Total Pageviews

Sunday, September 18, 2011

Sepak Takraw Malaysia Masuk Longkang?

Terkejut aku apabila melihat pasukan sepak takraw kita kalah kepada Indonesia yang kini semakin kuat sehingga membelasah pasukan negara di dalam separuh akhir ISTAF Superseries di Thailand baru-baru ini. Dimana silapnya? Atau adakah sebenarnya pasukan Indonesia tidak meningkat ke mana, tapi pasukan kita menjunam ke bawah sebenarnya?

Mungkin juga kekalahan ini berpunca akibat aku tidak membeli tiket dan bersorak di stadium, oleh itu aura tubuh aku yang mengeluarkan tenaga atau kuasa tidak dapat disalurkan kepada pemain di atas gelanggang?

Atau mungkin juga tidak ada upacara sembelih ayam hitam di tengah-tengah gelanggang lalu darahnya direnjis-renjis di keempat-empat penjuru, ini mungkin juga menjadi punca kepada kekalahan.

Kemudian aku ternganga sekali lagi melihat perlawanan akhir apabila Thailand membelasah pasukan Indonesia 3-0 tanpa tentangan sedangkan pasukan Indonesia ini yang telah membelasah pasukan negara. Di mana silapnya Malaysia?

Terus terang aku bukanlah fanatik kepada sukan sepak takraw kerana aku hanya pernah sekali berada di tengah gelanggang untuk bermain takraw itupun kerana dipaksa oleh senior-senior aku masa sekolah berasrama dulu. Ada ke patut dorang paksa aku main sedangkan aku tak pandai main? Baling bola takraw untuk disepak oleh tekong pun tak pernah, inikan pula hendak menanduk bola takraw atau membuat libasan gunting? Aku hanya bermain sepak raga di dalam bulatan beramai-ramai, haaa..yang ini aku pernah.

Tetapi oleh kerana aku fanatik untuk melihat pasukan Malaysia mencapai yang terbaik walaupun di dalam bidang sukan yang aku tidak gemari, aku tidak kisah untuk mengikuti sukan apa.

Apa rahsia kejayaan pasukan Thailand? Aku rasa formula itu adalah mudah. Semasa mereka memegang servis, mereka meraih mata, semasa pasukan lain memegang servis, pasukan Thailand juga meraih mata. Sebab itu mereka sentiasa mendahului mata ketika berlawan. Belum pernah aku melihat pasukan lain mendahului mata ketika berlawan dengan Thailand. Jadi bagaimana mereka lakukan?

Formula lain ialah Thailand menggunakan bomoh siam? Bomoh mereka lebih efektif dibanding dengan bomoh-bomoh lain? Mereka tidak sembelih ayam hitam tetapi mereka makan ayam hitam?

Apa pula rahsia resepi kekalahan pasukan Malaysia kepada pasukan lain? Aku rasa itu adalah terlebih mudah iaitu semasa pasukan Malaysia memegang servis, kita tidak dapat meraih mata sebaliknya mata diraih oleh pihak lawan, dan semasa pihak lawan memegang servis, kita juga memberikan mata kepada lawan. Jadi, bagaimana kita melakukan kekalahan ini aku rasa tidaklah sukar, iaitu berlatih untuk dikalahkan. Haha..jangan marah.

Melihat kepada analisis permainan yang aku buat sekali lalu sebagai satu analisis bodoh-bodoh, mari kita lihat bagaimana Thailand boleh menang, dan kita pula menjadi pasukan belasahan.

1. Servis Kuda

Aku tidak tahu kenapa dipanggil servis kuda, tetapi Thailand mendominasi servis ini serta merekalah pelopornya. Kenapa kita tidak terfikir untuk mengangkat kaki setinggi kepala apabila melakukan servis? Mungkin kerana kita tidak membela kuda, kita hanya membela ayam itik.

Dan walaupun kini kita juga telah berupaya melakukan servis kuda, namun ia masih tidak cukup. Thailand bagai telah lama melakukan servis kuda serta mahir mengangkat servis kuda ini. Oleh itu aku rasa Malaysia perlu memperkenalkan servis lain, iaitu lawan kepada kuda, mungkin kita boleh gelar sebagai Cakar Harimau atau servis urutan labah-labah.

Lihat gambar bagaimana servis kuda dilakukan, kaki di angkat setinggi mungkin, kemudian bercampur dengan daya sepakan deras seperti smash badminton, ia menjunam ke gelanggang lawan dengan kadar 60 - 70 km/jam, siapa yang boleh angkat? Atau adakalanya tekong mereka menyepak dengan short drop sekali-sekala, bola juga di sepak ke kiri dan ke kanan gelanggang mengelirukan lawan, dan ini adalah senjata mereka untuk meraih mata ketika memegang servis.



Sementara itu bagi pihak Malaysia, kita gagal mengangkat servis Thailand yang menjunam. Sebab itu mereka meraih mata walaupun pada ketika mereka memegang servis.

Sebaliknya bagaimana Malaysia melakukan servis? Servis kita hanya biasa-biasa saja, orang kata umpama merendah diri di dalam gelanggang jangan menyombong. Rendah saja servis kita, boleh di angkat oleh pemain Thailand dengan penuh kesopanan juga seperti mereka berlawan di peringkat sekolah menengah. Sebab itu kita selalu gagal meraih mata semasa melakukan servis, sebaliknya berjaya di angkat oleh Thailand dan kemudian kita menerima padah apabila sekali lagi mereka melakukan libasan.

