yang sedang berdiri di depan rumah memberi salam untuk masuk.

Kemudian waktu pun berlalu. Encik K menjalani rutin kehidupan beliau seharian seperti biasa. Tetapi kali ini hati beliau begitu mendesak untuk mencari agama. Beliau berasa selama ini hidupnya kosong, hatinya tidak pernah tenang, dan beliau sentiasa berasa kekurangan yang begitu sukar untuk ditafsirkan apakah kekurangan tersebut.

Akhirnya beliau mula mencari agama. Sebaik beliau menemui satu agama, beliau mempelajari agama tersebut, bermula dengan membaca dan membaca. Jika agama itu memiliki kitab suci, maka itu adalah kunci utama bagi beliau untuk mendapatkan maklumat. Sayangnya agama demi agama telah beliau lalui dan amalkan, ia masih belum memberikan kepuasan pada hatinya, ia masih kosong seperti dulu dan beliau masih lagi tercari-cari sesuatu yang beliau sendiri tidak tahu.

Masa berlalu. Perjalanan mencari agama demi agama memakan masa bertahun-tahun. Ada sesuatu yang pelik apabila beliau pernah menganut agama yang percaya Alien adalah tuhan. Heheh…pelik betul.
Pada satu hari setelah beliau buntu dalam pencarian, beliau duduk bersama seorang rakan baiknya. Akhirnya kata rakan beliau, kalau semua agama telah dicari tetapi masih belum memuaskan hati, ada satu agama lagi yang masih belum beliau cuba. Iaitu agama Islam.

Tetapi entah kenapa, mungkin oleh kerana perjalanan mencari agama yang benar memakan masa bertahun-tahun membuatkan Encik K berasa letih dan menjadi hampir putus asa untuk terus mencari. Apabila mendengar saranan rakan baiknya itu, beliau hanya mendengar endah tidak endah saja tanpa keyakinan apa-apa.

Walaupun begitu, Encik K berusaha juga bertanya rakan-rakan yang beragama Islam tentang agama ini. Akhirnya seorang rakannya di tempat kerja yang sama memberikan sebuah Al-Quran beserta dengan makna untuk beliau baca. Beliau membawa Al-Quran itu pulang ke rumah untuk dibaca. Apabila beliau memegang Al-Quran itu yang tebal, beliau berasa letih untuk membaca dan tidak mungkin beliau akan dapat menghabiskannya dalam satu masa. Ini mengingatkan beliau akan usahanya membaca banyak kitab-kitab agama lain sebelum ini yang masih belum memberikan apa-apa. Inilah persepsi beliau ketika sedang memegang Al-Quran tersebut iaitu ia mungkin tidak memberikan apa-apa sama seperti kitab-kitab yang lain sebelum ini.

Sedang beliau membelek Al-Quran itu ke kiri dan ke kanan, dan dari kanan ke kiri, tiba-tiba ia terhenti pada satu halaman. Beliau mula membaca baris terjemahan pada halaman tersebut. Tiba-tiba beliau berasa tertarik dan terus membaca lagi, kemudian membaca lagi dan membaca lagi. Secara magis, beliau berasa hatinya mula menerima secara perlahan-lahan apa yang beliau baca. Seolah-olah terjumpa dengan kebenaran yang telah dicari selama bertahun-tahun. Hati yang kosong tiba-tiba terasa telah diisi.

Pada saat aku menulis kisah ini, Encik K sudah pun menjadi seorang Islam. Dirinya telah berubah. Encik K yang dulu sudah pun lenyap dan mati daripada muka bumi ini, sebaliknya telah lahir Encik K yang baru dengan nama yang baru dan segala-galanya baru. Kini beliau telah menjadi seorang yang amat taat mengamalkan ajaran Islam. Beliau begitu menjaga solat lima waktu dengan berjemaah di masjid atau surau. Anak beliau di dalam progress untuk menjadi seorang hafiz yang menghafaz Al-Quran.

Serta ini adalah kisah benar kerana Encik K adalah kenalan aku.

Kisah beliau adalah hampir mirip kepada kisah Umar r.hu mendapat hidayah Allah swt. Iaitu sebaik saja mendengar Al-Quran dibacakan, perasaan kepada Islam mula berubah. Dan menurut kepada apa yang aku dengar dari ceramah para ustaz , masuknya hidayah ke dalam hati ialah apabila pintu hati dibuka untuk menerimanya. Hadrat Umar rhu telah membuka pintu hatinya untuk mendengar Al-Quran dan menerima kebenaran tersebut.

Sama juga seperti Encik K yang telah membuka pintu hatinya untuk menerima tetamu yang dihantar oleh Allah swt iaitu hidayah.

Setiap masa, ada hidayah yang mengetuk pintu hati kita sentiasa, walaupun kita ini seorang yang telah pun menjadi Islam. Hidayah bukan bermakna untuk orang bukan Islam saja. Tetapi Ia bergantung samada kita membuka pintu hati untuk hidayah itu masuk, ataupun mengabaikannya kemudian meneruskan kesibukan hidup di dunia.

