Total Pageviews

Sunday, November 7, 2010

Memberi Bukan Bermakna Sayang

Pada satu petang, seorang anak mendekati ayahnya yang sedang duduk di sofa sambil menonton tv. Si anak menyuarakan hasrat kepada si ayah, dia meminta ayah membelikannya sebuah motosikal. Untuk apa? Untuk memudahkan dia pergi ke sekolah dan juga pergi ke kedai membantu ibunya.

Si ayah tanpa berfikir panjang segera mengeluarkan segenggam wang kertas berjumlah 8 ribu ringgit lalu meletakkannya di atas meja. Si anak terbungkam sebentar, tidak menyangka permintaannya ditunaikan begitu saja tanpa banyak soal dari si ayah. Si anak tersenyum, hatinya berkocak-kocak kegembiraan. Ayahnya begitu sayangkan dirinya lalu setiap permintaannya tidak pernah gagal dipenuhi. Pada petang itu juga, si anak membawa pulang sebuah motosikal baru.

Ketika si ibu sedang menyiapkan hidangan makan malam pada malam itu, dan si ayah sedang membaca surat khabar di ruang tamu, ketika itu telefon yang diletakkan di satu sudut rumah berdering lalu dijawab oleh si ayah.

Si ayah tergamam. Telefon itu adalah satu berita buruk yang akan sentiasa diingat oleh si ayah dan si ibu bahawa si anak telah meninggal dunia di dalam satu kemalangan ngeri dengan motosikal yang baru di beli petang tadi terperosok ke bawah lori.

***************************************************************

Pada satu pagi seorang anak mendekati ayahnya yang sedang duduk di sofa sambil menonton tv. Ayahnya sedang mengira wang kertas yang bergumpal-gumpal diikat dengan getah. Wang itu adalah hasil perniagaan dari warungnya di sebelah pagi tadi. Si ayah bersungguh-sungguh mengira wang itu. Sambil itu di dalam hatinya bersyukur dengan rezeki yang melimpah-limpah dikurniakan oleh Allah. Dia bercadang untuk menyimpan wang tersebut untuk anaknya.

Tiba-tiba dia didekati oleh si anak, lantas perbualan pun bermula di ruang tamu tersebut. Si anak meminta si ayah membelikan sebuah motosikal untuk kegunaannya pergi ke sekolah, tuisyen, serta pergi belajar ke rumah kawan-kawan dan juga untuk memudahkannya untuk menolong ibunya membeli barang di kedai.

Tidak ada jawapan dari si ayah setelah perbualan mereka mati di pertengahan. Si anak masih menunggu perkataan yang bakal keluar dari ayahnya. Petang itu ayahnya dengan tegas memberitahu bahawa tiada motosikal yang akan dibeli.

Si anak bungkam dan beredar dengan penuh sugul. Hatinya sedih dan kecewa kerana apa yang diharapkan tidak menjadi. Dia akhirnya berazam untuk melupakan apa yang dihajati dan berusaha untuk membeli motosikal tersebut dengan keringatnya sendiri pada satu hari nanti. Begitulah azamnya berterusan sehingga menjadi pembakar semangat untuk dia belajar lebih bersungguh-sungguh.

Masa berganti dan pada satu petang, si ayah dan ibu sedang duduk di halaman rumah melepas penat membersihkan halaman rumah. Tiba-tiba kedengaran enjin motosikal berkuasa besar menghampiri mereka. Si anak pulang dengan sebuah motosikal setelah setahun bekerja dan mengumpul wang. Si ayah bangga dengan anaknya yang telah berjaya menamatkan pelajaran dan memiliki pekerjaan yang bagus. Si ayah berasakan segala penat lelahnya selama ini seumpama telah terbayar.

*******************************************************************

Moral cerita yang pertama di atas ialah umpama diri kita dengan Allah swt. Kita selalu berdoa dan meminta tetapi belum lagi ditunaikan oleh Nya. Merujuk kepada kisah yang pertama di atas, memberi tidak bermakna sayang.

Apabila permintaan kita ditunaikan oleh Allah, bukan bererti itu bermakna sayangnya Allah kepada kita. Boleh jadi itu merupakan pemberian yang akan menghancurkan kita. Umpamanya pemberian harta yang begitu banyak kepada Qarun akhirnya menjadikan dia berubah, daripada seorang yang mematuhi perintah Allah, kepada seorang yang mengingkari Allah. Dia telah mati dalam keadaan tersebut. Dan dia merupakan manusia yang hidup di zaman Nabi Allah Musa a.s. Bukan kisah dongeng.

Keadaan ini dinamakan Istidraj. Iaitu pemberian demi pemberian daripada Allah kepada hambaNya, tetapi dengan pemberian itu menjadikan seseorang itu semakin binasa, semakin jauh dengan Allah swt. Moga kita semua dijauhkan.

Moral cerita yang kedua di atas ialah umpama diri kita juga dengan Allah swt. Kita selalu berdoa dan meminta, tetapi tidak ditunaikan. Merujuk kepada kisah kedua di atas, tidak memberi bukan bermakna membenci.

Apabila permintaan kita tidak ditunaikan oleh Allah, Dialah sebaik-baik pemberi dan Maha Mengetahui segala sesuatu dan sesuatu di sebalik sesuatu. Itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita agar kita tidak binasa atas apa yang kita mohonkan.

Wasalam.

2 comments:

  1. Insaf membaca tulisan saudara. Terima kasih kerana mengingatkan sesama kita.

    ReplyDelete
  2. btul tu tp sejauh mana kesedaran dan keinsafan itu dipraktikkan dlm khidupan sharian sbnrnya adlh lebih penting...

    ReplyDelete