Pendek kata, Thailand tidak pernah gagal untuk mengangkat servis kuda kita.

Tambahan pula servis kita selalu tersangkut di jaring, kemudian bila terlebih kuat disepak, melayang terus ke luar gelanggang. Ini telah berlaku di dalam perlawanan akhir Istaf Dunia 2011 yang lalu. Di dalam keadaan tertekan, pemain-pemain kita kelihatan tersenyum untuk menyembunyikan gelora, kemudian gelora itu berubah menjadi sepakan-sepakan yang tersangkut di jaring serta keluar gelanggang. Kita memberikan mereka mata!

2. Libasan maut

Peliknya aku apabila melihat libasan maut Malaysia sebenarnya tidaklah begitu membawa maut, sebaliknya membawa maut kepada pasukan sendiri. Kita tidak memiliki Killer yang mencapai standard yang sama seperti kehebatan pemain Thailand. Killer kita belum lagi menjadi seperti pembunuh, sebaliknya baru berada di tahap belajar membunuh. Tidak sama!

Thailand pula amat hebat melakukan hadangan kepada libasan Malaysia sehingga pemain kita buntu. Apa yang berlaku kemudian ialah libasan tersangkut di jaring, libasan keluar gelanggang, libasan di jawab oleh Thailand, libasan kepada pengadil, libasan kepada jurukamera, serta libasan kepada penonton. Sekali lagi kita memberikan mereka mata!.

Tetapi apabila Thailand melakukan libasan, 90 peratus adalah mata. Amat jarang melihat libasan mereka dibalas. Kenapa ini berlaku dan bagaimana mereka lakukan?

Aku melihat Thailand menggunakan libasan yang amat tinggi. Pemain mereka melayang di udara seperti Helang yang terbang sambil kaki mereka melibas. Bola mereka sangat laju. Mereka menggunakan formula MATA = (TINGGI + DERAS) seperti di dalam servis kuda. Semakin tinggi dan semakin deras pukulan mereka, semakin tinggi kadar meraih MATA. Mungkin ini adalah teknik libasan Helang?

Pemain mereka melompat setinggi mungkin sehingga tidak terjangkau oleh pemain Malaysia untuk menghalang bola yang dilibas.



Sebaliknya apabila kita melakukan libasan, libasan kita tidaklah setinggi mana, libasan kita macam orang malu-malu. Sebab itu libasan ini mudah dihalang oleh pemain Thailand kerana bola yang tidak tinggi akan kurang menjunam, mudah terkena kepada halangan pemain Thailand, serta mudah dibalas oleh mereka.



3. Hadangan

Sekali lagi pemain Thailand mudah melakukan hadangan ke atas libasan pemain kita. Bagi mereka berlawan dengan Malaysia adalah lebih mudah daripada berlawan dengan pasukan sekolah menengah di Thailand.

Perasan atau tidak, sewaktu libasan dibuat, pemain Thailand akan melompat setinggi mungkin sehingga ke paras bola yang akan dilibas, kemudian kaki mereka begitu hampir dengan bola tersebut. Di sini kadar untuk mereka dapat mematikan bola yang akan dilibas oleh pemain Malaysia adalah amat tinggi.Mungkin ini juga merupakan teknik Helang Mencengkam Mangsa.

Sebaliknya apabila pasukan kita melakukan hadangan, kita hanya melompat sekadar di jaring sedangkan bola berada lebih tinggi di udara. Kaki pemain kita berada separas di jaring sahaja, sedangkan bola yang akan di libas amat tinggi berada di kaki pemain Thailand. Dengan ini kita mempunyai peluang yang amat sedikit untuk mematikan libasan bola mereka. Mungkin kerana badan kita yang sedikit berat, ataupun kita takut untuk melompat tinggi-tinggi kerana kita menggunakan teknik Merpati Dua Sejoli.



Lihat gambar, pemain Thailand (merah) melompat setinggi mungkin dengan kaki mereka berada amat dekat dengan bola yang akan dilibas Malaysia. Mereka banyak kali dapat mematikan bola Malaysia dengan teknik ini.



Lihat gambar, pemain Malaysia (kuning) hanya melompat separas jaring sedangkan bola berada jauh daripada kaki mereka. Ini adalah teknik Merpati Dua Sejoli. Ini memberikan kelebihan besar kepada Thailand meraih mata.

Kesimpulannya kita masih jauh di belakang Thailand. Pemain skuad elit kita mudah diratah maka ia tidak lagi patut dikekalkan dengan nama elit. Aku lebih suka meletakkan tanggungjawab ini kepada jurulatih kerana gagal melatih setiap pemain-pemain ini dan meningkatkan persembahan mereka kepada satu tahap seperti atau lebih baik daripada pemain Thailand seperti Supadee. Ini sepatutnya menjadi penanda aras atau KPI bagi setiap pemain mengikut posisi mereka.

Jurulatih pula perlu lebih tajam melakukan analisis perlawanan, di situ terpapar kelemahan yang perlu diperbaiki. Kemudian perlu berani untuk kreatif, jurulatih Thailand dahulunya adalah jurulatih pasukan bola keranjang.

Apapun, teruskan perjuangan.Kami mengharapkan kebangkitan.

Mohd Rafi
Johor Bahru
18Sept2011

No comments:

Post a Comment