Hidayah dengan perkataan lain disebut sebagai suara hati. Suara hati ini adalah cebisan atau kepingan-kepingan kecil dari keseluruhan pakej hidayah. kSuara hati ini sentiasa bersama dengan manusia sehingga mati. Bagi seorang Islam, suara hati akan menyeru kita untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar hamba. Persoalannya adakah kita pada hari ini telah menjadi benar-benar seorang hamba Allah? Aku belum lagi. Serta banyak suara hati yang datang ke dalam qalbu telah aku abaikan.

Suara hati juga dimiliki oleh orang kafir malah juga bagi Free Thinker. Dan ini juga menjadi bukti bahawa setelah ketiadaan nabi dihantar oleh Allah swt kepada umat manusia, manusia ini tetap tidak dibiarkan oleh Allah, setiap masa Allah membangkitkan suara hati di dalam hati setiap manusia. Serta ia dibantu oleh akal untuk berfikir. Dengan melihat alam semesta yang serba lengkap dan sangat seimbang, tidak ada cacat celanya, ia membolehkan seseorang mula mencari siapakah Tuhannya. Dengan ini, tidak ada seorang pun manusia yang boleh menyalahkan Allah di akhirat kelak kerana tidak memberinya hidayah semasa hidup di dunia ini. Tidak ada sesiapa juga yang boleh menyalahkan Allah apabila hidupnya tersesat.

Panjangnya Usia Bumi

Sebaik aku mengetahui umur bumi yang kita pijak ini ialah sekitar 4 bilion tahun, aku rasa tercengang dan takjub kerana tempoh masa yang terlalu lama itu adalah amat mustahil bagi manusia dan adakalanya macam antara percaya atau tidak. Kalaulah ketika saat bumi ini baru terbentuk dan bermula, kemudian lahir setiap AKU pada setiap tahun sehingga sekarang, maka pada masa ini telah akan ada sebanyak 4 bilion Rafi di atas muka bumi ini. Siapakah yang mencipta bumi ini dan kekal sehingga kini? Sedangkan telah berbilion manusia mati dan pergi selamanya, sedangkan pencipta kepada bumi ini masih kekal.

Untuk kita memahami dengan lebih jelas apakah nilai bilion tahun ini, mari kita cuba mengira satu hingga 60 dan sukat berapakah masa yang kita ambil untuk mengira sebanyak 60 tersebut. Andaikan 60 tersebut ialah jarum saat. Kemudian kira dengan kalkulator sekiranya kita hendak mengira sebanyak satu bilion tahun, berapakah masa yang kita perlukan? Adakah sepanjang hari atau sepanjang tahun? Aku pasti, kita akan mula mengira tanpa henti dan sehingga nafas kita diambil oleh Allah, kita masih lagi belum selesai mengira satu bilion tersebut.

Inilah yang aku maksudkan bagaimana takjubnya kehebatan Allah mencipta jangka masa yang teramat panjang serta tidak mampu untuk dibayangkan oleh akal manusia. Di mana kita 5 bilion tahun yang lalu?

Kemudian aku mencari berapakah umur alam semesta ini, sekali lagi aku terkejut kerana saintis menganggarkan usia alam ini ialah sekitar 500 bilion tahun selepas bermulanya Big Bang. Itu satu tempoh yang teramaaaaaat lama bagi aku, dan hampir-hampir otak aku tidak dapat berfikir tentang tempoh masa itu yang sangat lama.

Tetapi oleh kerana masa merupakan ciptaan Allah, dan Allah tidak dikuasai oleh mana-mana ciptaanNya termasuk lah masa, Allah tidak berasa lama seperti manusia. Di sisi Allah tempoh tersebut adalah amat sekejap.

Oleh itu, daripada mana kita datang, dan ke mana kita akan pergi, jawapannya adalah seperti jawapan yang selalu kita dengar, iaitu kita datang daripada Allah dan kita kembali kepada Allah.

Jadi Siapakah kita?

Kita adalah makhluk Allah yang begitu kerdil walaupun hanya dibandingkan dengan keluasan alam semesta ini, malah umur alam semesta ini pun tidak terjangkau oleh kita, apatah lagi untuk dibandingkan dengan kehebatan Allah swt pencipta kepada Arasy yang berganda-ganda luasnya berbanding alam semesta ini.

Maka sekali lagi kita adalah diciptakan, bukan dibina daripada proses evolusi daripada beruk. Nenek moyang kita bukan seekor beruk.Kerana ribuan fosil yang tersimpan di dalam muzium di seluruh dunia tidak pernah ada fosil yang menunjukkan adanya makhluk peralihan daripada beruk kepada manusia. Kerana jika inilah tanggapan evolusi, selepas ini manusia akan berevolusi menjadi apa pula? Seekor rama-rama? Atau satu makhluk yang belum pernah ada ketika ini?

Di sisi Allah seluruh kekuatan makhluk ini yang dikumpulkan, tidak lebih seperti sarang si labah-labah.

Mohd Rafi
Johor Bahru
7 Ramadhan 1432

No comments:

Post a Comment