Total Pageviews

Sunday, November 7, 2010

Fenomena Alam Dan Mesej Dari Pencipta

Dengan Gunung Merapi yang menjadi penyebab kepada terkorbannya penduduk di sekitarnya, serta gulungan tsunami di Pulau Mentawai, kebanjiran air di negara jiran iaitu Thailand, kemudian berpindah ke Perlis, Kedah dan Kelantan, ia sesuatu yang kita semua perlu renungkan dengan mata hati yang dalam.

Membunuh seekor semut adalah satu perkara mudah. Wujud atau tidak seekor semut itu pada diri kita, adalah sesuatu yang tidak membawa perubahan apa-apa dalam kelangsungan hidup seharian.

Kita amat jarang melihat ia dari sudut yang lain sedangkan hakikatnya kita sendiri tidak dapat menolak iaitu tidak ada satupun yang Allah jadikan secara sia-sia, atau tiada tujuan. Ya benar, semut yang seekor yang telah kita bunuh tadi itu umpama sesuatu yang tidak akan merubah alam semesta dengan kehadiran atau kematiannya. Tetapi Allah tidak menjadikannya untuk sia-sia.

Apatah lagi dengan fenomena alam yang besar seperti Gunung Merapi, tsunami , air pasang besar dan banjir. Allah tidak menjadikannya sia-sia. Dan itu satu petanda untuk kita melihat kembali, sampai berapa lama lagikah kita akan berada di dunia ini?

Umur manusia yang pendek, kelangsungan hidup di atas bumi yang telah mengalami pelbagai perubahan sejak berbillion tahun, dan kini bumi umpama orang yang mengalami demam panas, melihat kepada perubahan cuaca yang tidak dapat dihalang oleh sesiapa jua. Sama seperti saat pupusnya zaman dinasour seperti raptor dan t-rex yang berbuktikan tulang masing-masing sebagai fosil.

Awan yang berarak dengan hujan lebat, tidak ada sesiapa pun boleh menahan. Teknologi manusia begitu kerdil. Begitu juga dengan air yang datang apatah lagi dengan gempa dan gunung berapi yang langsung tidak mampu diramal dengan tepat bila ia akan berlaku.

Melihat kepada diri sendiri yang masih belum siap menyiapkan kehidupan dunianya, begitu juga dengan kehidupan akhirat yang masih jauh lagi persiapannya, kedatangan fenomena alam umpama satu panggilan telefon daripada Ilahi, persediaan perlu dibuat sekarang.

Terasa sungguh bahawa dunia umpama ular yang membelit. Keindahan dan kenikmatan hidup di dunia, walaupun kita mengakui itu sebagai sementara, tetapi hakikat harian ialah kita juga yang mengejarnya setiap masa. Kita menghadapi dunia ini dengan penuh ketaatan, kita menatang dan menjunjungnya setiap hari sehingga banyak masa keemasan pergi tanpa amal-amal yang akan membantu untuk melepasi alam kubur dan seterusnya. Inilah yang dimaksudkan dunia umpama ular yang membelit, untuk keluar dari belitan dunia sehingga tidak tertawan dengan segala keindahannya bukanlan sesuatu yang mudah. Tidak ada tenaga yang mampu meleraikannya, melainkan iman. Sesuatu yang begitu abstrak untuk dihuraikan, tetapi hanya boleh diperlihatkan pada perlakuan dan penampilan insan itu sendiri.

Kini kita telah mengalami musim hujan yang sesekala begitu lebat sehingga kelihatan siang telah berubah menjadi malam. Di dalam hujan ada rahmat, dan di dalamnya juga ada musibah. Sepertimana umat terdahulu menyangka awan yang berarak mendung itu membawa hujan, tetapi rupanya ialah musibah untuk menghancurkan mereka.

Begitupun, agungnya Pencipta sekelian alam, yang menaikkan berjuta kilogram air daripada permukaan bumi dan lautan setiap hari, air yang berat itu telah naik ke atas kepala manusia dengan hanya dipegang oleh awan yang begitu lembut. Yang kelihatan terlalu lemah apabila kita sendiri boleh membelah awan tersebut dengan tangan kosong. Tetapi awan yang sama itulah yang memegang air yang begitu berat tanpa kita terfikirkannya. Tidak ada teknologi sehebat itu.

Ringannya secawan kopi, tetapi beratnya sebaldi air, apatah lagi setangki air yang diletakkan di atas bangunan tinggi seperti di atas kondominium. Tidak semudah itu untuk membawa air ke atas. Kita harus menggunakan pam untuk menaikkannya.

Tetapi Pencipta alam semesta ini menaikkan air ke awan tidak menggunakan pam. Kita menakung air di atas rumah dengan tangki air yang besar, yang kukuh, yang mempunyai banyak skru di setiap sendinya agar tangki itu tahan lama dan tidak pecah. Ia mungkin material dari besi atau paling kurang ialah PVC yang tebal.

Tetapi bagaimana awan yang begitu lembut, berarak membawa air yang hakikatnya begitu berat, berarak dari satu tempat ke satu tempat yang jauh. Sementara air itu pula menjadi rintik-rintik kecil yang apabila jatuh ke bumi tidak memudaratkan manusia, malah tumbuhan yang lembut seperti pokok bunga juga tidak dimudaratkan oleh hujan yang asalnya adalah air yang begitu berat di atas awan. Sedangkan jika air sebuah tangki yang pecah jatuh dari atas dan menimpa manusia boleh menyebabkan manusia itu terbunuh.

Ini tidak lain adalah kehebatan Allah, sang Pencipta yang telah merekabentuk sistem, mengawal dan mentadbir setiap kejadiannya yang tidak pernah sia-sia. Serta bukti kasih-sayang serta rahmat dariNya agar hujan tidak membinasakan apa jua di atas muka bumi kecuali dengan kehendakNya sahaja.

Sekali lagi dengan kedatangan fenomena alam seperti banjir, ia adalah umpama telefon dari Allah bahawa diri perlu dipersiapkan bagi menghadapi fenomena itu sendiri dan alam-alam berikutnya. Tiada siapa yang mahukan kematian, tetapi kematian belum pernah gagal menjemput setiap yang bernyawa.

Saya bermuhasabah diri. Bersedia menghadapi kemungkinan banjir.


Wasalam.

1 comment:

  1. lautan telah melebihi daratan.walau byk tambakan untuk daratan,lautan air tetap banyk dan mlimpah ruah...musibah dmi musibah berlaku..ada yg msih lalai dan alpa.walau sedar hnya dipinggiran bicara..

    ReplyDelete