Total Pageviews

Saturday, September 24, 2011

Skuad Olimpik Bolasepak Malaysia Ditelanjangkan

Ditelanjangkan segala kelemahan oleh Jepun ketika perlawanan pertama pada peringkat ketiga di Stadium Tosu di Jepun pada 21 Sept 2011 baru-baru ini amat bermakna.

Melihat perlawanan tersebut nyata bahawa skuad Malaysia sebenarnya berada terlalu jauh di belakang berbanding dengan Jepun yang berada di ranking pertama Asia, ia mungkin samalah jauhnya dengan ranking Malaysia yang berada di tangga 25 di Asia.

Bukan sahaja di tengah padang pemain Malaysia gagal menguasai bola, sebaliknya telah kelihatan setiap pemain Jepun berjaya mengatasi pemain Malaysia pada setiap posisi. Begitu mudah mereka merampas bola daripada kaki pemain kita, malah setiap percubaan untuk membawa bola ke kawasan Jepun berjaya di rampas atau dipatahkan dengan mudah sehingga membolehkan penjaga gawang Jepun duduk bersila di atas padang sambil menikmati bento makan malam.

Mati kutu dan gagal untuk membentuk formasi bagi menyusup masuk ke kawasan Jepun, sebaliknya Jepun dengan amat mudah menggunakan hantaran pendek dan panjang secara leret dan tepat, berlegar-legar di bahagian tengah sambil menukar bola dari kiri ke kanan, kemudian dari kanan di kiri dan menunggu salah seorang pemain Malaysia untuk tampil ke atas dan mencabar, kemudia mereka mula menyusup masuk ke bahagian Malaysia dan seterusnya melancarkan serangan hingga ke depan pintu gol.




Sebaliknya Malaysia banyak menggunakan hantaran tinggi dan jauh dan kebanyakannya dikuasai oleh pemain Jepun dengan tandukan atau bola tersebut dihantar entah ke mana. Tandukan mereka juga tepat serta jatuh kepada rakan mereka sendiri.

Dari sudut yang lain, Malaysia bertahan dengan baik tetapi akibat terlalu banyak serangan yang dilancarkan Jepun, akhirnya pertahanan kita bobos juga. Atau mungkin mereka menggunakan set piece yang bertaraf dunia sehingga menyebabkan pasukan kita tidak dapat mengagak dan mudah dikelirukan. Hanya Khairul Fahmi menjadi benteng terakhir yang banyak menyelamatkan gawang Malaysia daripada dikenduri oleh Jepun.


Khairul Fahmi tidak dapat berehat sebaliknya berhempas pulas setiap saat menanti serangan Jepun yang bertali arus.

Selain kemampuan individu, taktikal mereka juga kelihatan amat indah sehingga menyebabkan perlawan kelihatan agak hambar kerana begitu berat sebelah apabila hanya pihak mereka yang melancarkan serangan. Mereka tidak menyimpan bola lama di kaki seperti Malaysia dan itu adalah selayaknya bagaimana bermain di peringkat tinggi. Gelecekan bola pemain Jepun serta kawalan bola mereka juga bagus.

Secara logiknya mungkin kerana kita hanya ada satu guru pada ketika ini iaitu Slovakia. Sedangkan Jepun adalah lebih hebat berbanding Slovakia. Jadi mudahlah untuk kita merumuskan, guru kita bukanlah tandingan kepada Jepun, inikan pula anak muridnya Malaysia. Nampaknya banyak lagi yang perlu kita lakukan.

Walaupun begitu, ini bukanlah satu ukuran, mental pemain juga amat baik. Mereka tidak mudah melatah malah bertahan habis-habisan. Kita perlu akui bertemu dengan pasukan bertaraf dunia bukan semudah menjerit di bangku stadium. Pemain juga jurulatih tidak perlu dipersalahkan. Sebaliknya salahkan persekitaran bolasepak negara kita yang masih suam-suam kuku.

Permainan Malaysia juga bersih, tidak ada takel-takel yang tidak perlu seperti yang selalu kelihatan di dalam Piala Malaysia. Pemain bermain bersih sama juga seperti pemain-pemain Jepun kecuali beberapa insiden yang betul-betul menggugat gawang. Ini adalah hasil tangan Ong Kim Swee.

Kehilangan striker yang mampu menjaringkan gol seperti Wan Zack serta pemain tengah Irfan juga memberikan impak selain daripada Fakri Sakrani yang tidak boleh diturunkan akibat digantung satu perlawanan kerana kad Merah sebelum ini.

Walaupun coach Ong Kim Swee bertegas pemain lain mampu untuk menggalas ketiadaan mereka, ia samalah seperti perumpaan tiada jengkaut, cangkul digunakan. Ia tetap tidak sama.


Jurulatih Ong Kim Swee perlu memikirkan resepi yang berbeza untuk mencipta kejutan yang benar-benar kejutan.

Berterima kasih kepada Jepun yang membantu menunjukkan kita kelemahan, sama juga seperti pasukan mereka di dalam bidang hoki yang telah meningkat sehingga setaraf dengan pasukan negara kita sedangkan sepuluh tahun yang lalu, pasukan hoki mereka hanya belasahan pasukan kita tetapi kini tidak lagi. Jepun bukanlah bangsa yang terlalu hebat, kita juga mampu menandingi mereka.

Layak ke peringkat kumpulan di dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia adalah pencapaian baik. Tidak semua pasukan mampu untuk ke peringkat ini seperti China, Singapore, Indonesia, Vietnam dan Thailand contohnya.

Tetapi berada di dalam kelompok 12 pasukan terbaik ini, Malaysia adalah pasukan yang berada pada ranking tercorot. Ini kita perlu sedar.

Walaupun begitu, Jepun telah menunjukkan satu keajaiban, sepuluh tahun lalu mereka sendiri tercungap-cungap untuk melangkah ke Piala Dunia. Mereka juga mengambil masa yang lama untuk mengalahkan negara-negara Arab seperti Iraq dan Arab Saudi. Tetapi kini Jepun telah mara sehingga tidak lagi mengalami masalah untuk mengalahkan pasukan-pasukan hebat Asia termasuk Korea Selatan.

Pasukan bolasepak wanita mereka telah mengungguli Piala Dunia 2011. Dan ini bukan berlaku dalam sehari dua.

Begitu juga pasukan Malaysia, kita bukan sekadar melihat pasukan lain maju. Kita mengharapkan peningkatan. Untuk itu kita lihat lagi nanti bagaimana skuad Olimpik ini bertemu Syria dan Bahrain dan di mana kita ketika menamatkan saingan kumpulan dalam kelayakan Olimpik ini.

Begitu juga bagaimana kita mampu untuk mempertahankan emas di temasya Sukan Sea di Indonesia pada tahun ini, serta adakah kita mampu mempertahankan pangkat sebagai Juara Bertahan pada perlawana Piala AFC pada tahun depan.

Apa-apa pun, ini bukanlah matlamat untuk kita hidup. Ia hanya satu aksesori. Fikir-fikirkan dan selamat beramal.

Mohd Rafi
Johor Bahru
24Sept2011

No comments:

Post a Comment