Total Pageviews

Sunday, November 7, 2010

Bisnes Internet


Salam,
Kini saya kembali lagi setelah sekian lama menyepi. Kesibukan pada kerja, rutin kehidupan harian serta beberapa aktiviti lain yang muncul di dalam jadual, membuatkan blog ini  terpaksa dikemudiankan. Tetapi pada hari ini, saya memutuskan untuk kembali. Ia umpama sebuah rumah yang telah ditinggalkan gelap oleh tuannya, dan kini rumah itu terang sebentar dengan lampu apabila tuannya kembali.
Alhamdulillah, dalam minggu ini saya telah menemui bukti yang dicari-cari selama ini. Keputusan untuk menjelajah lebih terperinci bagi mendalami selok-belok menjadikan internet sebagai medium perniagaan telah menunjukkan tanda-tanda positif. Dengannya saya telah menyimpulkan bahawa ia tidak mustahil untuk pergi lebih jauh. Jalan telah terhidang, kelibat cahaya dihujung terowong yang gelap telah kelihatan. Hanya tinggal diri untuk melangkah terus ataupun tidak.
Permulaan saya dalam bidang ini umpama tunas pokok yang begitu kecil. Langsung tidak layak dibandingkan dengan mereka yang telah menjadi sifu ataupun otai (orang lama) di dalam bidang ini.
Walaupun begitu, semua ini bermula dengan cetusan hati sewaktu menghabiskan masa di perpustakaan Sultan Ismail, menemani anak yang menghadiri tuisyen, saya menggunakan waktu untuk melihat buku-buku yang bertimbun.  Ketika itu masih tercari-cari buku apakah yang seharusnya saya baca.
Bermula dengan buku kanak-kanak berkaitan penjelajahan angkasa lepas, kemudian buku mengenai masakan, lukisan dan pelancongan, buku yang akhirnya menarik perhatian ialah buku-buku di dalam kategori bisnes internet. Buku mengenai ‘Raja Lelong’ adalah buku pertama yang saya bawa pulang ke rumah.
Rasa pelik menyelubungi diri, apabila melihat banyak lagi buku-buku ditulis dalam pelbagai tajuk dari sudut yang berbeza, kesemuanya daripada pengalaman penulis bagaimana memenfaatkan internet sebagai medium untuk mencari pendapatan. Ada yang melakukan secara sampingan, ada yang secara sepenuh masa.
Buku yang dipinjam dari perpustakaan saya baca sepintas lalu untuk diseimbangkan dengan kesibukan diri. Kejam celik akhirnya 10 bulan telah berlalu tanpa apa-apa. Apa yang saya cari tidak ditemui. Puluhan buku yang telah dibaca umpama tin susu yang kosong telah ditinggalkan. Semuanya adalah silap diri sendiri kerana terlalu banyak membaca sehingga tidak tahu yang mana satu perlu di dahulukan.
Minggu sudah saya telah melakukan ‘window shopping’ di internet. Saya meletakkan diri hanya sebagai pembeli. Ia untuk saya memahami bagaimana seorang pembeli diurus oleh seorang penjual. Dengan itu saya dapat melihat bagaimana seorang penjual di internet melakukan jualan dan melayani pelanggan. Ya, itu sesuatu yang menarik. Mereka betul-betul profesional walaupun dipisahkan oleh faktor geografi berbeza, tidak mengenali satu sama lain, tapi urusniaga dilakukan dengan telus.  
Belum lagi saya menjadikan diri sebagai seorang penjual, baru sebagai pembeli, tetapi peluang telah terhidang. Hanya dalam seminggu saya telah menerima sedikit habuan. Berapa? Semua pasti ketawa kerana ianya tidak banyak. Hanya RM30.
Bagi saya, itu tidak mengapa. Ada rangkap perkataan yang saya pegang iaitu “jual apa saja, asal jadi duit”. Saya maksudkan ialah tidak perlu berkira margin keuntungan sedikit ataupun banyak. Selagi ia boleh menjadi duit, jualkan saja. Perlu sedar langkah seorang bayi ialah dengan jatuh dan bangun. Setelah bertahun barulah boleh berlari dan melompat dengan sempurna.
Cukuplah bagi saya RM30 itu sebagai bukti. Tidak berhasrat untuk menjadi kaya-raya, tetapi ia mencukupi sebagai bukti kepada diri sendiri, bahawa apa yang dicari selama ini bukan satu cakap-cakap kosong. Pena dan dakwat penulis-penulis yang telah mengalaminya sendiri bukanlah sekadar untuk menerbitkan buku dan meraih royalti. Kini saya mengakuinya dari dalam diri.
Selalunya perkara yang baik bukanlah untuk dirahsiakan. Apatah lagi jika ia boleh memberikan menfaat kepada orang lain. Insyallah, jika umur dipanjangkan oleh Allah, saya bercadang untuk mengajarkannya kepada umum. Bermula dari kawan-kawan seperjuangan, atau sesiapa juga yang berminat sehinggalah kepada pihak umum yang sebenarnya. Tetapi bukan sekarang. Andaikan ianya berlaku pada Januari depan, insyallah jika saya masih bernafas.
Bagaimanapun, sebagai insan yang tertakluk kepada takdir Yang Esa, yang telah mengatur hidup mati hambaNya,  saya akur pada ketentuanNya.

Wasalam.

No comments:

Post a Comment